SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lima pekerja hotel di Bali maut selepas tali lif putus, masuk gaung

Lima pekerja hotel di Bali maut selepas tali lif putus, masuk gaung

Sep 4, 2023 | 7:31 PM

Lima pekerja hotel di Bali maut selepas tali lif putus, masuk gaung

TERPUTUS: Pekerja tersebut terkorban selepas tali lif di Ayuterra Resort, di Ubud, Bali, terputus.
TERPUTUS: Pekerja tersebut terkorban selepas tali lif di Ayuterra Resort, di Ubud, Bali, terputus. - Foto X/MISTERDETAKTIF

Lima pekerja terkorban pada Jumaat selepas kabel sebuah lif di sebuah hotel di Bali, putus dan menjunam ke sebuah gaung, lapor media Indonesia.

Nahas itu berlaku sekitar 1 tengah hari pada Jumaat di Ayuterra Resort di daerah Ubud.

Pekerja berkenaan, melibatkan dua lelaki dan tiga wanita, telah memasuki lif yang mempunyai dinding kaca dan bergerak menerusi satu laluan menjejak bukit sekitar 35 darjah.

Tiba-tiba, kabel yang menarik lif itu naik gagal berfungsi, menyebabkan lif tersebut jatuh dari ketinggian 100 meter dan terhempas ke sebuah gaung.

Menurut akhbar Tribune News, pekerja tersebut dikenal pasti Encik Sang Putu Bayu Adi Krisna, 19 tahun, Encik Wayan Aries Setiawan, 23 tahun, Cik Ni Luh Superningsih, 20 tahun, Cik Kadek Hardiyanti, 24 tahun, dan Cik Kadek Yanti Pradewi, 19 tahun.

Mereka bertugas di bawah jabatan pengemasan hotel.

Encik Ketut Suwiarta, seorang tukang masak di hotel tersebut, berkata beliau terdengar suara teriakan tidak lama selepas lima individu memasuki lif itu dan diikuti dengan bunyi sesuatu yang terhempas.

Beliau melihat bahawa kabel lif tersebut telah terputus dan bergegas untuk membantu mangsa dan membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan dari pihak berkuasa.

Para mangsa, yang mana tiga daripada mereka didapati masih bernafas, dikejarkan ke hospital berhampiran namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ketua polis Ubud, Encik Made Uder berkata pihaknya sedang menyiasat mengapa kabel itu terputus.

Siasatan awal mendapati ia putus kerana lif terlalu berat.

“Ada kemungkinan kabel tersebut tidak cukup kuat untuk menarik beban,” kata Encik Uder.

Polis juga sedang menyiasat sekiranya terdapat kelalaian dalam kes itu dan sama ada ia berlaku sebab penyelenggaraan yang kurang.

Pemilik Resort Cik Linggawati Utomo mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka.

Beliau berkata semua perbelanjaan upacara kematian dan pengebumian akan ditanggung pihak hotelnya termasuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa. - Agensi Berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg