Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima pemenang kerusi Parlimen Bangsamoro di diumum
Lima pemenang kerusi Parlimen Bangsamoro di diumum
MANILA: Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina (Comelec) mengisytiharkan pemenang bagi lima daripada sembilan kerusi kawasan Parlimen di Lanao del Sur dalam pilihan raya Parlimen pertama Bangsamoro, satu detik bersejarah dalam proses peralihan wilayah majoriti Muslim di selatan Filipina kepada pemerintahan sendiri.
Pengisytiharan itu dibuat pada 15 September, sehari selepas lebih 2.3 juta pengundi berdaftar keluar mengundi bagi memilih anggota Parlimen Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM).
Penyelia pilihan raya wilayah Lanao del Sur, Encik Mohammad Nabil Mutia, berkata antara calon yang diisytiharkan menang ialah Encik Hamza Gauraki daripada Parti Keadilan Bangsamoro Bersatu (UBJP) bagi kawasan kedua.
Encik Lampa I Pandi, juga daripada UBJP, pula memenangi kerusi kawasan keempat.
Keputusan bagi empat lagi daripada sembilan kerusi kawasan Parlimen di Lanao del Sur masih belum diumumkan.
Encik Mohammad Nabil, yang juga pengerusi Lembaga Pengiraan Undi Wilayah, memuji kerjasama Angkatan Tentera Filipina, Polis Nasional Filipina dan pemerintah tempatan dalam memastikan proses pengundian di wilayah itu berjalan dengan teratur.
Brigedier-Jeneral Jessie Montoya, komander Briged Infantri ke-103 “Haribon”, berkata penempatan pasukan keselamatan tambahan daripada Divisyen Infantri Pertama memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan sepanjang pilihan raya.
Dalam persaingan bagi kerusi parti di seluruh BARMM pula, Parti Persekutuan Bangsamoro (BFP) dan UBJP mendahului keputusan separa dan tidak rasmi.
Sehingga 10.45 pagi pada 15 September, BFP memperoleh 659,405 undi, manakala UBJP meraih 607,966 undi.
Pegawai pilihan raya memaklumkan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus.
Bagaimanapun, proses pengundian terpaksa dilanjutkan ke hari kedua di beberapa kawasan susulan cubaan penipuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya melanjutkan tempoh pengundian di 36 daripada 86 kawasan mengundi di bandar Maluso, Pulau Basilan, selepas pihak berkuasa menemukan kertas undi yang telah ditandakan lebih awal.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec), Encik George Erwin Garcia, memuji kadar penyertaan tinggi pengundi dan menegaskan bahawa dalang di sebalik cubaan penipuan itu akan didakwa atas kesalahan sabotaj pilihan raya.
BARMM ditubuhkan di bawah perjanjian damai 2014 bagi menggantikan wilayah autonomi terdahulu dengan wilayah yang lebih luas serta menerima peruntukan kewangan yang lebih besar.
Sebelum ini, kumpulan pejuang Muslim terbesar di Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), bersetuju menggugurkan tuntutan kemerdekaan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang memberikan autonomi lebih luas kepada wilayah tersebut.
Sejak 1970-an, dianggarkan kira-kira 150,000 pejuang dan orang awam terbunuh dalam konflik di selatan Filipina yang menjejaskan pembangunan ekonomi di antara wilayah termiskin negara itu.
Menurut data Comelec, 98.4 peratus keputusan pilihan raya sudah diterima setakat 10.30 pagi, melibatkan 5,129 keputusan, dengan 83 lagi masih belum diterima.
Sebanyak 13 parti politik berdaftar bersaing bagi kerusi wakil parti politik serantau.
Setiap parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 2.5 peratus daripada keseluruhan undi sah untuk layak mendapat kerusi.
Sebanyak 40 kerusi parti akan diagihkan secara berkadar berdasarkan jumlah undi yang diterima setiap parti.
Pemenang bagi kerusi parti politik serantau dan wakil sektor dijangka diumumkan pada malam 15 September.
Pilihan raya pada 14 September itu merupakan yang pertama sejak BARMM dibentuk dan menandakan berakhirnya tempoh pemerintahan sementara oleh Penguasa Peralihan Bangsamoro (BTA), yang dilantik pada 2019.
Kira-kira 80 peratus pengundi berdaftar dilaporkan keluar mengundi, meskipun beberapa kejadian keganasan berlaku menjelang dan ketika pengundian.
Sebanyak 80 kerusi dipertandingkan untuk membentuk Parlimen Bangsamoro, badan perundangan wilayah tersebut.
Daripada jumlah itu, 40 kerusi diperuntukkan kepada wakil parti politik serantau, 32 kepada wakil kawasan dan lapan lagi kepada wakil sektor, termasuk wanita, belia dan masyarakat peribumi.
Selepas semua anggota Parlimen ditentukan, mereka akan memilih Ketua Menteri Bangsamoro yang akan mengetuai cabang eksekutif wilayah itu.
Pilihan raya tersebut dianggap antara langkah paling penting dalam proses damai yang berlangsung selama beberapa dekad antara pemerintah Filipina dengan kumpulan pemisah Moro.
BARMM dibentuk susulan perjanjian damai 2014 antara pemerintah Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang menamatkan perjuangan bersenjata kumpulan itu untuk membentuk sebuah negara Muslim berasingan di selatan Filipina.
MILF bersetuju melucutkan senjata secara berperingkat sebagai pertukaran bagi kuasa autonomi yang lebih luas untuk Bangsamoro.
Wilayah autonomi itu kemudian dibentuk berdasarkan Undang-Undang Organik Bangsamoro 2018.
Konflik Moro yang berlarutan sejak 1970-an dianggarkan mengorbankan sekitar 150,000 orang dan menyebabkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
Pilihan raya Parlimen Bangsamoro sepatutnya diadakan lebih awal tetapi beberapa kali ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, isu persempadanan kawasan dan perubahan wilayah selepas Mahkamah Agung memutuskan Sulu tidak lagi menjadi sebahagian daripada BARMM.
Proses pengundian pada 14 September turut dibayangi keganasan.
Pengerusi Comelec, Encik George Garcia, berkata Cotabato City diletakkan di bawah kawalan suruhanjaya itu selepas kejadian tembakan berhampiran sebuah pusat mengundi di sekolah pada malam 13 September menyebabkan tiga orang terbunuh dan 15 lagi cedera.
Dalam kejadian berasingan di sebuah lagi pusat mengundi, empat orang termasuk seorang anggota polis cedera ditembak pada awal 14 September.
Di sebalik insiden itu, kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus menunjukkan penyertaan tinggi dalam pilihan raya yang sudah lama dinantikan penduduk Bangsamoro.
Keputusan pilihan raya kini akan menentukan bukan sahaja barisan pemimpin pertama yang dipilih secara langsung untuk Parlimen BARMM, malah hala tuju proses damai di wilayah itu.
Parlimen baru dijangka berdepan cabaran besar, termasuk kemiskinan, persaingan antara keluarga politik, pertikaian setempat serta usaha meneruskan proses melucutkan senjata dan membantu bekas pejuang kembali kepada kehidupan awam.
Kejayaan peralihan itu akan bergantung kepada keupayaan pemimpin yang dipilih untuk membentuk pemerintah yang stabil dan memastikan perbezaan politik dapat diselesaikan melalui Parlimen, selepas beberapa dekad wilayah tersebut dibelenggu konflik bersenjata. - Agensi berita
