WASHINGTON: Amerika Syarikat memperingati lima tahun serangan ke atas Bangunan Capitol pada Selasa, ketika negara itu sekali lagi berdepan perpecahan mendalam mengenai makna dan warisan peristiwa 6 Januari 2021. Bagi pihak berkuasa dan penyiasatan rasmi, insiden itu dilihat sebagai satu cubaan ganas untuk menumbangkan keputusan pilihan raya yang sah.
Namun, dalam kalangan penyokong Presiden Donald Trump, peristiwa tersebut terus ditafsirkan sebagai satu bentuk bantahan politik yang, menurut mereka dilayan sebagai kesalahan jenayah secara tidak adil, sekali gus mencerminkan jurang naratif yang masih memecah belah masyarakat Amerika sehingga hari ini.
Ulang tahun itu berlangsung dalam suasana tegang apabila penyokong Encik Trump yang telah menerima pengampunan kembali ke Washington untuk menjejak semula laluan perusuh, sementara Demokrat menghidupkan semula pendengaran dan peringatan bagi menuntut pertanggungjawaban presiden terhadap keganasan tersebut.
“Lima tahun lalu hari ini, kumpulan ganas menyerang Bangunan Capitol Amerika Syarikat. Misi mereka adalah untuk membatalkan pilihan raya yang bebas dan adil. Kami tidak akan membenarkan golongan ekstremis memutarbelitkan pengkhianatan ini,” tulis Ketua Minoriti Dewan Perwakilan dari Demokrat, Hakeem Jeffries, di platform X.
Pada 6 Januari 2021, ribuan penyokong Trump berhimpun di Washington selepas beliau menggesa mereka membantah pengesahan kekalahan pilihan rayanya kepada Encik Joe Biden. Ribuan penyokong kemudiannya merempuh kawasan Capitol, menewaskan kawalan keselamatan, mencederakan lebih 140 pegawai polis, memecahkan pintu dan tingkap serta memaksa ahli Kongres berlindung, sekali gus mengganggu proses pengiraan undi selama berjam-jam.
Namun pada 6 Januari, Rumah Putih menerbitkan sebuah laman sesawang baru yang cuba menafsir semula peristiwa itu, melabelkan perusuh sebagai “penunjuk perasaan patriotik yang aman” dan menuduh polis sebagai pencetus keganasan.
Tindakan itu mencetuskan reaksi keras Demokrat yang mengadakan pendengaran tidak rasmi di dalam Capitol, menampilkan pegawai polis, bekas penggubal undang-undang dan orang awam yang mengalami keganasan tersebut secara langsung.
Mereka turut menganjurkan majlis nyalaan lilin pada waktu malam bersama ahli keluarga lima pegawai polis yang kehilangan nyawa pada hari kejadian atau dalam tempoh selepasnya, dengan kematian tersebut dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan serangan berkenaan.
“Ketika Donald Trump mengampunkan perusuh, membebaskan mereka yang menyerang polis, kami berdiri bersama petugas barisan hadapan,” kata seorang ahli Demokrat. “Pengorbanan mereka tidak akan dipadamkan daripada sejarah.”
Ramai yang terlibat dalam siasatan Kongres sebelum ini menegaskan usaha itu bukan untuk membuka semula perbahasan lama, tetapi untuk mengelakkan sejarah dihapuskan terutamanya selepas Encik Trump kembali ke Rumah Putih dan memberikan pengampunan atau pengurangan hukuman kepada hampir semua tertuduh berkaitan serangan itu.
Satu laporan baru Demokrat mendakwa puluhan perusuh yang telah diampunkan kemudian terlibat dalam jenayah baru, termasuk serangan seksual kanak-kanak, rogol, rompakan, pembunuhan secara cuai dan konspirasi membunuh ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Demokrat memberi amaran bahawa pengampunan menyeluruh itu berisiko menormalkan keganasan politik.
Di luar Capitol, penyokong Encik Trump mengadakan perarakan kecil, termasuk individu yang dikaitkan dengan kumpulan sayap kanan Proud Boys, menjejaki semula laluan perusuh lima tahun lalu. Sekitar 200 orang jauh lebih kecil berbanding perhimpunan asal memakai topi merah “Make America Great Again” (“Jadikan Amerika Hebat Semula”) dan membawa sepanduk menuntut “keadilan untuk Jan 6ers”.
Cik Tami Jackson, yang datang dari Texas, berkata beliau hadir “untuk mengenang mereka yang kehilangan nyawa hari itu”, manakala suaminya, Encik Brian, menyifatkan sebahagian perusuh sebagai “syahid”. Perarakan itu dipromosikan oleh bekas ketua Proud Boys, Enrique Tarrio, yang sebelum ini menjalani hukuman 22 tahun penjara atas kesalahan konspirasi hasutan sebelum diampunkan oleh Encik Trump. “Kami mencari pembalasan,” kata Tarrio. “Tanpa akauntabiliti, tiada keadilan.”
Walaupun memuji Encik Trump kerana membebaskan mereka, sebahagian peserta mengkritik pentadbiran beliau kerana tidak berbuat lebih banyak untuk membantu. Barry Ramey, yang pernah disabitkan kesalahan menyerang polis semasa rusuhan, berkata: “Saya setia kepada Donald Trump, tetapi kesetiaan saya tidak meliputi pentadbirannya.”
Perarakan itu turut menyaksikan detik tegang apabila sekumpulan peserta mengepung pegawai polis Washington, melaungkan kata-kata kesat dan tuduhan, sementara pertengkaran lisan tercetus dengan penunjuk perasaan balas di sepanjang Constitution Avenue yang ditutup lebih 1.6 kilometer oleh pihak berkuasa.
Sebahagian peserta meletakkan bunga bagi memperingati Ashli Babbitt, penyokong Trump yang ditembak mati ketika cuba memasuki Dewan Perwakilan pada 2021. Namun suasana perhimpunan lebih bersifat mencabar berbanding berkabung, dengan sorakan kemenangan terhadap pengampunan yang diterima.
Di Capitol, Encik Trump hanya merujuk secara ringkas kepada rusuhan itu dalam ucapannya kepada ahli Republikan, menuduh Demokrat dan media memutarbelitkan peranannya. Pentadbirannya pula menyifatkan siasatan terdahulu sebagai “pemburuan ahli sihir partisan” dan mengulangi dakwaan tidak berasas bahawa pilihan raya 2020 dicuri.
Bekas pendakwa khas Encik Jack Smith sebelum ini menyatakan serangan itu tidak akan berlaku tanpa Encik Trump, namun kes persekutuan digugurkan selepas Encik Trump dipilih semula, selaras dengan dasar Jabatan Kehakiman yang melarang pendakwaan terhadap presiden yang sedang berkhidmat.
Lima tahun selepas peristiwa itu, Amerika Syarikat masih terperangkap dalam pertarungan naratif mengenai 6 Januari sama ada ia satu cubaan menggugat demokrasi atau simbol bantahan yang, bagi sesetengah pihak, kini diraikan. Bagi pengkritik, kembalinya perusuh ke Capitol adalah peringatan bahawa luka demokrasi itu masih belum sembuh. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg