Lintasan Rafah dibuka terhad, ribuan pesakit tunggu pemindahan dari Gaza
Lintasan Rafah dibuka terhad, ribuan pesakit tunggu pemindahan dari Gaza
Sekitar 150 dibenar keluar dari Gaza setiap hari, lagi 50 dibenar masuk ke Gaza dari Mesir
GAZA: Ribuan rakyat Palestin yang sakit dan cedera kini menunggu dengan penuh harapan untuk keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan perubatan segera di luar negara, selepas Israel mengumumkan bahawa lintasan Rafah di sempadan Gaza-Mesir akan dibuka semula secara terhad bermula 2 Februari.
Lintasan Rafah, yang ditutup hampir dua tahun oleh Israel, akan beroperasi selama enam jam sehari dalam fasa percubaan, dengan hanya sekitar 200 orang dibenarkan keluar dari Gaza setiap hari, manakala 50 individu akan dibenarkan masuk dari Mesir ke wilayah itu, lapor Al Jazeera.
Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat), agensi Israel yang menyelaras kemasukan bantuan ke Gaza, berkata lintasan tersebut akan dibuka dalam fasa perintis dan hanya membenarkan pergerakan pejalan kaki.
Operasi lintasan itu akan diselaraskan bersama Mesir dan Kesatuan Eropah (EU).
“Hari ini, satu fasa perintis sedang dijalankan untuk menguji dan menilai operasi lintasan tersebut,” kata Cogat dalam satu kenyataan pada 1 Februari.
“Pergerakan penduduk ke dan dari Gaza dijangka bermula esok (2 Januari),” tambahnya.
Pihak tentera Israel turut memaklumkan bahawa mereka telah menyiapkan sebuah kompleks khas yang akan berfungsi sebagai pusat saringan bagi rakyat Palestin yang keluar dan masuk melalui lintasan Rafah.
Lintasan Rafah merupakan satu-satunya pintu keluar masuk Gaza yang tidak melalui Israel.
Sebelum perang, ia diuruskan bersama oleh pihak berkuasa Palestin dan Mesir dengan penyelarasan Israel.
Namun, lintasan itu hampir sepenuhnya ditutup sejak Mei 2024 selepas tentera Israel menguasainya ketika perang berlarutan di Gaza.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,268 orang telah meninggal dunia ketika menunggu kebenaran untuk dipindahkan bagi rawatan perubatan sepanjang tempoh lintasan itu ditutup.
Doktor memberi amaran bahawa angka kematian itu akan terus meningkat sekiranya lebih ramai pesakit tidak dibenarkan keluar dengan segera.
Wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Khan Younis di selatan Gaza menyifatkan pembukaan semula lintasan Rafah sebagai satu “dinamika yang tidak selesa” bagi rakyat Palestin.
“Rakyat Palestin mahu keluar, tetapi pada masa yang sama mereka bimbang tidak akan dibenarkan kembali,” katanya.
“Ramai mengatakan tujuan mereka keluar hanyalah untuk pemindahan perubatan atau menyambung pelajaran, dan mereka mahu pulang semula kemudian,” katanya.
Encik Ismail al-Thawabta, Ketua Pejabat Media Pemerintah Gaza, berkata kira-kira 80,000 rakyat Palestin yang meninggalkan Gaza semasa perang kini berusaha untuk kembali.
Selain itu, sekitar 22,000 pesakit dan individu cedera berada dalam keadaan “amat memerlukan” untuk keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan di luar negara.
Pembukaan semula lintasan Rafah merupakan salah satu syarat utama fasa pertama gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi menamatkan perang Israel di Gaza.
Namun, gencatan senjata itu, yang berkuat kuasa sejak Oktober selepas dua tahun pertempuran, berulang kali diganggu oleh keganasan baru.
Pada 1 Februari, serangan Israel dilaporkan berterusan di beberapa kawasan Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, menurut sumber perubatan.
Sumber di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis berkata satu serangan dron Israel mengorbankan seorang lelaki di barat laut Rafah, yang dikenal pasti sebagai Khaled Hammad Ahmed Dahleez, 63 tahun.
Seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron di kawasan Wadi Gaza di tengah wilayah itu.
Serangan tersebut menyusul selepas sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh pada 31Januari dalam beberapa serangan udara Israel di Gaza utara dan selatan.
Sejak gencatan senjata bermula, tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 511 rakyat Palestin dan mencederakan 1,405 yang lain.
Dua pegawai Mesir memberitahu Reuters bahawa sekurang-kurangnya 50 pesakit Palestin akan diproses pada 1 Februari untuk memasuki Mesir bagi rawatan.
Rakaman video oleh agensi berita AFP menunjukkan barisan ambulans di sebelah Mesir lintasan Rafah, bersiap sedia menerima pesakit yang dipindahkan.
Antara mereka yang menunggu untuk keluar ialah Encik Abed El Halim Abo Askar, 65 tahun, yang telah menghidap barah selama empat tahun.
Beliau sepatutnya menjalani pembedahan pada 10 Oktober 2023, namun rawatan itu tertangguh apabila perang tercetus beberapa hari sebelumnya.
Anak perempuannya, Cik Shaima, 28 tahun, terbunuh dalam bulan pertama perang bersama suaminya dan dua anak perempuan mereka dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza.
Anaknya, Encik Ahmed, berkata bapanya telah menunggu selama dua tahun empat bulan tanpa kepastian.
“Setiap hari mereka kata lintasan akan dibuka, suruh kami bersabar. Tetapi tiada apa yang berlaku sejak perang bermula,” katanya.
“Ayah saya perlu menjalani pembedahan, dan kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ubat-ubatan langsung tiada, dan tiada keupayaan untuk menjalankan pemeriksaan kerana Israel memusnahkan semua hospital,” tambah beliau.
Dalam satu perkembangan lain yang memburukkan keadaan kemanusiaan di Gaza, pemerintah Israel mengumumkan bahawa ia akan menamatkan operasi bantuan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), di wilayah terkepung itu.
Israel mendakwa keputusan tersebut dibuat kerana MSF gagal menyerahkan senarai kakitangan Palestinnya, satu keperluan yang dikenakan ke atas semua organisasi kemanusiaan.
Pada Disember 2025, Israel mengumumkan akan menghalang 37 pertubuhan bantuan termasuk MSF daripada beroperasi di Gaza, bermula 1 Mac ini.
Keputusan itu mendapat kecaman meluas daripada badan bukan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Seorang doktor kecemasan yang berpangkalan di London, Dr James Smith, berkata langkah Israel itu merupakan “lanjutan kepada penggunaan bantuan sebagai senjata”.
“Israel secara sistematik menyasarkan sistem kesihatan Palestin, membunuh lebih 1,700 petugas kesihatan, sekali gus mewujudkan kebergantungan mendalam terhadap organisasi antarabangsa,” katanya. – Agensi berita.

