Israel akan buka lintasan Rafah selepas pencarian mayat tebusan tamat
Israel akan buka lintasan Rafah selepas pencarian mayat tebusan tamat
BAITULMAKDIS: Israel akan membuka semula lintasan Rafah di Gaza dengan Mesir untuk laluan orang ramai selepas operasi untuk mencari mayat tebusan Israel terakhir di kawasan itu selesai, kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada lewat 25 Januari.
Lintasan itu sepatutnya dibuka semasa fasa awal rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump untuk menamatkan perang, di bawah gencatan senjata yang dicapai pada Oktober antara Israel dengan Hamas.
Namun, Israel menetapkan pembukaan semula itu bergantung pada kepulangan semua tebusan hidup yang ditahan oleh Hamas di Gaza, serta “usaha 100 peratus” oleh Hamas untuk mencari dan mengembalikan mayat semua tebusannya yang mati.
Semua mayat telah dikembalikan kecuali mayat sarjan polis Ran Gvili.
Tentera Israel berkata pada 25 Januari bahawa ia telah melancarkan “operasi yang disasarkan” di utara Gaza untuk mendapatkan mayatnya, manakala seorang pegawai tentera Israel berkata terdapat “beberapa petunjuk risikan” mengenai kemungkinan lokasi mayatnya berada.
Tentera Israel “sedang menjalankan operasi untuk mengumpul semua maklumat risikan dalam usaha mencari dan memulangkan tebusan Sarjan Ran Gvili, kata pejabat Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa apabila operasi itu selesai, “Israel akan membuka semula lintasan Rafah”.
Pada 22 Januari, Encik Ali Shaath, ketua jawatankuasa peralihan Palestin yang disokong oleh Amerika untuk mentadbir sementara Gaza, berkata lintasan Rafah akan dibuka minggu ini.
Ia secara efektifnya merupakan satu-satunya laluan masuk atau keluar daripada Gaza untuk hampir semua lebih dua juta orang yang tinggal di sana.
Lintasan di bahagian Gaza itu telah berada di bawah kawalan tentera Israel sejak 2024 ekoran perang yang meletus selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
“Sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Presiden Trump, Israel telah bersetuju membuka semula lintasan Rafah secara terhad untuk laluan pejalan kaki sahaja, tertakluk kepada mekanisme pemeriksaan penuh Israel,” kata pejabat Encik Netanyahu.
Washington mengumumkan pada Januari bahawa rancangan itu telah beralih ke fasa kedua yang menyaksikan Israel dijangka menarik balik tentera lebih jauh daripada Gaza dan Hamas dijangka mengalah dalam kawalan pentadbiran wilayah itu.
Minggu lalu, tiga sumber menyatakan bahawa Israel mahu menyekat bilangan rakyat Palestin yang memasuki Gaza melalui lintasan sempadan dengan Mesir bagi memastikan lebih ramai dibenarkan keluar daripada masuk. – Reuters.

