Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loji arang batu di Jakarta kurangkan pengeluaran

Sep 7, 2023 | 2:18 PM
MUTU UDARA MEMBURUK: Kelihatan bangunan diselubungi jerebu asap yang mencemari udara di Jakarta pada Ogos 2023. Separuh daripada penjawat awam di ibu kota Indonesia itu diarahkan supaya bekerja dari rumah mulai 21 Ogos, demi mengurangi kenderaan di jalan raya dan perbaiki mutu udara di ibu kota itu.
MUTU UDARA MEMBURUK: Kelihatan bangunan diselubungi jerebu asap yang mencemari udara di Jakarta pada Ogos 2023. Separuh daripada penjawat awam di ibu kota Indonesia itu diarahkan supaya bekerja dari rumah mulai 21 Ogos, demi mengurangi kenderaan di jalan raya dan perbaiki mutu udara di ibu kota itu. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia mengurangkan hampir separuh pengeluaran dari loji jana kuasa arang batu utama berhampiran ibu negara Jakarta, selepas bandar itu menghadapi peningkatan pencemaran yang besar dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pengendalinya memberitahu agensi berita AFP pada Rabu.

Pengurangan itu berlaku seminggu sebelum Indonesia menjadi tuan rumah kepada pemimpin dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) dan pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan, untuk sidang kemuncak menangani beberapa isu serantau.

Kota besar yang mempunyai kira-kira 30 juta orang itu, mendahului kedudukan pencemaran global beberapa kali bulan lalu, menurut pemantau kualiti udara IQAir yang berpangkalan di Switzerland, ketika krisis asap toksik mengancam membayangi mesyuarat itu.

“Sejak 29 Ogos, Perusahaan Listrik Negara (PLN) telah menurunkan pengeluaran loji janakuasa arang batu Suralaya sebanyak 1,600 megawatt... untuk menyumbang dalam meningkatkan mutu udara Jakarta,” kata Encik Irwan Edi Syahputra Lubis, pengurus besar pengendali loji itu.

Beliau berkata loji itu, terletak di hujung barat pulau Jawa yang paling ramai penduduknya di Indonesia, sekitar 100 kilometer dari pusat Jakarta, kini akan beroperasi untuk menghasilkan 1,800 megawatt.

Pegawai itu tidak pula menyatakan berapa lama pemotongan kuasa akan dikekalkan atau jika ia adalah langkah kekal. Beliau berkata firma itu akan mengikut arahan daripada pemerintah Indonesia.

Indonesia telah berjanji untuk menghentikan pembinaan loji janakuasa arang batu baru, mulai 2023 dan menjadi neutral karbon menjelang 2050.

Walaupun mendapat bantahan daripada aktivis alam sekitar, loji arang batu Suralaya di pulau Jawa masih diperluaskan untuk menempatkan 10 unit di dalam kompleks loji itu.

Memandangkan kritikan orang ramai semakin meningkat mengenai mutu udara yang semakin teruk, Indonesia telah bertindak balas dengan menghukum 11 firma perindustrian, kerana gagal memenuhi piawaian operasi dan mengarahkan separuh penjawat awamnya bekerja dari rumah.

Pemerintah telah menyalahkan corak cuaca dan pelepasan asap dari kenderaan menyebabkan lonjakan itu, tetapi beberapa menteri baru-baru ini mengakui loji janakuasa arang batu dan kilang di sekitar ibu negara, turut bertanggungjawab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg