Lonjakan harga minyak akibat perang Asia Barat cetus kegelisahan di Asia
Lonjakan harga minyak akibat perang Asia Barat cetus kegelisahan di Asia
DHAKA: Lonjakan harga minyak global susulan perang di Asia Barat mencetuskan kegelisahan di beberapa negara Asia, dengan barisan panjang di stesen minyak dan kemarahan pengguna yang semakin meningkat di negara yang bergantung kepada import bahan api.
Walaupun pemerintah di rantau ini cuba mengekang kesan kenaikan harga minyak terhadap pengguna, situasi di beberapa negara menunjukkan tekanan yang semakin memuncak terhadap bekalan tenaga.
Di Bangladesh, yang mengimport kira-kira 95 peratus keperluan minyak dan petrolnya, tentera telah dikerahkan ke depoh minyak utama manakala polis meningkatkan rondaan di sekitar stesen minyak.
Seorang pekerja stesen minyak di Dhaka, Encik Ashrafuzzaman Dulal, berkata stesennya terpaksa berdepan dengan kemarahan pelanggan apabila bekalan petrol tidak tiba seperti dijadualkan.
“Kami belum menerima bekalan daripada depoh, tetapi penunggang motosikal tidak mempercayai kami dan akhirnya merosakkan stesen ini,” katanya kepada AFP ketika menceritakan insiden keganasan yang berlaku pada 8 Mac.
Pada 10 Mac, stesen minyak Shahjahan Traders, antara yang tertua di ibu kota Dhaka, terpaksa menggantung sepanduk memohon maaf kepada pelanggan kerana kehabisan bekalan petrol.
Krisis tenaga itu memaksa pemerintah Bangladesh mengambil langkah luar biasa untuk mengawal penggunaan bahan api.
Negara Asia Selatan yang mempunyai kira-kira 170 juta penduduk itu telah mula melaksanakan catuan bahan api, menghantar pelajar pulang ke rumah serta membatalkan pemasangan lampu hiasan yang biasanya digunakan bagi acara sambutan tertentu.
Ketegangan juga bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki berusia 25 tahun terbunuh pada malam 7 Mac di daerah Jhenaidah selepas berlaku pertengkaran dengan pekerja stesen minyak ketika cuba mengisi petrol.
Menurut polis, kematian itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang kemudian membakar tiga bas serta merosakkan sebuah stesen minyak.
Pada 10 Mac, barisan kenderaan di beberapa stesen minyak di Dhaka dilaporkan menjangkau sehingga 1.5 kilometer.
Seorang pemandu, Encik Kamrul Hasan, berkata situasi itu memaksa majikannya meninggalkan kereta di barisan panjang sebelum menaiki beca untuk meneruskan perjalanan.
“Bos saya terpaksa meninggalkan kereta di sini dan menaiki beca untuk sampai ke destinasinya,” katanya.
Seorang lagi pekerja stesen minyak, Encik Akhtar Hossain, berkata beliau hampir tidak berhenti bekerja sepanjang hari kerana jumlah pelanggan yang terlalu ramai.
“Malah semasa Perang Teluk dahulu, kami tidak pernah melihat keadaan sesibuk ini,” katanya.
Harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 ($127) setong pada 9 Mac, paras tertinggi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Kenaikan mendadak itu berlaku ketika Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah beberapa negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak.
Pada masa sama, laluan perkapalan di Selat Hormuz, salah satu laluan tenaga paling penting di dunia yang membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak global, hampir terhenti sejak perang tercetus.
Namun pada 10 Mac, harga minyak mula sedikit menurun selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran mungkin berakhir “tidak lama lagi”.
Kegelisahan terhadap bekalan bahan api turut kelihatan di beberapa negara Asia lain.
Di Vietnam, ribuan penunggang motosikal beratur di stesen minyak selepas harga petrol tanpa plumbum meningkat lebih 20 peratus sejak konflik bermula.
Seorang lelaki berusia 57 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Tuan meluahkan kemarahannya selepas menunggu hampir sejam untuk mengisi petrol di Hanoi.
“Saya sangat, sangat marah. Saya sudah menunggu hampir sejam, tetapi apabila tiba giliran saya, mereka berkata sistem tidak berfungsi,” katanya.
Di Filipina, Pakistan dan Sri Lanka, kenderaan turut dilihat beratur panjang di stesen minyak di tengah cuaca panas ketika orang ramai berusaha mendapatkan petrol sebelum harga meningkat lagi.
Di Metro Manila, pekerja stesen minyak Enrico Guda berkata jumlah pelanggan meningkat hampir dua kali ganda daripada biasa.
“Orang ramai datang lebih awal untuk mengisi minyak kerana bimbang harga akan naik lagi,” katanya.
Di Myanmar pula, pemerintah melaksanakan sekatan lalu lintas bagi menjimatkan penggunaan minyak, dengan separuh kenderaan persendirian diarahkan tidak berada di jalan raya setiap hari.
Pemilik perniagaan kereta sewa, Encik Hla Htay, berkata langkah tersebut memberi kesan kepada pemandu yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki.
“Ramai pemandu bergantung kepada kereta mereka untuk bekerja dan menyara keluarga. Sistem baharu ini menjadikan keadaan lebih sukar untuk mereka menjalankan perniagaan,” katanya.
Walaupun beberapa negara Asia lain seperti Jepun, China, India dan Indonesia masih belum mengalami panik besar-besaran, situasi tersebut menunjukkan bagaimana konflik di Asia Barat kini memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kehidupan harian di rantau Asia. – Agensi berita.

