Bangladesh tutup universiti susulan krisis tenaga
DHAKA: Bangladesh mengumumkan semua universiti awam dan swasta akan ditutup bermula 9 Mac dengan cuti Aidilfitri diawalkan, sebagai sebahagian langkah kecemasan untuk menjimatkan tenaga di tengah krisis bahan api yang semakin meruncing.
Keputusan itu diambil ketika negara berpenduduk kira-kira 170 juta orang tersebut berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa berkata penutupan universiti dijangka mengurangkan penggunaan elektrik secara ketara kerana kampus universiti menggunakan tenaga yang tinggi untuk asrama pelajar, bilik kuliah, makmal serta sistem penyaman udara.
Langkah itu juga dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menyebabkan pembaziran bahan api.
“Penutupan awal ini akan membantu mengurangkan penggunaan elektrik dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan pembaziran bahan api,” kata seorang pegawai pemerintah.
Sekolah pemerintah dan swasta di Bangladesh sebenarnya telah pun ditutup sempena bulan Ramadan, bermakna kebanyakan institusi pendidikan kini tidak beroperasi sepanjang tempoh tersebut.
Krisis tenaga di Bangladesh semakin membimbangkan kerana negara itu bergantung hampir sepenuhnya kepada import minyak dan gas.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 95 peratus keperluan tenaga Bangladesh daripada sumber import, menjadikannya sangat terdedah kepada gangguan pasaran tenaga global.
Susulan konflik yang semakin tegang di Asia Barat, pemerintah Bangladesh pada 6 Mac mula mengehadkan jualan bahan api setiap hari selepas fenomena pembelian panik dan penimbunan stok berlaku di beberapa kawasan.
Dalam langkah penjimatan tenaga yang lebih luas, pemerintah juga meminta sekolah antarabangsa dan pusat tuisyen swasta menghentikan operasi buat sementara waktu bagi mengurangkan penggunaan elektrik.
Kekurangan gas yang serius turut memaksa pemerintah menutup empat daripada lima kilang baja milik negara bagi mengalihkan bekalan gas ke loji jana kuasa.
“Gas yang ada perlu diutamakan untuk penjanaan elektrik supaya gangguan bekalan kuasa berskala besar dapat dielakkan,” kata seorang pegawai kementerian tenaga.
Pada masa sama, Bangladesh turut membeli gas asli cecair (LNG) di pasaran antarabangsa pada harga yang jauh lebih tinggi bagi menampung kekurangan bekalan.
“Kami melakukan segala yang mampu untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan memastikan kestabilan bekalan elektrik, bahan api serta import tenaga,” kata seorang pegawai kanan kementerian tenaga.
Mulai 8 Mac, syarikat minyak negara, Bangladesh Petroleum Corporation (BPC), melaksanakan sistem had pembelian bahan api bagi kebanyakan kenderaan.
Langkah itu diambil selepas orang ramai mula membeli bahan api secara berlebihan kerana bimbang bekalan akan terganggu akibat konflik di Asia Barat.
Sebagai contoh, penunggang motosikal kini hanya dibenarkan membeli maksimum dua liter petrol setiap kali mengisi minyak.
“Dalam keadaan krisis, pengguna cenderung membeli lebih banyak daripada biasa,” kata BPC dalam satu kenyataan.
Sejurus peraturan baru itu berkuat kuasa, barisan panjang kenderaan dilihat di banyak stesen minyak di ibu kota Dhaka.
Seorang penunggang motosikal, Encik Md Al-Amin, 45 tahun, berkata beliau terpaksa menunggu lebih daripada sejam hanya untuk mendapatkan dua liter petrol.
“Saya menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan dua liter.”
“Tangki motosikal saya boleh memuatkan lapan liter dan biasanya saya isi sekali seminggu.
“Sekarang saya perlu datang semula lusa,” katanya.
Seorang doktor pediatrik, Dr AKM Ruhul Amin, turut meluahkan kekecewaannya terhadap had pembelian tersebut.
“Saya sudah menunggu sejak semalam tetapi stesen minyak ditutup ketika hanya tinggal satu kereta di hadapan saya.”
“Hari ini saya hanya dapat membeli 10 liter sahaja. Sekurang-kurangnya pemerintah patut benarkan kita isi tangki penuh,” katanya.
Seorang pegawai syarikat pengedar minyak Meghna Petroleum Ltd, Encik Ahmad Rush, berkata jumlah pelanggan di stesen minyak meningkat hampir dua kali ganda sejak krisis bermula.
“Kami membuka stesen pada pukul 7.30 pagi dan berjaya mengisi minyak untuk sekitar 300 kenderaan dalam tempoh tiga setengah jam,” katanya.
Krisis bahan api turut mencetuskan insiden keganasan di beberapa kawasan.
Pada malam 7 Mac, seorang lelaki berusia 25 tahun, Encik Nirob Hossain, terbunuh di daerah Jhenaidah selepas berlaku pertengkaran dengan pekerja stesen minyak mengenai pengisian bahan api.
Menurut pegawai polis Encik Md Mahfuz Afzal, kematian tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Sekumpulan orang ramai membakar tiga bas dan merosakkan sebuah stesen minyak,” katanya.
Walaupun keadaan masih tegang, Bangladesh Petroleum Corporation berkata penghantaran bahan api tambahan dijangka tiba tidak lama lagi.
Namun tekanan terhadap sektor tenaga dijangka berterusan kerana lima daripada enam kilang baja negara itu telah ditutup sehingga sekurang-kurangnya 18 Mac.
Seorang pegawai Perbadanan Industri Kimia Bangladesh, Encik Ahsan Quddus Kuntal, berkata penutupan tersebut terpaksa dilakukan kerana kekurangan bekalan gas. – Agensi berita.

