Topik diikuti
Pergi ke BHkuLRT baru Jakarta sambung utara-selatan dalam 28 minit
LRT baru Jakarta sambung utara-selatan dalam 28 minit
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, merasmikan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Jakarta yang menghubungkan Kelapa Gading di Jakarta Utara dengan Manggarai di Jakarta Selatan, dalam usaha memperluas rangkaian pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Laluan sepanjang 12.2 kilometer itu mempunyai 11 stesen dan dijangka meningkatkan hubungan antara pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam merentasi Jakarta Utara, Timur dan Selatan.
Stesen berkenaan ialah Kelapa Gading, Boulevard Utara, Boulevard Selatan, Pulomas, Equestrian, Velodrome, Rawamangun, Pramuka, Matraman, Proklamasi dan Manggarai.
Encik Prabowo merasmikan laluan itu di Stesen LRT Manggarai pada 16 September dengan menarik replika tuil LRT dan menandatangani plak peringatan bersama Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, serta Presiden Pengarah Jakarta Propertindo (Jakpro), Encik Iwan Takwin.
Sebelum perasmian, Encik Prabowo dan Encik Pramono mencuba keseluruhan laluan dengan menaiki LRT dari Kelapa Gading ke Manggarai.
Perjalanan itu mengambil masa kurang 30 minit.
Mereka menaiki gerabak bersama sekumpulan pelajar sekolah menengah dan beberapa pegawai kanan pemerintah pusat serta pentadbiran Jakarta.
Laluan tersebut dibangunkan dalam dua peringkat dengan kos keseluruhan sekitar 12.1 trilion rupiah ($971 juta), yang dibiayai sepenuhnya melalui belanjawan wilayah Jakarta.
Peringkat pertama sepanjang 5.8 kilometer dengan enam stesen antara Pegangsaan Dua dengan Velodrome dibina antara 2016 dengan 2019.
Peringkat kedua pula melibatkan sambungan sepanjang 6.4 kilometer dengan lima stesen dari Rawamangun ke Manggarai, yang mula dibina pada Oktober 2023.
Encik Prabowo menyifatkan pembukaan laluan itu sebagai satu lagi kemajuan penting dalam pembangunan sistem pengangkutan Jakarta.
“Siapa sangka lima atau enam tahun lalu, atau bahkan 10 tahun lalu, kita akan mempunyai sistem pengangkutan awam seperti hari ini?” katanya.
Beliau berkata Manggarai kini berkembang menjadi antara hab pengangkutan paling penting di kawasan metropolitan Jakarta.
Stesen LRT Manggarai mempunyai hubungan dengan perhentian bas TransJakarta dan Stesen Kereta Api Manggarai yang menyediakan perkhidmatan KRL Commuter Line.
Penumpang juga boleh mendapatkan akses kepada perkhidmatan kereta api lapangan terbang, sekali gus memudahkan pertukaran antara beberapa jenis pengangkutan awam di satu kawasan.
Encik Pramono berkata tahap hubungan rangkaian pengangkutan awam Jakarta kini mencapai 93 peratus, sementara penggunaan pengangkutan awam meningkat sekitar 15 peratus setahun sepanjang dua tahun lalu.
Laluan Kelapa Gading-Manggarai direka untuk membawa sehingga 80,000 penumpang sehari, dengan perjalanan antara kedua-dua kawasan itu dijangka mengambil masa sekitar 28 minit.
Bagaimanapun, Encik Pramono mengakui kesesakan lalu lintas masih menjadi masalah di beberapa kawasan Jakarta.
Pentadbirannya berharap peluasan rangkaian pengangkutan awam akan mendorong lebih ramai penduduk meninggalkan kenderaan persendirian dan menggunakan bas serta kereta api.
Usaha memperluas sistem pengangkutan awam menjadi antara keutamaan Encik Pramono sejak mengambil alih jawatan Gabenor Jakarta pada Februari 2025.
Namun, rancangan itu berdepan cabaran pembiayaan selepas pemindahan dana daripada pemerintah pusat kepada Jakarta dikurangkan.
Belanjawan Jakarta bagi 2026 ditetapkan sekitar 79 trilion rupiah, berbanding 95 trilion rupiah yang dipersetujui sebelum ini, selepas dana perkongsian hasil untuk ibu kota dikurangkan sebanyak 15 trilion rupiah.
Ketika berucap pada majlis perasmian, Encik Pramono meminta sokongan Encik Prabowo supaya badan pengurusan aset negara Danantara membantu membiayai projek pengangkutan dan pembangunan Jakarta pada masa depan.
“Jika Bapak Presiden memberikan persetujuan, Danantara hanya perlu membantu kami sedikit kerana selama ini kami membiayai projek-projek ini sendiri,” katanya.
Encik Prabowo menyambut baik permintaan itu dan berkata Danantara mempunyai tanggungjawab untuk membantu pembangunan ibu kota.
“Jakarta bukan sahaja untuk mereka yang tinggal di bandar ini, tetapi untuk seluruh negara,” katanya.
Pakar pengangkutan daripada Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI), Encik Djoko Setijowarno, turut menyokong penglibatan pemerintah pusat dalam pembangunan pengangkutan awam Jakarta.
Beliau berkata rangkaian pengangkutan perlu diperluas sehingga mempunyai hubungan lebih baik dengan bandar penampan di Jawa Barat dan Banten kerana jutaan penduduk dari kedua-dua wilayah itu berulang-alik ke Jakarta setiap hari, dengan ramai masih menggunakan kenderaan persendirian.
Menurutnya, pemerintah pusat juga perlu menggalakkan pentadbiran tempatan di seluruh kawasan metropolitan Jakarta membangunkan sistem pengangkutan awam masing-masing.
Bagi menggalakkan orang ramai mencuba laluan baru itu, tambang promosi hanya satu rupiah dikenakan bagi lapan hari pertama selepas perasmian.
Selepas tempoh promosi, tambang tetap sebanyak 5,000 rupiah bagi setiap perjalanan akan dikenakan sehingga Oktober 2026.
Pentadbiran Jakarta kemudian akan menilai semula struktur tambang bagi tempoh seterusnya.
Pembukaan laluan Kelapa Gading-Manggarai dijangka bukan sahaja memendekkan perjalanan antara utara dan selatan Jakarta, malah memperkukuh Manggarai sebagai hab utama yang menghubungkan LRT, kereta api komuter, bas dan kereta api lapangan terbang. - Agensi berita

