Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berbaloi naik Whoosh ke Bandung, baju Raya siap dalam 24 jam!

Jan 16, 2026 | 4:19 PM
jakarta, Bandung, baju raya, whoosh, alla moda textile & tailor
Alla Moda Textile & Tailor. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Biar betul, sepasang baju Raya boleh dijahit dalam masa hanya 24 jam?

Persoalan itu bermain di fikiran saya semasa kunjungan ke Jakarta baru-baru ini untuk meninjau persiapan Raya.

Seorang rakan kerja menyarankan agar saya berkunjung ke sebuah kedai tekstil dan jahitan di Bandung, Alla Moda, yang dikatakan mampu menyiapkan tempahan pakaian dalam tempoh sehari sahaja.

Memandangkan kebanyakan destinasi membeli-belah saya tertumpu di sekitar Jakarta, saya pada mulanya teragak-agak untuk ke Bandung, lebih-lebih lagi jika perjalanan darat mengambil masa beberapa jam.

Namun, dengan kemudahan kereta api laju Whoosh, saya menjadi lebih bersemangat untuk melakukan kunjungan singkat ke Bandung semata-mata untuk ‘meninjau’ sendiri keupayaan kedai tersebut.

Pada hari kedua di Jakarta, saya menuju ke Stesen Halim di Jakarta Timur.

Keterujaan jelas terasa sebaik melangkah masuk ke stesen kereta api laju itu — moden, terang dan lengkap dengan pelbagai kedai makanan serta minuman.

Saya tiba kira-kira 45 minit sebelum waktu berlepas dan keseluruhan proses berjalan dengan sangat lancar walaupun saya membawa bagasi besar.

Memandangkan tiket telah dibeli secara dalam talian, saya hanya perlu mengimbas kod QR untuk masuk ke platform.

Kereta api tiba beberapa minit sebelum waktu keberangkatan dan berlepas tepat pada masanya.

Ruang tempat duduk di dalam gerabak pula luas, selesa dan bersih.

Suasana kelas ekonomi premium di dalam kereta api laju, Whoosh.
Suasana kelas ekonomi premium di dalam kereta api laju, Whoosh. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Apabila dimaklumkan bahawa kereta api ini bergerak pada kelajuan maksimum 350 kilometer sejam, saya membayangkan pengalaman seperti menaiki ‘roller coaster’.

Namun sangkaan itu terhakis.

Perjalanannya amat tenang, tanpa bunyi enjin yang bising.

Pemandangan kehijauan di luar jendela pula menyejukkan mata.

Belum sempat mata terlelap, kereta api sudah pun tiba di Stesen Padalarang, Bandung Barat — perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 30 minit.

Malah, ia terasa lebih pantas berbanding menaiki MRT dari Tampines ke Jurong.

Dari situ, saya menyambung perjalanan menaiki kereta api pengantara atau feeder train percuma ke pusat bandar Bandung.

Setibanya di sana, saya terus menuju ke Alla Moda Textile & Tailor yang terletak di Jalan Burangrang.

Saya benar-benar terpegun melihat pelbagai pilihan fabrik yang ditawarkan — daripada batik, renda (lace), songket, brokat hinggalah satin, semuanya tersedia di bawah satu bumbung.

Ketika itu jam menunjukkan sekitar 11 pagi, dan saya memilih fabrik renda berlapik satin berwarna hijau lembut untuk kebaya saya, dipadankan dengan kain batik.

Proses pengukuran dan tempahan dijalankan dengan rapi serta profesional.

Kakitangan Alla Moda Textile & Tailor mengambil ukuran untuk baju yang ditempah koresponden, Cik Nur Humaira Sajat.
Kakitangan Alla Moda Textile & Tailor mengambil ukuran untuk baju yang ditempah koresponden, Cik Nur Humaira Sajat. - Foto BM

Memandangkan pakaian saya hanya siap keesokan harinya, saya mengambil peluang tersebut untuk berjalan-jalan di sekitar Bandung.

Antara persinggahan saya ialah Kartika Sari, sebuah kedai oleh-oleh yang terletak tidak jauh dari situ.

Pilihannya amat luas, termasuk kuih-muih yang sesuai untuk Hari Raya seperti nastar (tat nanas), puteri salju yang seakan-akan kuih makmur, dan lidah kucing.

Turut dijual ialah kek gulung, kek lapis serta pelbagai jenis kerepek.

Kuih tat nanas di Kartika Sari yang terletak di Bandung.
Kuih tat nanas di Kartika Sari yang terletak di Bandung. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT
Kedai Kartika Sari di Bandung.
Kedai Kartika Sari di Bandung. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Keesokan harinya, sekitar jam 11 pagi, pakaian saya sudah siap untuk diambil.

Bagi mereka yang tidak mahu kembali ke kedai, khidmat penghantaran ke hotel juga boleh diatur.

Harga jahitan yang dikenakan ialah 700,000 rupiah, manakala harga kain pula 415,000 rupiah, menjadikan jumlah keseluruhan 1,115,000 rupiah iaitu sekitar $85.

Ia sememangnya berpatutan dan mesra dompet jika dibandingkan dengan kos menempah pakaian di Singapura.

Koresponden, Cik Nur Humaira Sajat mencuba kebaya yang ditempah di Alla Moda Textile & Tailor.
Koresponden, Cik Nur Humaira Sajat mencuba kebaya yang ditempah di Alla Moda Textile & Tailor. - Foto BM

Saya cukup kagum dengan kepakaran tukang jahit di Indonesia yang mampu menyiapkan pakaian dalam tempoh sesingkat satu hari, lebih-lebih lagi ketika musim sibuk menjelang Ramadan.

Menurut pekedai, kebiasaannya tempahan dapat disiapkan dalam masa antara 24 dengan 36 jam, namun tempoh tersebut mungkin lebih panjang bagi rekaan yang rumit atau ketika permintaan memuncak.

Mereka yang kesuntukan masa juga boleh memilih perkhidmatan penghantaran pakaian terus dari Bandung ke Singapura.

Disarankan agar pengunjung periksa terlebih dahulu tentang keupayaan kedai menghasilkan baju dalam waktu singkat sebelum berkunjung.

Dengan baju Raya siap dalam genggaman, saya meninggalkan Bandung dengan hati yang puas.

Untuk perjalanan pulang ke Jakarta, saya mencuba pula kelas ‘Business’ Whoosh, dengan perbezaan harga sekitar $13 sahaja.

Sudah tentu tempat duduknya lebih luas dan selesa, selain sambutan mesra daripada kakitangan kereta api.

Terdapat dua tempat duduk di setiap sisi lorong berbanding dengan tiga dalam kelas ‘Premium Economy’.

Penulis, Cik Nur Humaira Sajat menikmati pemandangan di luar Whoosh.
Penulis, Cik Nur Humaira Sajat menikmati pemandangan di luar Whoosh. - Foto BM oleh EVA ADRIANA

Sepanjang perjalanan, saya turut disajikan bungkusan snek berupa roti serta sebotol air minuman.

Jadi, adakah ia berbaloi? Secara jujur, kelas ‘Premium Economy’ sudah lebih daripada mencukupi dan amat selesa bagi saya.

Jika berpeluang kembali ke Bandung pada masa akan datang, itulah pilihan yang akan saya ambil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg