Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA dapatkan pandangan orang ramai tambah baik pengangkutan awam

Langkah segarkan Pelan Induk Pengangkutan Darat untuk tangani cabaran penduduk menua, perubahan corak perjalanan
Nov 15, 2025 | 6:44 PM
Pengangkutan awam, pandangan
Pengguna pengangkutan awam boleh menyertai sesi perbincangan awam untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam dan mobiliti di Singapura. - Foto ST

Pengguna pengangkutan awam yang berminat mengusulkan cara menambah baik pengangkutan dan mobiliti di Singapura boleh berbuat demikian, setelah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) melancarkan usaha perundingan awam untuk segarkan semula Pelan Induk Pengangkutan Darat (LTMP).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, mendedahkan demikian sempena pelancaran Minggu Komuter Prihatin 2025 di Our Tampines Hub (OTH) pada 15 November.

Perundingan awam itu akan berlangsung selama tempoh 12 bulan.

Encik Siow berkata beliau berharap lebih ramai rakyat Singapura akan mempunyai rasa pemilikan dan bekerjasama dengan LTA sebagai rakan kerjasama dalam membentuk masa depan pengangkutan.

Pelan induk diperbaharui berkenaan yang dijadualkan dibentangkan pada 2027 akan dibangunkan berdasarkan matlamat LTMP 2040 di samping bertindak sebagai respons pada keadaan populasi yang semakin menua dan perubahan corak perjalanan.

LTA berkata sesi penglibatan ini akan memberi tumpuan kepada usaha mengkaji semula keutamaan berdasarkan keperluan, termasuk pembangunan baru yang terletak lebih jauh dari nod pengangkutan sedia ada.

Bagi menangani keperluan mobiliti rakyat Singapura yang pelbagai, LTA juga akan mengumpulkan pandangan tentang kesan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan autonomi serta teroka cara meningkatkan keselamatan dan keterangkuman berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam.

Memandangkan pengangkutan awam bukan sahaja mengenai perkakasan, tetapi juga menyentuh tentang keperluan orang ramai dan masyarakat, Encik Siow berkata empati adalah kunci untuk membina budaya penyayang dalam ruang ini, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Namun, beliau berkata sesetengah penumpang memberi tumpuan kepada pengalaman individu mereka, dan mengabaikan pandangan orang lain.

Memetik maklum balas baru-baru ini mengenai laluan bas baru di Choa Chu Kang, beliau berkata sesetengah penumpang meminta masa perjalanan yang lebih pendek, tetapi membantah apabila diberitahu ini mungkin bermakna mengalihkan perhentian bas berhampiran rumah mereka.

Beliau menambah ibu-ibu yang membawa anak-anak kecil juga telah menghantar e-mel kepadanya untuk berkongsi kesulitan yang mereka hadapi apabila kapten bas atau pemandu bas meminta mereka melipat kereta sorong bayi di dalam bas yang sesak.

Encik Siow berkata pengangkutan awam harus bersifat terangkum, secara ideal menyediakan ruang yang mencukupi untuk memuatkan kereta sorong bayi dan kerusi roda dengan selamat.

LTA akan mengadakan perbincangan bersemuka dan dalam talian untuk pengguna pengangkutan awam berkongsi keperluan dan aspirasi pengangkutan mereka.

Bagi menyokong usaha ini, LTA melancarkan laman web LTMP yang diperbaharui dan membuka pendaftaran untuk dialog secara bersemuka.

Ia juga akan melibatkan sekolah, kumpulan masyarakat, rakan kerjasama industri dan pihak berkepentingan lain melalui ceramah, pertandingan dan aktiviti lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg