Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA, pengendali kereta api, tubuh pasukan petugas baru tangani gangguan MRT, LRT

Langkah diambil susulan 15 kejadian kelewatan khidmat, gangguan rangkaian rel dalam tempoh tiga bulan
Sep 19, 2025 | 6:34 PM
Kakitangan SMRT memberi panduan kepada orang ramai semasa gangguan perkhidmatan di kawasan platform Stesen MRT Outram Park di Laluan Thomson-East Coast pada 17 September.
Kakitangan SMRT memberi panduan kepada orang ramai semasa gangguan perkhidmatan di kawasan platform Stesen MRT Outram Park di Laluan Thomson-East Coast pada 17 September. - Foto ST

Satu pasukan petugas baru terdiri daripada pakar teknikal dan pemimpin kanan daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali kereta api, SMRT dan SBS Transit, akan dibentuk untuk mencari huraian segera bagi meningkatkan kebolehpercayaan kereta api, dan tindak balas terhadap gangguan perkhidmatan.

Langkah tersebut diambil selepas sekurang-kurangnya 15 kejadian kelewatan perkhidmatan dan gangguan di seluruh rangkaian MRT dan LRT sepanjang tiga bulan lalu, dengan yang terkini menyebabkan khidmat kereta api di Laluan Thomson-East Coast (TEL) terhenti pada waktu sibuk pagi pada 17 September.

Pasukan petugas baru tersebut akan melaporkan dapatannya secara berkala kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, dan menyerahkan usulan akhir menjelang akhir 2025, menurut LTA, SMRT dan SBS Transit dalam satu kenyataan bersama pada 19 September.

Pasukan petugas tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTA, Encik Ng Lang, dan turut disertai CEO Kumpulan SMRT, Encik Ngien Hoon Ping, yang pernah mengetuai LTA sebelum ini, serta CEO Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim.

Pasukan petugas tersebut akan menyemak kejadian yang menyebabkan gangguan perkhidmatan baru-baru ini, bagi mengenal pasti komponen yang mungkin perlu diganti, dinaik taraf, atau ditingkatkan penyelenggaraannya.

Antara aspek yang akan diteliti ialah sama ada program pembaharuan sistem kuasa bagi Laluan Timur Laut (NEL) boleh dipercepatkan, lapor The Straits Times (ST).

Sistem NEL dan LRT Sengkang-Punggol mengalami gangguan bekalan elektrik yang besar selama beberapa jam pada 12 Ogos.

Susulan kejadian itu, LTA berjanji akan bekerjasama dengan pengendali SBS Transit bagi kerja naik taraf jangka panjang terhadap sistem bekalan kuasa tersebut.

Pasukan petugas tersebut akan juga mengkaji cara mengukuhkan sistem isyarat bagi NEL dan Laluan Circle pada jangka pendek sebelum pembaharuan dijadualkan.

NEL yang berusia 22 tahun dan CCL yang berusia 16 tahun, menggunakan sistem isyarat yang sama, dibekalkan oleh syarikat Perancis, Alstom.

Sistem ini penting kerana ia mengarahkan pergerakan kereta api, memastikan ia berada pada jarak selamat antara satu sama lain, serta memastikan ia beroperasi mengikut jadual.

Selain itu, pasukan petugas baru itu akan bersama-sama menjalankan audit teknikal penuh terhadap penyelenggaraan dan operasi sistem kritikal, serta meneliti cara mengurangkan kesan kelewatan perkhidmatan terhadap penumpang.

Ini termasuk menyemak proses pemulihan perkhidmatan dan rejim latihan bagi pegawai di lapangan.

Audit tersebut pula akan menilai proses penyelenggaraan, latihan dan kecekapan kakitangan, prosedur operasi dan sandaran, serta keadaan aset kereta api.

Dalam satu catatan Facebook pada 19 September, Encik Siow berkata beliau telah meminta LTA berkongsi lebih banyak maklumat dengan orang ramai mengenai siasatan berterusan pihak berkuasa terhadap gangguan kereta api baru-baru ini, dan langkah yang sedang diambil untuk menanganinya.

“Dengan terus memberi kemas kini kepada orang ramai, saya berharap anda dapat lebih memahami cabaran yang dihadapi, dan mengetahui bahawa kami komited sepenuhnya untuk memastikan rangkaian (kereta api) ini selamat dan boleh dipercayai,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg