Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lubang benam besar ragut nyawa di Seoul

Mar 25, 2025 | 2:56 PM
Petugas penyelamat berjalan melepasi sebuah lubang benam besar yang terbentuk di hadapan sebuah kedai tanaman di tepi jalan di Seoul pada 25 Mac 2025. Seorang lelaki disahkan maut selepas motosikalnya  ditelan oleh lubang tersebut, menurut Jabatan Bomba. Insiden ngeri itu dirakam dalam rakaman video yang menunjukkan detik kenderaan mangsa terjatuh ke dalam lubang secara tiba-tiba. Lubang berkenaan muncul secara mendadak di sebuah persimpangan sibuk di tenggara ibu kota Korea Selatan sekitar jam 6:30 petang waktu tempatan pada 24 Mac. 
Petugas penyelamat berjalan melepasi sebuah lubang benam besar yang terbentuk di hadapan sebuah kedai tanaman di tepi jalan di Seoul pada 25 Mac 2025. Seorang lelaki disahkan maut selepas motosikalnya ditelan oleh lubang tersebut, menurut Jabatan Bomba. Insiden ngeri itu dirakam dalam rakaman video yang menunjukkan detik kenderaan mangsa terjatuh ke dalam lubang secara tiba-tiba. Lubang berkenaan muncul secara mendadak di sebuah persimpangan sibuk di tenggara ibu kota Korea Selatan sekitar jam 6:30 petang waktu tempatan pada 24 Mac.  - Foto AFP

SEOUL: Seorang lelaki disahkan maut selepas sebuah lubang benam besar terbentuk secara tiba-tiba di sebuah persimpangan sibuk di tenggara ibu kota Korea Selatan pada waktu puncak petang 24 Mac, menurut Jabatan Bomba Seoul.

Insiden yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu meragut nyawa seorang penunggang motosikal apabila kenderaannya ditelan oleh lubang tersebut. Rakaman kamera papan pemuka atau dashcam’ yang dikongsi oleh seorang ahli dewan tempatan kepada agensi berita AFP menunjukkan detik mencemaskan apabila lubang muncul secara mendadak di tengah jalan raya yang sibuk.

Sebuah motosikal terjatuh ke dalam lubang itu manakala sebuah kereta nyaris mengalami nasib sama sebelum tergelincir dan berjaya melantun keluar dari lubang secara mengejut.

Pasukan bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran yang berlangsung selama 17 jam. Usaha itu melibatkan anggota penyelamat memakai pakaian kalis air, menggunakan tangan untuk menggali serta dibantu oleh anjing pengesan.

Menurut Pegawai Bomba dari Balai Bomba Gangdong, Encik Kim Chang-seop, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an ditemui pada 25 Mac dalam keadaan jantung terhenti, kira-kira 50 meter dari garis tengah lubang benam tersebut.

“Mangsa ditemui tertimbus sedalam kira-kira 90 sentimeter, masih lengkap memakai topi keledar dan kasut motosikal,” kata Encik Kim dalam satu sidang media. “Kami amat kesal kerana tidak dapat membawa berita yang lebih baik,” ujarnya.

Pemandu kereta yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan kini dalam keadaan stabil.

Lubang itu kini dianggarkan berukuran sekitar 20 meter lebar dan 20 meter dalam. Menurut pihak bomba, punca kejadian masih dalam siasatan, namun lokasi tersebut merupakan tapak kerja sambungan laluan metro bawah tanah yang sedang dijalankan ketika kejadian berlaku.

Jurucakap Bandar Raya Seoul memberitahu AFP bahawa aktiviti pembinaan berkenaan mungkin antara beberapa faktor penyebab yang menyumbang kepada kejadian ini.

“Terdapat beberapa faktor yang mungkin terlibat. Sebaik sahaja tanah di sekeliling dan serpihan dibersihkan, kami akan menjalankan siasatan menyeluruh bersama pasukan pakar untuk menentukan punca sebenar,” jelas jurucakap itu.

Insiden lubang benam sedemikian jarang berlaku di Korea Selatan, dengan purata kurang daripada 200 kes direkodkan setiap tahun. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kejadian serupa yang dilaporkan di Jepun, negara jiran yang lebih kerap mengalami fenomena ini.

“Walaupun kejadian ini tragis, ia memberi isyarat jelas kepada pihak berkuasa untuk memperketat pemantauan keselamatan projek pembinaan bawah tanah,” kata seorang aktivis keselamatan awam di Seoul.
“Kami harap siasatan nanti bukan sahaja mengenal pasti punca tetapi juga mencegah kejadian seperti ini daripada berulang,” tambahnya. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg