Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lula tewaskan Bolsonaro bagi jawatan presiden Brazil

Nov 01, 2022 | 05:30 AM



SAO PAULO: Encik Luiz Inacio Lula da Silva memenangi pilihan raya presiden Brazil, dalam kemunculan semula dramatik bagi ahli politik berhaluan kiri itu, yang pernah meringkuk di penjara hanya tiga tahun lalu atas tuduhan rasuah.



Beliau mengalahkan penyandang Encik Jair Bolsonaro dengan 50.9 peratus undi berbanding 49.1 peratus dalam pilihan raya kedua Ahad lalu, menurut pengiraan rasmi.



Ia menandakan perubahan arah untuk ekonomi terbesar Amerika Latin selepas kempen hangat yang menunjukkan perpecahan melampau di kalangan pengundi, dan menandakan kali pertama seorang presiden Brazil tewas dalam pemilihan semula.



Presiden Amerika Syarikat Encik Joe Biden dengan cepat mengucapkan tahniah kepada Encik Lula atas kemenangannya dalam "pilihan raya yang bebas, adil dan boleh dipercayai". China, rakan dagang terbesar Brazil, turut memuji presiden yang dipilih itu dalam catatan Twitter oleh kedutaan tempatannya.



Pemimpin Perancis Encik Emmanuel Macron melakukan perkara yang sama, mengatakan pilihan raya itu membuka "halaman baru" dalam sejarah Brazil.



Speaker dewan rendah Brazil Encik Arthur Lira, sekutu Encik Bolsonaro, menulis di media sosial bahawa "kehendak majoriti tidak boleh dicabar," manakala ketua Senat Encik Rodrigo Pacheco memuji sistem pengundian elektronik negara itu.



Encik Bolsonaro bagaimanapun masih belum mengakui atau mengulas mengenai keputusan itu.



Encik Lula memberitahu penyokong beliau tidak menerima panggilan telefon daripada Encik Bolsonaro dan akhbar O Globo berkata beliau tidak dapat dihubungi biarpun oleh sekutu terdekatnya. Reaksi presiden akan diperhatikan dengan teliti oleh pelabur.



"Saya menganggap diri saya sebagai seseorang yang telah dibangkitkan," kata Encik Lula dalam ucapan pertamanya sebagai presiden terpilih di Sao Paulo. "Mereka cuba menanam saya hidup-hidup."



Beliau berjanji menyatukan semula negara selepas persaingan yang memecahbelahkan, membina semula hubungan dengan institusi pemerintah lain.



Matlamat pertamanya, tambahnya, adalah untuk "sekali lagi menghentikan kelaparan" sambil menarik pelabur asing untuk membangunkan semula industri ekonomi terbesar Amerika Latin. Beliau berjanji melaksanakan dasar "penebangan sifar hutan" Amazon.



Di pusat bandar Rio de Janeiro, orang ramai yang telah berkumpul di hadapan dewan perbandaran di bandar itu untuk menyaksikan keputusan melonjak penuh kegembiraan apabila undian terakhir semakin hampir.



Penyokong calon presiden yang berpakaian merah, menembak roket botol dan melemparkan bir ke udara. Ada pasangan yang berpelukan, yang lain menangis.



"Ia tempoh empat tahun yang sukar, saya kehilangan pekerjaan dalam wabak itu dan melihat ramai yang lain berhempas pulas untuk bertakat," kata Encik Flavio Nema, 25 tahun, seorang guru sejarah yang tidak bekerja. "Tidak mudah untuk Lula, beliau menghadapi kongres menentangnya."



Keputusan itu menetapkan penggal ketiga untuk bekas presiden, yang berkempen atas ikrar untuk mengurangkan ketidaksamaan dan melindungi alam sekitar sambil memelihara kesihatan fiskal negara.



Pilihan raya itu mendedahkan jurang perbezaan antara minoriti yang besar yang menyokong retorik populis sayap kanan Encik Bolsonaro yang pro-perniagaan, dengan pengundi yang kebanyakannya lebih miskin yang mengharapkan masa yang lebih baik di bawah Encik Lula, yang mengawasi lonjakan ekonomi di tengah-tengah ledakan eksport komoditi ketika beliau memimpin negara itu dari 2003 hingga 2010.



Di sebalik kejayaannya, presiden yang dipilih itu menghadapi negara yang berpecah belah dan kongres yang berpecah, dengan sekutu Encik Bolsonaro telah menawan kehadiran besar di kedua-dua dewan selain mengawal tiga negeri paling ramai penduduk di negara itu, Sao Paulo, Minas Gerais dan Rio de Janeiro.



"Cabaran Lula mentadbir lebih besar daripada memenangi pilihan raya. Masyarakat Brazil perlu dibina semula dalam asas institusi dan fiskalnya," kata Cik Carolina Botelho, seorang saintis politik di Institut Pengajian Lanjutan di Universiti Sao Paulo.



"Lula perlu memulihkan kepercayaan dalaman dan luaran ejen kewangan dan masyarakat sivil." - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >