Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Macron selar sikap kebencian agama selepas seorang jemaah dibunuh di masjid

Apr 28, 2025 | 1:01 PM
Kira-kira 1,000 orang berarak melalui La Grand-Combe, yang mempunyai hanya 5,000 penduduk, untuk mengingati mangsa pembunuhan bermotif kebencian agama pada 27 April.
Kira-kira 1,000 orang berarak melalui La Grand-Combe, yang mempunyai hanya 5,000 penduduk, untuk mengingati mangsa pembunuhan bermotif kebencian agama pada 27 April. - Foto AFP

LA GRAND-COMBE (Perancis): Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menyelar sikap “perkauman dan kebencian” selepas kejadian menikam kejam hingga mati seorang Muslim di sebuah masjid di selatan negara itu.

Pegawai berkata penyerang itu, yang kini diburu polis, telah menikam Encik Aboubakar Cisse, seorang pemuda Mali berusia awal 20-an, berpuluh kali dan kemudian merakamnya dengan telefon bimbit sambil menjerit kata-kata yang menghina Islam.

Serangan di La Grand-Combe di wilayah Gard adalah yang terbaru dalam siri tikaman maut di Perancis dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia mengejutkan para pemimpin negara, dengan Encik Macron akhirnya bersuara di laman sosial X pada 27 April.

“Perkauman dan kebencian berdasarkan agama tidak ada tempat di Perancis. Peraturan kebebasan beribadat tidak boleh dicemari,” tulisnya, menawarkan sokongan kepada “sesama warga negara Islam”.

Perdana Menteri Perancis, Encik Francois Bayrou, sebelum ini melabelkan serangan tersebut sebagai “kekejaman Islamofobia” meskipun pihak pendakwa dalam kes itu menekankan bahawa Islamofobia hanyalah salah satu motif yang sedang dipertimbangkan.

Menteri Dalam Negeri, Encik Bruno Retailleau, berkata dalam komen di televisyen bahawa beliau telah mengarahkan polis untuk mengetatkan kawalan keselamatan di masjid-masjid di serata negara itu.

Kira-kira 1,000 orang berarak melalui La Grand-Combe, yang mempunyai hanya 5,000 penduduk, untuk mengingati mangsa pada 27 April.

Dalam perhimpunan di Paris pula, pemimpin sayap kiri, Encik Jean-Luc Melenchon, menuduh pemerintah memupuk “iklim Islamofobia” pada masa isu imigresen berada di puncak agenda politik.

Penyiasat berkata, pembunuh yang didakwa menghantar video yang dirakamnya dengan telefonnya – yang menunjukkan mangsa terkapar-kapar kesakitan – menyebarkannya di platform media sosial sebelum memadamkannya.

Penyerang itu hanya dinamakan sebagai Olivier A., ​​dilahirkan di Perancis pada 2004 dan menganggur tanpa rekod jenayah.

Selepas pada mulanya solat bersama lelaki itu di masjid, suspek tiba-tiba menikam mangsa sehingga 50 kali sebelum melarikan diri.

Mayat mangsa ditemui lewat pagi ketika jemaah lain tiba di masjid untuk mengerjakan solat Jumaat.

Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) berkata ia “ngeri” dengan “serangan pengganas anti-Muslim” dan menggesa umat Islam di Perancis supaya “lebih berwaspada”.

“Pembunuhan jemaah di masjid adalah jenayah keji yang tentunya merobek hati semua rakyat Perancis,” tambah Majlis Perwakilan Institusi Yahudi Perancis (CRIF).

Pendakwa raya wilayah, Encik Abdelkrim Grini, berkata: “Suspek berpotensi amat berbahaya dan dia perlu ditangkap sebelum dia menyerang lebih ramai mangsa.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg