Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaghribi lantik perdana menteri wanita pertama dalam sejarah
Fatima Ezzahra ditugas bentuk kerajaan baharu selepas partinya menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen
Maghribi lantik perdana menteri wanita pertama dalam sejarah
RABAT: Raja Mohammed VI melantik Cik Fatima Ezzahra El Mansouri sebagai Perdana Menteri wanita pertama Maghribi, mencatat sejarah baharu ketika negara itu berdepan cabaran ekonomi, pengangguran dan rasa tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatan awam.
Cik El Mansouri, 50 tahun, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Perancangan Bandar dan Perumahan serta Datuk Bandar Marrakesh, ditugaskan membentuk kerajaan baharu selepas partinya, Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM), memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen pada 23 September.
Istana diraja mengumumkan pelantikan itu pada 29 September selepas Raja Mohammed VI menerima Cik El Mansouri di Istana Diraja di Rabat.
Dalam kenyataan pertamanya selepas pelantikan itu, Cik El Mansouri menyifatkan pemilihannya sebagai satu detik bersejarah bukan sahaja untuk dirinya, malah bagi wanita di seluruh Maghribi.
“Buat pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang wanita memikul tanggungjawab memimpin kerajaan,” katanya.
“Ini bukan sahaja satu kebanggaan bagi saya, tetapi juga bagi semua wanita Maghribi. Ini adalah mesej kepada semua wanita di negara ini,” tambahnya.
Pelantikannya turut menjadikan Cik El Mansouri wanita kedua yang pernah mengetuai kerajaan di dunia Arab selepas Cik Najla Bouden Romdhan menjadi Perdana Menteri Tunisia dari Oktober 2021 hingga Ogos 2023.
Namun, tugas pertama Cik El Mansouri adalah membentuk sebuah kerajaan campuran yang stabil.
PAM memenangi 97 daripada 395 kerusi Dewan Perwakilan, jauh daripada 198 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah dan memerintah secara bersendirian.
Di bawah sistem raja berperlembagaan Maghribi, Raja melantik Perdana Menteri daripada parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen.
PAM menyatakan kesediaan bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan, tetapi beberapa parti, termasuk Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) serta Persekutuan Kiri Demokratik, sudah mengumumkan bahawa mereka akan kekal sebagai pembangkang.
Pembentukan kerajaan baharu menjadi penting kerana pentadbiran Cik El Mansouri bakal mengendalikan pelaburan bernilai berbilion dolar menjelang Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2030, yang akan dianjurkan bersama oleh Maghribi, Sepanyol dan Portugal.
Pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana ketidakpuasan hati dalam kalangan sebahagian rakyat terhadap kadar pengangguran, mutu perkhidmatan awam dan peluang ekonomi.
Kadar keluar mengundi juga dilaporkan yang terendah dalam tempoh hampir dua dekad, mencerminkan cabaran yang dihadapi kerajaan baharu untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Dilahirkan di Marrakesh pada 1976, Cik El Mansouri mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang.
Beliau melanjutkan pengajian di Perancis dan Amerika Syarikat, termasuk di Universiti Montpellier dan Universiti New York, sebelum bekerja sebagai peguam dalam bidang hartanah.
Kerjaya politiknya mula mendapat perhatian pada 2009 apabila beliau dipilih sebagai Datuk Bandar Marrakesh, sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan itu.
Selepas pilihan raya 2021, beliau kembali mengetuai majlis perbandaran Marrakesh sebelum dilantik menyertai kerajaan pusat pada Oktober tahun sama sebagai Menteri Perancangan Wilayah, Pembangunan Bandar, Perumahan dan Dasar Bandar.
Sepanjang memegang portfolio itu, beliau mengendalikan beberapa dasar penting, termasuk program bantuan perumahan secara langsung, pembaharuan perancangan bandar dan usaha menyediakan penempatan semula bagi penduduk yang terjejas akibat gempa bumi Al Haouz.
Pelantikan Cik El Mansouri juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Maghribi menampilkan imej sebuah negara Islam yang semakin moden dan memberikan ruang lebih luas kepada wanita dalam kepimpinan.
Sepanjang 27 tahun pemerintahan Raja Mohammed VI, beberapa pembaharuan undang-undang, termasuk perubahan kepada undang-undang keluarga, telah memperluas hak wanita.
Namun, penganalisis berkata kemunculan wanita dalam jawatan kanan kerajaan tidak semestinya mencerminkan kemajuan yang sama bagi semua wanita Maghribi, khususnya mereka yang masih berdepan kekangan ekonomi dan sosial.
Zamil kanan Institut Timur Tengah di Washington, Cik Intissar Fakir, berkata pelantikan seorang wanita sebagai Perdana Menteri membawa makna besar dari sudut simbolik dan akan mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
“Dari perspektif kerajaan, mempunyai seorang Perdana Menteri wanita membawa kesan yang sangat besar,” katanya.
Bagaimanapun, Cik El Mansouri juga membawa rekod politik yang akan terus diperhatikan.
Beliau sebelum ini berdepan kritikan terhadap beberapa dasar ketika menjadi Datuk Bandar Marrakesh dan Menteri Perumahan.
Pada 2025, beliau turut berdepan tuduhan konflik kepentingan berhubung urus niaga tanah yang membabitkan keluarganya, dakwaan yang dinafikannya.
Justeru, di sebalik nilai simbolik pelantikannya, ujian utama Cik El Mansouri kini adalah membentuk kerajaan campuran yang berfungsi, menangani tekanan ekonomi dan memenuhi harapan rakyat ketika Maghribi mempercepat persiapan menuju Piala Dunia 2030. – Agensi berita.