Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaghribi sertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza
Maghribi sertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza
Penguasa Palestin, Lembaga Keamanan rangka langkah percepat pembinaan semula Gaza
Maghribi sertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza
RABAT: Maghribi secara rasmi menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza selepas menandatangani perjanjian dengan Lembaga Keamanan bagi menghantar pegawai kanan tenteranya ke markas bersama pasukan itu, sekali gus menjadi antara negara pertama yang memulakan penyertaan dalam misi berkenaan.
Perjanjian itu ditandatangani di Rabat selepas pertemuan yang dihadiri Menteri Luar Maghribi, Encik Nasser Bourita; Menteri Pertahanan, Encik Abdellatif Loudiyi, serta utusan utama Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nikolay Mladenov.
Menurut Angkatan Tentera Diraja Maghribi, pertemuan itu diadakan atas titah Raja Mohammed VI yang juga Pengerusi Jawatankuasa Al-Quds.
Tentera Maghribi dalam satu kenyataan berkata, perjanjian berkenaan menyediakan rangka kerja perundangan yang mengawal aspek teknikal dan operasi penyertaan negara itu dalam ISF.
“Perjanjian ini mencerminkan komitmen bersama untuk menyumbang kepada keamanan dan keselamatan menerusi inisiatif kemanusiaan serta keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Ia turut menyifatkan penyertaan Maghribi sebagai manifestasi komitmen negara itu terhadap nilai keamanan, kerjasama dan solidariti antarabangsa.
Pegawai Lembaga Keamanan mengalu-alukan keputusan Maghribi untuk menyertai misi berkenaan dengan menempatkan pegawai kanan tentera di Markas Bersama ISF di Gaza.
Bagaimanapun, jumlah anggota yang akan dihantar, jadual penempatan serta tugasan khusus mereka masih belum diumumkan.
Encik Bourita berkata penyertaan Maghribi selaras dengan komitmen berterusan Raja Mohammed VI dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat serta sokongan terhadap rakyat Palestin.
“Visi Baginda sentiasa konsisten, berteraskan penyelesaian praktikal tanpa menjejaskan pendirian tetap Maghribi terhadap perjuangan Palestin,” katanya.
Beliau berkata Maghribi sebelum ini telah menyalurkan ratusan tan bantuan makanan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke Gaza menerusi laluan darat khas yang dirundingkan sendiri oleh negara itu.
Selain bantuan kemanusiaan, Agensi Bayt Mal Al-Quds turut melaksanakan pelbagai program termasuk pembinaan dan baik pulih sekolah, membantu hospital di Baitulmakdis Timur, menyediakan biasiswa kepada pelajar Palestin, menjaga kebajikan anak yatim serta membiayai projek ekonomi untuk keluarga yang memerlukan.
Sebagai anggota pengasas Lembaga Keamanan yang ditubuhkan pada Sidang Kemuncak Washington, Maghribi turut merancang menghantar anggota Gendarmerie Diraja, pegawai keselamatan Direktorat Am Keselamatan Negara (DGSN) serta sebuah hospital medan tentera ke Gaza.
Pihak Maghribi berkata pengalaman luas negara itu dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menjadi asas penting kepada sumbangannya dalam ISF.
Menurut pegawai yang terbabit dalam perancangan Lembaga Keamanan, pasukan Maghribi dijangka bertanggungjawab mengawal perimeter zon perintis kemanusiaan berhampiran bandar Rafah di selatan Gaza.
Bagaimanapun, pembinaan zon berkenaan masih belum dimulakan kerana Israel belum menandatangani Perjanjian Status Angkatan Tentera yang menjadi syarat utama sebelum sebarang penempatan tentera asing dapat dilakukan.
Seorang pegawai kanan Arab berkata kemajuan besar dijangka hanya berlaku selepas pilihan raya Israel pada Oktober ini berikutan pemerintah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dikatakan masih berhati-hati dalam memberi kerjasama terhadap projek bantuan di Gaza.
Sumber lain pula memaklumkan pembinaan zon kemanusiaan itu dijangka hanya bermula pada awal 2027.
Sementara menunggu proses itu dimuktamadkan, beberapa delegasi kecil daripada negara penyumbang sudah berada di Israel dan beroperasi dari sebuah pangkalan di selatan negara itu.
ISF diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan peralihan pascaperang di Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada September 2025.
Pelan damai 20 perkara itu merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan Israel, pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza, penubuhan pemerintah teknokrat, penempatan ISF serta pelucutan senjata Hamas.
Fasa pertama pelan itu bermula pada 10 Oktober 2025.
Walaupun Hamas mendakwa telah memenuhi komitmennya dengan membebaskan tahanan Israel, pelaksanaan fasa kedua masih tergendala selepas Israel enggan meneruskan pengunduran tenteranya dan terus mengutamakan isu pelucutan senjata kumpulan Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) dan Lembaga Keamanan memperkukuh kerjasama bagi mempercepat usaha pemulihan awal di Gaza menerusi mesyuarat Pejabat Penyelarasan Bersama yang diadakan di luar Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc (AHLC) di Brussels, Belgium.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Mustafa, bersama utusan utama Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nikolay Mladenov, serta Ketua NCAG, Encik Ali Shaath.
Turut hadir Pesuruhjaya Kewangan NCAG, Encik Bashir Al-Rayyis; Menteri Kewangan dan Perancangan Palestin, Encik Estephan Anton Salameh, serta penasihat Perdana Menteri Palestin, Encik Omar Awadallah.
Menurut kenyataan NCAG, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyelarasan antara pemerintah Palestin, Lembaga Keamanan dan rakan antarabangsa bagi mempercepat pemulihan perkhidmatan asas, memperluaskan bantuan kemanusiaan serta melaksanakan program pemulihan awal menjelang fasa pembinaan semula Gaza.
Semua pihak turut menegaskan kepentingan kerjasama lebih rapat antara institusi Palestin, negara serantau dan masyarakat antarabangsa bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih cekap, telus dan mampan kepada kira-kira 2.2 juta penduduk Gaza.
Encik Shaath berkata NCAG kini bersedia mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab pentadbiran wilayah itu sebaik sahaja keadaan keselamatan mengizinkan.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera menterjemahkan komitmen politik dan janji pembiayaan kepada tindakan konkrit bagi memenuhi keperluan kemanusiaan dan pembangunan rakyat Gaza.
“Rakyat Gaza memerlukan tindakan segera, bukan sekadar janji. Bantuan kewangan dan sokongan antarabangsa perlu disalurkan tanpa berlengah bagi membolehkan proses pemulihan dimulakan,” katanya.
Semasa Mesyuarat Penderma AHLC, Encik Shaath turut membentangkan pelan pemulihan menyeluruh Gaza yang menggariskan peralihan daripada bantuan kecemasan kepada fasa pemulihan awal, termasuk usaha memulihkan bekalan air dan elektrik, perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta fungsi institusi awam.
Pada mesyuarat sama, peserta turut melancarkan inisiatif “Pasukan Gaza”, yang menghimpunkan lebih 12 negara penderma bersama Bank Pelaburan Eropah (EIB) dan Bank Dunia bagi menggerakkan dana kira-kira AS$1 bilion (S$1.29 bilion) untuk menyokong program pemulihan awal Gaza.
Dana itu dijangka digunakan untuk membaik pulih prasarana asas, menghidupkan semula ekonomi tempatan, menyediakan perkhidmatan awam serta membantu persediaan ke arah pembinaan semula Gaza secara menyeluruh.
NCAG ialah badan pentadbiran teknokrat sementara yang ditubuhkan mengikut Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pelan Damai 20 Perkara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Badan itu mengadakan mesyuarat sulungnya di Kaherah pada 15 Januari lalu dan diberi mandat untuk mentadbir Gaza sepanjang tempoh peralihan sehingga pentadbiran awam yang lebih kekal dapat diwujudkan.
NCAG bertanggungjawab menyelaras bantuan kemanusiaan, memulihkan perkhidmatan asas, mengurus pemulihan awal serta menyediakan asas kepada pembinaan semula wilayah yang musnah akibat konflik.
Mengikut pelan damai itu, NCAG akan memainkan peranan utama dalam memastikan proses pemulihan dan pembangunan semula Gaza dapat dilaksanakan secara tersusun dengan sokongan Lembaga Keamanan, Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) serta negara-negara penderma antarabangsa. - Agensi berita

