Topik diikuti
Pergi ke BHkuTuntutan serah peta terowong, senjata peribadi gugat rundingan Gaza
Tuntutan serah peta terowong, senjata peribadi gugat rundingan Gaza
Tuntutan serah peta terowong, senjata peribadi gugat rundingan Gaza
KAHERAH: Rundingan gencatan senjata di Mesir antara pelbagai kumpulan Palestin dan negara pengantara kini berdepan ujian besar selepas wakil tertinggi Lembaga Keamanan (Board of Peace), Encik Nickolay Mladenov, menuntut supaya tidak ada “walau sebutir peluru” pun yang tinggal di Gaza.
Tuntutan keras itu mencetuskan kebuntuan baharu dalam rundingan yang bertujuan menamatkan perang Israel di Gaza, dengan kumpulan Palestin menyifatkan syarat pelucutan senjata menyeluruh itu sebagai selari dengan tuntutan maksimum Israel.
Di bawah pelan yang disokong Amerika Syarikat, Hamas bukan sahaja diminta menyerahkan semua senjata berat dan ringan, malah turut dikehendaki menyerahkan peta rangkaian terowong, bengkel pembuatan senjata dan senjata persendirian milik penduduk Gaza.
Sumber yang terlibat dalam rundingan di Kaherah berkata isu penyerahan senjata Palestin kini menjadi penghalang terbesar kepada usaha menamatkan perang sepenuhnya.
“Bagi pihak Palestin, tuntutan ini dilihat terlalu melampau dan seolah-olah mengikut sepenuhnya kehendak Israel,” kata seorang pegawai Palestin.
Kebuntuan itu tertumpu kepada Klausa 8 dalam pelan gencatan senjata Oktober 2025 yang diusahakan Amerika Syarikat. Klausa berkenaan menetapkan syarat pelucutan senjata, pengurusan prasarana ketenteraan di Gaza pascaperang serta pemindahan tanggungjawab keselamatan kepada badan Palestin bersatu.
Menurut sumber yang mengetahui perjalanan rundingan kepada AlJazeera, Hamas pada awalnya menunjukkan sikap positif terhadap klausa itu.
Buat pertama kali, Hamas dilaporkan bersedia menyerahkan inventori dan simpanan senjata berat termasuk roket, peluru berpandu dan misil antikereta kebal Kornet.
“Negara pengantara menyambut baik perkembangan ini kerana sebelum ini Hamas langsung enggan berbincang mengenai isu senjata,” kata sumber itu.
Namun, perbezaan besar muncul apabila kedua-dua pihak mengemukakan versi berbeza mengenai syarat pelaksanaan pelucutan senjata.
Dalam draf dikemukakan Encik Mladenov, semua senjata perlu dikumpul secara berperingkat mengikut jadual dipersetujui dan dipantau pejabat Wakil Tinggi, Jawatankuasa Pengesahan Pelaksanaan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Pelaksanaan itu akan dikendalikan Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), dengan semua kumpulan bersenjata Palestin perlu menyerahkan maklumat prasarana ketenteraan dan senjata mereka.
Bagaimanapun, Hamas dan kumpulan Palestin lain menetapkan syarat bahawa proses penyerahan senjata berat mesti dilakukan serentak dengan pengunduran tentera Israel dari Gaza secara berperingkat.
Mereka juga mahu pelaksanaan itu dikaitkan dengan pembentukan negara Palestin dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Apabila teks pindaan Palestin itu dibentangkan kepada Israel, ia ditolak sepenuhnya.
Israel kemudian mengemukakan tuntutan baharu termasuk pemusnahan keseluruhan rangkaian terowong Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, selain semua fasiliti berkaitan kumpulan itu.
Menurut sumber Palestin, selepas Hamas menolak syarat tersebut, Encik Mladenov mengambil pendirian sama dengan Israel.
“Beliau berkata semua perkara mesti diserahkan termasuk peta terowong, bengkel pembuatan senjata, senjata berat dan senjata ringan,” kata sumber itu.
Seorang pegawai kanan Hamas mengesahkan rundingan masih berjalan, tetapi mengakui tuntutan pelucutan senjata sepenuhnya memberi tekanan besar kepada proses tersebut.
“Mladenov menegaskan Gaza mesti bebas sepenuhnya daripada sebarang senjata sehingga tidak tinggal walau sebutir peluru,” katanya.
Menurutnya, tuntutan itu meliputi semua pihak termasuk kumpulan bersenjata, keluarga dan individu biasa.
Pada 12 Jun lalu, kumpulan Palestin dilaporkan mencapai persetujuan bersama untuk mengubah Klausa 8 dengan menawarkan proses inventori dan penyimpanan senjata berat.
Namun beberapa hari kemudian, Encoik Mladenov mengemukakan pindaan baharu berdasarkan pelan damai 15 perkara yang turut menuntut pembubaran keupayaan ketenteraan Hamas dan kumpulan Palestin lain.
Pelan itu juga mengulangi tuntutan supaya semua senjata peribadi milik penduduk Gaza diserahkan kepada NCAG menerusi sistem pembelian atau pelesenan ketat.
Dokumen rasmi itu diserahkan kepada kumpulan Palestin pada 17 Jun dan kini sedang diteliti.
Seorang sumber Palestin berkata semua kumpulan dijangka mengadakan pertemuan menyeluruh bagi mencapai pendirian bersama sebelum mengemukakan respons baharu kepada Mladenov.
“Pintu rundingan masih belum tertutup,” kata sumber Palestin.
Bagaimanapun, pemimpin Palestin terus menolak tuntutan pelucutan senjata sepenuhnya kerana melihatnya sebagai usaha melemahkan perjuangan Palestin.
Pegawai media Jawatankuasa Penentangan Popular, Encik Mohammad al-Braim atau Abu Mujahid, berkata kumpulan Palestin sudah menunjukkan “fleksibiliti luar biasa” dalam isu pengurusan senjata.
“Kami tidak akan mengangkat bendera putih dan tidak akan tunduk kepada ancaman atau tekanan,” katanya.
Beliau menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Encik Mladenov cuba menjadikan isu senjata sebagai alat untuk mengawal keseluruhan proses damai.
Menurutnya, sebarang langkah pelucutan senjata mesti dikaitkan dengan penyelesaian politik menyeluruh dan pengunduran penuh Israel dari Gaza.
Penganalisis politik Palestin, Encik Saeed Ziad, pula mendakwa cadangan asal Palestin hanyalah untuk “menyusun semula senjata penentangan”, bukannya melucutkan senjata sepenuhnya.
“Tiada perbincangan mengenai pembubaran pasukan ketenteraan selagi negara Palestin yang merdeka belum diwujudkan,” katanya.
Beliau turut menuduh Encik Mladenov tidak lagi bersikap berkecuali.
“Mladenov bukan bertindak sebagai pengantara damai, tetapi melaksanakan apa yang dimahukan Israel,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai Lembaga Keamanan menolak dakwaan bahawa Mladenov memihak kepada Israel.
Menurutnya, rangka kerja rundingan itu dihasilkan menerusi penglibatan meluas semua pihak termasuk Mesir, Qatar dan Turkey.
“Pelan ini bukan cadangan mana-mana individu atau institusi tertentu,” katanya.
Beliau menegaskan rundingan tidak hanya tertumpu kepada isu keselamatan semata-mata, sebaliknya melibatkan pakej menyeluruh termasuk pentadbiran, bantuan kemanusiaan, pembinaan semula Gaza dan pengunduran tentera Israel secara berperingkat. - Agensi berita
