RABAT: Buat kali pertama dalam sejarah pemerintahan Raja Mohammed VI, rakyat Maghribi menyambut Aidiladha tanpa ibadah penyembelihan haiwan korban.
Arahan itu dikeluarkan sendiri oleh Raja dalam sebuah surat rasmi pada Februari, sebagai respons kepada krisis ekonomi yang semakin parah dan kemerosotan sektor pertanian akibat kemarau berpanjangan.
Sambutan Aidiladha pada 7 Jun lebih suram dan berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
“Melaksanakan ibadah korban dalam keadaan yang sukar seperti ini boleh mendatangkan beban besar kepada rakyat, terutama yang berpendapatan rendah,” jelas surat titah diraja yang dibacakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam.
Harga seekor kambing yang melambung tinggi mencecah sehingga AS$600 ($770) atau kira-kira $7.5 sekilogram menyukarkan ramai rakyat melaksanakan ibadah itu.
Tambahan pula, gaji minimum bulanan di Maghribi hanyalah sekitar 3,100 dirham ($430).
Pakar ekonomi dan Pengarah Observatory of Government Action, Encik Mohammed Jadri, menyifatkan keputusan Raja membatalkan korban sebagai satu langkah bijak dari segi sosial dan ekonomi.
“Kuasa beli rakyat semakin menurun. Dengan membatalkan korban, ramai keluarga tidak perlu lagi rasa terbeban untuk berhutang atau menjual barang demi membeli kambing,” katanya.
Namun, kesannya turut dirasai golongan petani kecil dan penternak, yang lazimnya bergantung kepada musim Aidiladha untuk menjana pendapatan.
“Penduduk luar bandar sangat bergantung pada musim ini, terutama selepas tahun-tahun kemarau. Ia biasanya menjadi peluang untuk menampung kerugian dalam sektor pertanian,” tambah Encik Jadri.
Setiap tahun, sekitar 230,000 haiwan dikorbankan sempena Aidiladha.
Namun, dengan jumlah ternakan negara menyusut 38 peratus akibat tujuh tahun kemarau berterusan, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memulihkan jumlah ternakan sebelum 2027.
Sebagai tindak balas kepada arahan Raja, kerajaan mengumumkan pakej bantuan bernilai 700 juta dirham bagi menyokong penternak.
Menteri Pertanian, Encik Ahmed El Bouari, berkata kerajaan akan membatalkan hutang untuk 50,000 penternak dan memberi pampasan 400 dirham bagi setiap haiwan betina yang tidak dikorbankan.
Bagi rakyat biasa, keputusan itu membawa kelegaan dan juga emosi bercampur.
Pengusaha dobi di Rabat, Cik Fatima berkata ramai keluarganya tidak mampu membeli kambing pada 2025.
“Ini bukan keadaan biasa bagi Maghribi. Tapi kata-kata Raja mencerminkan kepimpinan yang prihatin.
“Baginda mengangkat nilai Islam yang sebenar, ringankan beban rakyat dan utamakan golongan miskin,” katanya.
Di pasar raya besar, suasana Aidiladha juga tidak semeriah biasa.
Penduduk daerah Benslimane, Encik Abdelali, berkata: “Saya berada di pasar raya Marjane sekarang. Ruang jualan alat sembelihan sangat kecil, promosi pun hampir tiada.
“Kalau orang luar datang, mereka takkan sangka Aidiladha sudah tiba.”
Beliau turut menegaskan bahawa mempersoalkan arahan Raja akan menimbulkan reaksi sosial negatif.
“Solat sunat Aidiladha tetap dijalankan, keluarga masih berkumpul, cuma pisau kekal bersih,” katanya sinis.
Namun tidak semua akur.
Di bandar besar seperti Casablanca, rumah sembelihan sesak beberapa hari lalu, menandakan ada golongan yang tetap melaksanakan korban secara diam-diam.
Encik Ahmed, dari wilayah Souss-Massa, berkata keluarganya berjaya membeli dua kambing.
“Tahun ini (2025) rasa pelik. Kami sedar ramai yang tak dapat berkorban. Jadi kami buat secara sembunyi dan pastikan kami jemput jiran yang tak mampu ke rumah.
“Daging akan dikongsi satu pertiga untuk sedekah, satu pertiga untuk sahabat,” katanya.
Langkah itu juga menyerlahkan ketidaksamaan sosial di negara itu.
Laporan Indeks Komitmen Terhadap Pengurangan Ketidaksamaan (CRI) oleh Oxfam pada 2024 meletakkan Maghribi di tangga kedua terburuk di Afrika Utara, selepas Mesir.
“Jurang kekayaan di Maghribi sangat ketara, terutama antara bandar dengan luar bandar.
“Jika kerajaan tidak bantu petani dan kawasan luar bandar, mereka akan terus berhijrah,” ujar Encik Jadri. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg