Topik diikuti
Pergi ke BHkuRibuan polis, tentera dikerah kekang demonstrasi mahasiswa di Jakarta
Ribuan polis, tentera dikerah kekang demonstrasi mahasiswa di Jakarta
Mahasiswa, gabungan masyarakat sivil bantah kos sara hidup, harga bahan api dan dasar Prabowo
Ribuan polis, tentera dikerah kekang demonstrasi mahasiswa di Jakarta
JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengerahkan ribuan anggota polis dan tentera menjelang demonstrasi besar mahasiswa di Jakarta pada 12 Jun yang dijangka memberi tumpuan kepada kos sara hidup, kejatuhan rupiah serta perbelanjaan besar pemerintah pimpinan Presiden Prabowo Subianto.
Pihak berkuasa memaklumkan seramai 4,151 anggota keselamatan termasuk sekitar 500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) ditempatkan bagi mengawal perhimpunan yang berlangsung di kawasan Bundaran Hotel Indonesia (HI) di tengah Jakarta.
Jurucakap Polis Jakarta, Encik Budi Hermanto, berkata langkah keselamatan diperketat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kami menggesa peserta demonstrasi supaya tidak melakukan vandalisme dan tidak membawa senjata,” katanya.
Menurut beliau, penutupan jalan dan lencongan trafik akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan di lokasi demonstrasi.
Demonstrasi itu digerakkan Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia (BEM UI) bersama gabungan mahasiswa dan aktivis masyarakat sivil di bawah slogan #Indonesiamenujubangkrut atau “Indonesia Menuju Bankrap”.
Mahasiswa mula berkumpul di kampus Universiti Indonesia sebelum bergerak ke Bundaran HI pada petang 12 Jun.
Pengerusi BEM UI, Encik Yatalathof Ma’shum Imawan, berkata protes itu lahir daripada kebimbangan rakyat terhadap keadaan ekonomi yang semakin membebankan.
“Ekonomi mungkin nampak berkembang di atas kertas, tetapi ramai rakyat Indonesia tidak merasai manfaatnya dalam kehidupan harian,” katanya.
Beliau berkata kenaikan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang semakin sempit serta peningkatan tekanan cukai menyebabkan ramai rakyat semakin tertekan.
Mahasiswa turut menuduh pemerintah terus menerus membelanjakan dana besar untuk program utama walaupun nilai rupiah jatuh ke paras terendah dalam sejarah selepas melepasi 18,000 rupiah ($1.29) bagi setiap dolar Amerika Syarikat minggu ini.
BEM UI dalam satu kenyataan berkata pemerintah gagal mengutamakan keperluan rakyat ketika krisis ekonomi semakin buruk.
“Ekonomi Indonesia semakin merosot tetapi pemerintah hanya memburukkan keadaan,” menurut kenyataan itu.
“Dasar fiskal bocor, kebebasan Bank Indonesia semakin terhakis dan komunikasi pemerintah dengan rakyat masih sangat lemah.”
Antara lima tuntutan utama mahasiswa ialah menghentikan “pembaziran” belanjawan negara, menurunkan harga barang asas dan bahan api, menghentikan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) dan projek Koperasi Desa Merah Putih, selain menamatkan penglibatan tentera dalam urusan awam.
Mahasiswa juga mahu Presiden Prabowo mengakui kelemahan pemerintahannya.
Program MBG yang menjadi projek utama Prabowo bertujuan menyediakan makanan percuma kepada pelajar dan golongan miskin bagi mengurangkan kadar kemiskinan serta masalah kekurangan zat makanan.
Namun program itu kini menjadi kontroversi selepas ketuanya dipecat susulan siasatan rasuah.
Sementara itu, projek Koperasi Desa Merah Putih pula bertujuan merangsang ekonomi desa dan membuka peluang pekerjaan di peringkat akar umbi.
Beberapa penganalisis berkata kebimbangan mahasiswa terhadap ekonomi turut dikongsi pelabur asing yang sejak awal tahun mengeluarkan dana besar dari Indonesia sehingga menekan pasaran saham dan nilai rupiah.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Siasatan, Badan Pemantau Rasuah Indonesia, Encik Wana Alamsyah, berkata kemarahan rakyat mula meningkat apabila melihat jurang besar antara kehidupan rakyat biasa dan pegawai pemerintah.
“Protes pada tahun lalu bermula apabila rakyat melihat ketidaksamaan antara mereka dan pegawai awam,” katanya.
“Mereka lebih rela menaikkan harga bahan api daripada mengurangkan gaji pegawai.”
Minggu ini, pemerintah Indonesia menaikkan harga petrol tanpa subsidi susulan kenaikan harga tenaga global akibat perang Iran, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada golongan kelas pertengahan.
Walaupun demonstrasi dijangka besar, kumpulan pekerja dan beberapa organisasi masyarakat sivil memaklumkan mereka tidak akan menyertai protes kali ini.
Penasihat khas presiden bagi hal ehwal buruh dan kesejahteraan pekerja, Encik Said Iqbal, berkata tiada rancangan untuk pekerja turun ke jalan bersama mahasiswa.
Demonstrasi pada 12 Jun ini menjadi mobilisasi besar kedua di bawah pemerintahan Presiden Prabowo selepas tunjuk perasaan besar-besaran pada Ogos 2025 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.
Rusuhan pada 2025 memaksa Encik Prabowo memecat menteri kewangannya selepas rakyat membantah kenaikan kos hidup dan kemewahan pegawai pemerintah.
Siasatan bebas selepas protes tahun lalu menyifatkan tindakan keras pihak berkuasa sebagai antara penindasan terbesar sejak gerakan reformasi 1998, dengan lebih 6,000 tangkapan serta dakwaan penyeksaan dan kehilangan paksa sementara direkodkan.
Menjelang demonstrasi kali ini, rakyat Indonesia turut menggunakan tanda pagar #WargaJagaWarga di media sosial sebagai simbol solidariti kepada peserta protes.
Di platform Threads, pengguna berkongsi pesanan keselamatan, bantuan logistik dan lokasi agihan makanan serta air minuman kepada mahasiswa yang berhimpun.
Seorang pengguna, @nada_arini, memaklumkan sekumpulan ibu membuka pusat bantuan logistik sementara berhampiran Hotel Kempinski bagi membantu peserta demonstrasi.
Pemerhati politik menjangkakan demonstrasi itu akan menjadi ujian penting kepada pemerintahan Prabowo ketika tekanan ekonomi dan ketidakpuasan rakyat semakin meningkat. – Agensi berita.
