Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah batalkan sijil kelayakan pendidikan Naib Presiden Indonesia
Keputusan Mahkamah Agung Indonesia cetus persoalan mengenai kesahihan jawatan Naib Presiden; ahli Parlimen gesa Gibran berundur atau berdepan proses pemecatan
Mahkamah batalkan sijil kelayakan pendidikan Naib Presiden Indonesia
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, berdepan desakan baru supaya meletak jawatan selepas Mahkamah Agung membatalkan sijil pengiktirafan kelayakan pendidikan luar negara yang digunakannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Keputusan itu mencetuskan persoalan mengenai kesahihan kedudukan Encik Gibran sebagai Naib Presiden, dengan beberapa ahli Parlimen dan pakar undang-undang berpendapat beliau tidak memenuhi syarat pendidikan minimum yang ditetapkan bagi calon jawatan tersebut.
Mahkamah Agung pada 30 Oktober menerima rayuan peguam Encik Subhan Palal dan membatalkan keputusan dua mahkamah pentadbiran terdahulu yang menolak saman berhubung kesahihan sijil pengiktirafan pendidikan Encik Gibran.
Sijil berkenaan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Indonesia pada 2019 bagi mengiktiraf pendidikan luar negara Encik Gibran sebagai setaraf kelulusan sekolah menengah atas di Indonesia.
Dokumen itu kemudian dikemukakan kepada pihak berkuasa pilihan raya ketika beliau mendaftar sebagai calon Naib Presiden bergandingan dengan Encik Prabowo Subianto pada 2024.
Encik Gibran, anak sulung bekas Presiden Joko Widodo, pernah belajar di Sekolah Menengah Orchid Park Secondary School di Singapura dan UTS Insearch di Australia sebelum memperoleh ijazah sarjana muda daripada Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).
Panel Mahkamah Agung yang dipengerusikan Hakim Yulius, bersama Hakim Maftuh Effendi dan Hakim Hari Sugiharto, menerima sepenuhnya tuntutan yang dikemukakan Encik Subhan.
Keputusan itu membatalkan pengiktirafan pendidikan berkenaan, sekali gus membuka semula perdebatan mengenai kelayakan Encik Gibran untuk memegang jawatan kedua tertinggi Indonesia.
Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dengan sendirinya memecat Encik Gibran daripada jawatan Naib Presiden.
Sebarang tindakan pemecatan perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan Indonesia.
Encik Subhan berpendapat jawatan Naib Presiden sepatutnya diisytiharkan kosong susulan keputusan mahkamah.
“Presiden perlu segera mencadangkan dua calon kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), yang kemudian akan memilih seorang daripadanya sebagai Naib Presiden baru,” katanya kepada The Jakarta Post pada 31 Oktober.
Desakan itu turut disokong bekas Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Denny Indrayana, yang menggesa Encik Gibran berundur atas alasan perlembagaan dan moral.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan menunjukkan wujud persoalan serius mengenai pematuhan syarat pendidikan calon Naib Presiden dalam pilihan raya lalu.
“Sudah tiba masanya Gibran meletak jawatan. Ia bukan pilihan yang memalukan, sebaliknya satu tindakan yang terhormat dan bermaruah,” katanya.
Mahkamah Perlembagaan sebelum ini menyatakan tiada bukti meyakinkan dikemukakan mengenai kelayakan sekolah menengah Encik Gibran yang diperlukan bagi pencalonannya.
Namun, mahkamah menolak permohonan mencabar keputusan pilihan raya itu kerana pihak yang mengemukakannya tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk berbuat demikian.
Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Benny K. Harman, pula mendakwa kedua-dua keputusan mahkamah itu mempunyai kesan langsung terhadap kedudukan Encik Gibran.
Menurutnya, Encik Gibran sepatutnya berundur kerana kelayakannya sebagai Naib Presiden kini dipersoalkan dari sudut undang-undang dan perlembagaan.
“Kedua-dua keputusan ini mempunyai kesan terhadap kedudukan Naib Presiden. Oleh itu, jawatan Gibran sebagai Naib Presiden tidak sah dan terbatal di sisi undang-undang,” dakwanya.
Bagaimanapun, tafsiran itu masih menjadi perdebatan kerana keputusan mahkamah berhubung sijil pendidikan tidak semestinya membawa kepada pembatalan jawatan secara automatik.
Wakil Parti Golkar, Encik Ahmad Doli Kurnia Tandjung, berkata semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah, tetapi tindakan susulan mesti dibuat secara berhati-hati.
Beliau menjelaskan bahawa isu tersebut kini bukan sekadar pertikaian undang-undang, malah boleh mempengaruhi keputusan politik negara.
Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Encik Hasto Kristiyanto, berkata keputusan Mahkamah Agung mengukuhkan persoalan mengenai kelayakan pendidikan Encik Gibran.
Bagaimanapun, PDI-P yang mempunyai 110 kerusi, atau kira-kira 18 peratus kerusi DPR, memerlukan sokongan parti lain untuk menggerakkan siasatan Parlimen.
Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) turut menyatakan bahawa pihaknya akan meneliti kedua-dua keputusan mahkamah sebelum menentukan pendirian.
Sebarang usaha memulakan proses pemecatan dijangka bergantung pada sokongan parti-parti dalam gabungan pemerintah yang menguasai majoriti kerusi DPR, serta pendirian Presiden Prabowo.
Encik Gibran belum mengulas keputusan terbaru Mahkamah Agung itu.
Namun, pada 7 Oktober, beliau mempertahankan kelayakan akademiknya dengan menegaskan bahawa beliau tidak mungkin dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tanpa menamatkan pendidikan sekolah menengah.
“Jika saya tidak lulus sekolah menengah, bagaimana saya boleh melanjutkan pelajaran ke universiti? Saya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Singapura,” katanya. – Agensi berita