Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah tolak petisyen cabar kelayakan pendidikan Naib Presiden Indonesia
Mahkamah tolak petisyen cabar kelayakan pendidikan Naib Presiden Indonesia
JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia menolak petisyen yang mencabar kelayakan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka dalam Pilihan Raya Presiden 2024, walaupun mendapati tiada bukti meyakinkan bahawa beliau memenuhi syarat pendidikan setaraf sekolah menengah atas untuk bertanding.
Dalam keputusan yang dibacakan pada malam 6 Oktober, mahkamah mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan Encik Gibran, anak sulung mantan presiden Joko “Jokowi” Widodo, memiliki diploma yang membuktikan beliau menamatkan pendidikan sekolah menengah atas di luar negara.
Namun, mahkamah memutuskan petisyen itu tidak boleh diterima kerana pihak yang mengemukakannya tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mencabar keputusan pilihan raya berkenaan.
Mahkamah turut menjelaskan bahawa status Encik Gibran sebagai calon sudah berakhir apabila beliau mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden pada 20 Oktober 2024.
“Mahkamah tidak boleh membatalkan kedudukan Gibran sebagai naib presiden,” kata Hakim Adies Kadir.
Sebelum menceburi politik mengikut jejak bapanya dan menjadi naib presiden termuda Indonesia, Encik Gibran pernah bersekolah di Sekolah Menengah Orchid Park di Singapura.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian di UTS Insearch di Australia sebelum memperoleh ijazah sarjana muda daripada Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).
Bagaimanapun, mahkamah berkata dokumen yang dikemukakan Encik Gibran kepada pihak berkuasa pilihan raya hanya merangkumi sijil kehadiran, rekod akademik dan penjelasan mengenai gred.
Tiada diploma atau sijil yang secara khusus membuktikan beliau menamatkan pendidikan pada tahap sekolah menengah atas.
Hakim Arsul Sani berkata sijil kehadiran dan dokumen lain yang digunakan sebagai asas bagi mengeluarkan surat penyetaraan pendidikan tidak semestinya membuktikan seseorang berjaya menamatkan sesuatu peringkat pendidikan.
“Sijil kehadiran dan dokumen lain yang digunakan sebagai asas bagi mengeluarkan surat penyetaraan tidak bermakna seseorang itu berjaya menamatkan tahap pendidikan tertentu, tetapi hanya mengesahkan kehadiran dalam kelas,” katanya.
Petisyen itu dikemukakan pada 17 September oleh 12 pemohon, termasuk mantan Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Denny Indrayana.
Turut serta ialah enam jeneral tentera bersara yang mewakili Forum Purnawirawan Prajurit TNI, Parti Ummat, badan pemantau pilihan raya Jawatankuasa Pemantauan Pilihan Raya Bebas (KIPP), dua peguam dan seorang pakar dasar awam.
Mereka berhujah bahawa pencalonan Encik Gibran tidak sah kerana beliau gagal mengemukakan diploma yang diperlukan.
Pemohon mahu mahkamah membatalkan pencalonan dan pelantikannya sebagai naib presiden serta mengarahkan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) memilih naib presiden baru daripada calon yang dikemukakan Presiden Prabowo Subianto dalam tempoh dua bulan.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan pemohon tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengemukakan pertikaian itu.
Menurut mahkamah, hanya calon presiden dan naib presiden mempunyai kedudukan undang-undang untuk membawa pertikaian mengenai keputusan pilihan raya presiden.
Keputusan itu memastikan Encik Gibran kekal sebagai naib presiden, tetapi kontroversi mengenai kelayakan pendidikannya dijangka terus mencetuskan perbahasan politik.
Encik Gibran memenangi pilihan raya 2024 bersama Encik Prabowo dengan sokongan tidak rasmi Encik Jokowi.
Pencalonannya ketika itu turut mencetuskan kontroversi selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan dengan undian 5-4 membuka jalan untuk beliau bertanding walaupun belum mencapai had umur minimum yang ditetapkan.
Keputusan tersebut dibuat hanya beberapa hari sebelum pendaftaran calon dan ketika mahkamah dipengerusikan bapa saudaranya, Encik Anwar Usman.
Penganalisis politik Encik Agung Baskoro berkata walaupun keputusan terbaru mahkamah mengekalkan kedudukan Encik Gibran, kontroversi itu boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap keabsahan politiknya.
“Dalam konteks Jokowi dan keluarganya, isu diploma ini telah mewujudkan keretakan dalam kekuatan pilihan raya mereka dan boleh dengan mudah dieksploitasi oleh lawan politik dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kes itu sebagai menunjukkan “kekurangan profesionalisme” dalam kalangan pihak penganjur dan pengawas pilihan raya.
Menurutnya, masalah sama boleh berulang jika latar belakang dan dokumen calon tidak diperiksa dengan lebih teliti sebelum mereka dibenarkan bertanding.
Jurucakap pemerintah, Encik Syahganda Nainggolan, sebelum itu berkata Encik Prabowo tidak akan campur tangan dalam kes tersebut.
Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan yang baru dilantik, Encik Dudung Abdurrahman, pula berkata pemerintah memantau perkembangan kes itu dan mahu keadaan politik negara terus terkawal.
“Saya juga akan bertemu pemimpin parti politik dan menyampaikan bahawa keadaan ini benar-benar perlu dikawal,” katanya sambil menggesa semua pihak menghormati undang-undang dan memelihara perpaduan negara.
Kes itu muncul ketika terdapat tanda hubungan politik antara Encik Prabowo dengan pendahulunya semakin renggang.
Rombakan Kabinet terbaru menyaksikan beberapa tokoh yang dianggap rapat dengan Encik Jokowi, termasuk Encik Listyo Sigit Prabowo dan Encik Pratikno, dipindahkan ke jawatan yang kurang menonjol.
Encik Jokowi pula semakin aktif dalam politik meskipun sebelum ini berkata beliau akan berundur daripada gelanggang politik. Beliau baru-baru ini mengadakan siri lawatan politik ke seluruh negara dan secara rasmi menyertai Parti Solidariti Indonesia (PSI), yang dipimpin anaknya, Encik Kaesang Pangarep. - Agensi berita