Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Indonesia putuskan syarat minimum sokongan undi pencalonan Presiden

Jan 2, 2025 | 6:31 PM
Petugas pilihan raya mengira undi di sebuah pusat mengundi selepas penutupan pemilihan umum di Jakarta, Indonesia, pada 14 Februari 2024.
Petugas pilihan raya mengira undi di sebuah pusat mengundi selepas penutupan pemilihan umum di Jakarta, Indonesia, pada 14 Februari 2024. - Foto REUTERS

JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 2 Januari memutuskan bahawa undang-undang yang menetapkan syarat minimum sokongan undi sebelum parti politik boleh mencalonkan calon presiden adalah tidak mempunyai kuasa hukum yang mengikat.

Keputusan ini dijangka membuka kemungkinan lebih banyak calon bertanding pada pilihan raya presiden 2029.

Undang-undang semasa menetapkan bahawa parti politik perlu memperoleh 20 peratus undi, sama ada secara individu atau melalui gabungan, dalam pilihan raya legislatif untuk mencalonkan calon presiden.

Peraturan ini telah dicabar oleh sekumpulan pelajar universiti yang mendakwa ia membatasi hak pengundi dan parti kecil.

Ketua Hakim Suhartoyo meluluskan petisyen tersebut dengan menyatakan bahawa syarat minimum batas tersebut “tidak mempunyai kuasa hukum yang mengikat”, namun keputusan itu tidak memperincikan sama ada syarat tersebut perlu dihapuskan atau diturunkan.

Hakim Saldi Isra menekankan bahawa semua parti politik seharusnya diberi peluang mencalonkan calon presiden.

Keputusan ini disambut baik oleh Encik Arya Fernandes, penganalisis politik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), yang berkata bahawa keputusan ini memberi ruang kepada parti kecil untuk mencalonkan calon tanpa terlalu bergantung kepada parti besar.

“Ini adalah langkah positif yang mengurangkan kebergantungan parti kecil kepada parti besar, namun perubahan undang-undang masih boleh dilakukan untuk membatasi impak keputusan ini,” ujar Encik Arya.

Ketua Suruhanjaya Parlimen yang mengawasi pilihan raya, Encik Rifqi Nizamy Karsayuda, menyatakan bahawa keputusan ini adalah “akhir dan mengikat” serta berjanji bahawa ahli parlimen akan mengambil tindakan susulan terhadap keputusan tersebut.

Kementerian Undang-Undang Indonesia belum memberikan komen terhadap keputusan tersebut.

Pada hari yang sama, mahkamah turut menetapkan had penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam “memanipulasi secara berlebihan” gambar calon pilihan raya, dengan alasan bahawa manipulasi seperti itu boleh mempengaruhi kemampuan pengundi untuk membuat keputusan yang tepat.

Pilihan raya presiden di Indonesia diadakan setiap lima tahun. Pilihan raya terakhir dimenangi oleh Presiden Prabowo Subianto, yang dilantik secara rasmi pada Oktober lalu.

Keputusan pada 2 Disember ini menyusuli keputusan serupa pada Ogos tahun lalu, di mana mahkamah menurunkan syarat untuk pencalonan jawatan wilayah seperti gabenor dan wali kota kepada di bawah 10 peratus daripada sebelumnya 20 peratus.

Namun, keputusan tersebut pernah mendapat tentangan daripada parti-parti pendukung Presiden Prabowo dan mantan Presiden Joko Widodo, mencetuskan protes besar-besaran di jalanan oleh rakyat yang mendakwa usaha tersebut adalah untuk menekan parti pembangkang.

Keputusan terbaru ini dijangka membawa perubahan besar dalam sistem pemilihan di Indonesia, memberi peluang kepada lebih banyak suara dan calon dalam proses demokrasi negara itu. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg