SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan dijangka mengumumkan keputusan pada 4 April sama ada Presiden Yoon Suk Yeol, yang telah dituduh secara rasmi, akan dilucutkan jawatan, menyusuli tindakan kontroversinya mengisytihar darurat tentera pada 3 Disember 2024.
Tindakan itu mencetuskan kekacauan politik besar dan menggugat demokrasi yang dikecapi negara itu sejak 1987.
Presiden Yoon mempertahankan tindakannya dengan menyatakan darurat tentera perlu bagi “menghapuskan unsur antinegara”.
Namun, pengkritik mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa presiden untuk melemahkan institusi awam dan mematahkan suara pembangkang.
Tindakannya menghantar tentera bersenjata ke Parlimen dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mencari bukti penipuan undi dikecam oleh pakar undang-undang sebagai tidak berasas.
“Saya percaya Mahkamah Perlembagaan akan melucutkan jawatannya. Beliau tidak pernah bertindak berdasarkan semangat kedaulatan undang-undang.
“Yang beliau lakukan pada malam darurat tentera ialah penyalahgunaan kuasa nyata,” kata pekerja kebajikan, Encik Lee Jae-hee, 47 tahun.
Encik Yoon masih mempunyai sokongan setia daripada penyokong tegarnya. Mereka mengadakan demonstrasi tindak balas bagi menyokong beliau di jalan-jalan utama Seoul.
Namun, puluhan ribu rakyat turut turun ke jalan setiap hujung minggu, menuntut beliau disingkir bagi melindungi demokrasi.
“Beliau telah memungkiri sumpahnya kepada perkhidmatan awam,” kata seorang pesara, Encik Kim Han-il, 66 tahun.
“Saya percaya hakim-hakim Mahkamah Perlembagaan akan membuat keputusan berdasarkan logik dan tanggungjawab kepada negara.”
Namun, ada juga suara yang mempertahankan Presiden Yoon.
Encik Huh, 71 tahun, berkata: “Isytihar darurat tentera itu dalam kuasa presiden. Parlimen hari ini penuh dengan wakil rakyat yang menang melalui pilihan raya yang diragui.”
Beliau menambah bahawa negara itu kini “dipenuhi komunis” dan tindakan Encik Yoon bertujuan “membetulkan hala tuju”.
Sebaliknya, bagi rakyat seperti, Encik Keven Lee, 56 tahun, tindakan Encik Yoon harus dihukum demi masa depan demokrasi negara.
“Beliau masuk ke Parlimen dengan tentera bersenjata atas sebab tidak masuk akal. Jika beliau dibenarkan kembali, pasti darurat akan diumumkan lagi.”
Encik Song Ji-hye, 41 tahun, yang bekerja dalam pertubuhan masyarakat awam pula berkata:
“Politik juga mempunyai peraturan yang jelas. Apabila Yoon menggunakan tentera untuk merampas Parlimen, beliau telah langgar semua garis merah.”
Beliau yakin Mahkamah akan sebulat suara melucutkan jawatan Encik Yoon.
“Jika tidak, rakyat akan kembali ke jalan raya,” katanya.
Encik Yoon sebelum ini enggan memberi kerjasama melibatkan siasatan dan menggunakan pengawal peribadi presiden untuk menghalang penahanannya.
Beliau hanya ditahan selepas serbuan pada awal pagi Januari, namun dibebaskan atas alasan teknikal dan masih menanti perbicaraan jenayah yang berasingan daripada perbicaraan pemecatan.
Seorang pesara, Encik Hwang Gum-cheol, 80 tahun, meluahkan kebimbangannya dan dengan tegas, berkata:
“Yoon patut disingkirkan serta-merta. Kita tidak boleh ada presiden yang menyimpan cita-cita untuk merampas kuasa. Demi demokrasi kita, dia mesti dihukum.
“Jika Mahkamah tidak bertindak tegas, rakyat akan hilang kepercayaan. Tetapi apa pun keputusannya, saya akan terima – walaupun dengan hati yang berat,” tambah beliau.
Polis Korea Selatan akan menggerakkan semua sumber yang ada untuk mencegah keganasan menjelang keputusan mahkamah.
Kawasan mahkamah menjadi pusat bantahan, menyebabkan polis menutup jalan bagi mencegah rusuhan.
Ratusan ribu penyokong dan penentang Encik Yoon memenuhi jalan raya setiap hujung minggu, ada yang berkhemah dan mengadakan bantahan sepanjang malam.
Polis bimbang keputusan mahkamah boleh mencetuskan keganasan, seperti pada Januari apabila penyokong Encik Yoon menyerbu mahkamah selepas penahanannya dilanjutkan.
Ketua Polis Korea Selatan, Encik Lee Ho-young, berkata keadaan sekarang lebih serius. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg