BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 14 Ogos memutuskan perlucutan jawatan Perdana Menteri, Encik Srettha Thavisin, kerana melantik dalam Kabinetnya seorang bekas peguam yang menjalani hukuman penjara, menimbulkan lebih banyak pergolakan politik dan pengaturan semula perikatan pemerintah.
Encik Srettha, seorang taikun hartanah, merupakan Perdana Menteri Thailand keempat yang disingkirkan dalam tempoh 16 tahun melalui keputusan mahkamah yang sama, selepas ia memutuskan bahawa beliau telah melanggar Perlembagaan dengan melantik menteri yang tidak memenuhi piawaian etika.
Penyingkiran Encik Srettha selepas berkuasa kurang setahun bermakna Parlimen mesti bersidang untuk memilih perdana menteri baru, dengan prospek lebih banyak ketidaktentuan dalam negara yang dilanda rampasan kuasa selama dua dekad dan keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan pelbagai kerajaan dan parti politik.
Mahkamah yang sama telah membubarkan Parti Move Forward yang antipemerintah dan merupakan parti pembangkang yang sangat popular minggu lalu.
Ia memutuskan bahawa kempennya untuk memperbaharui undang-undang menentang penghinaan terhadap raja, berisiko menjejas sistem raja berperlembagaan.
Ia bersatu semula pada 6 Ogos di bawah parti baru.
Parti Pheu Thai pimpinan Encik Srettha dan pendahulunya telah menanggung beban pergolakan Thailand, dengan dua kerajaannya disingkirkan melalui rampasan kuasa dalam tindakan membalas dendam antara pengasas parti itu, keluarga bilionair, Encik Thaksin Shinawatra, dengan pesaing mereka dalam pertubuhan konservatif dan tentera diraja.
Keputusan itu boleh menjejas rancangan damai yang rapuh antara tokoh politik terkenal Encik Thaksin dan musuh-musuhnya dalam kalangan elit konservatif dan pemimpin lama tentera, yang membolehkan hartawan itu kembali setelah 15 tahun hidup dalam buangan sendiri pada 2023, dengan Encik Srettha menjadi Perdana Menteri pada hari yang sama.
Encik Srettha mengekalkan pelantikan bekas peguam, Encik Shinawatra Pichit Chuenban, yang dipenjarakan seketika kerana menghina mahkamah pada 2008 atas dakwaan cubaan merasuah kakitangan mahkamah, sebagai telus dan terbuka.
Dakwaan rasuah tidak pernah dibuktikan, dan Encik Pichit meletak jawatan pada Mei.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Phumtham Wechayachai, dijangka mengambil alih jawatan perdana menteri sementara.
Menurut beberapa pakar politik, parti Pheu Thai berkemungkinan masih mempunyai pengaruh untuk memimpin pentadbiran seterusnya selepas tempoh tawar-menawar dan ketidakpastian tentang siapakah yang akan memimpin negara itu.
Pencalonan perdana menteri seterusnya perlu dikemukakan oleh parti masing-masing berdasarkan pemilihan sebelum pilihan raya 2023, dengan anak perempuan Encik Thaksin yang berusia 37 tahun dan ketua parti, Cik Paetongtarn Shinawatra, antara pilihan Pheu Thai.
Jika berjaya, beliau akan menjadi perdana menteri ketiga daripada keluarga Shinawatra, selepas Encik Thaksin dan ibu saudaranya, Cik Yingluck Shinawatra.
Calon berpotensi lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Encik Anutin Charnvirakul; Menteri Tenaga, Encik Pirapan Salirathavibhaga; dan Encik Prawit Wongsuwan, bekas ketua tentera berpengaruh yang terlibat dalam dua rampasan kuasa terakhir. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg