NEW YORK: Strategi tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menerima tamparan hebat pada 7 Mei, apabila Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika memutuskan tarif global 10 peratus terbaharu beliau tiada asas di bawah undang-undang perdagangan era 1970-an.

Bagaimanapun, mahkamah hanya menyekat kutipan levi itu bagi dua pengimport swasta dan Washington.

Keputusan 2-1 Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika mengekalkan pelaksanaan tarif sementara – yang dijangka tamat Julai – untuk semua pengimport lain sementara menunggu rayuan pentadbiran Encik Trump.

Mahkamah berpendapat tindakan Encik Trump mengenakan tarif di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 adalah tidak wajar.

Salah seorang hakim menjelaskan masih terlalu awal untuk menganugerahkan kemenangan mutlak kepada plaintif.

Walaupun keputusan itu hanya menyentuh levi yang hampir luput, ia tetap tamparan hebat kepada hasrat Encik Trump untuk mengenakan tarif global.

Lebih kritikal, ia diumumkan seminggu sebelum beliau dijadualkan bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, di Beijing bagi membincangkan ketegangan perdagangan.

Selain itu, ia mencetuskan pula siri pertikaian undang-undang berpanjangan menuntut bayaran balik tarif berbilion dolar.

Ia berlaku hanya tiga bulan selepas Mahkamah Agung Amerika membatalkan keseluruhan tarif global yang Encik Trump kenakan di bawah undang-undang darurat kebangsaan.

Encik Trump segera menyalahkan keputusan Mahkamah Perdagangan itu, menuduh ia dibuat oleh “dua hakim (sayap) kiri yang radikal”.

“Jadi, tiada apa yang mengejutkan saya mengenai (keputusan) mahkamah itu,” katanya kepada wartawan selepas meninjau projek pengubahsuaian kolam di Washington.

“Kita mendapat satu keputusan, dan kita akan lakukannya dengan cara berbeza.”

Pentadbiran Encik Trump kekal berazam untuk menghidupkan semula tarif menyeluruh terhadap rakan dagang utama dengan menggunakan undang-undang ketiga yang sukar dicabar pelbagai cabaran perundangan melalui Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, yang merangkumi amalan perdagangan tidak adil.

Tiga siasatan tarif di bawah Seksyen 301 kini giat dijalankan dan dijangka selesai pada Julai.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York menolak sepenuhnya permohonan perintah mahkamah yang bertujuan menyekat tarif ini daripada dikenakan kepada semua pengimport.

Penolakan itu turut membidas permintaan sekumpulan 24 negeri – majoritinya diterajui parti Demokrat – dengan alasan mereka tiada kedudukan perundangan untuk menuntut pelepasan yang sedemikian rupa.

“Plaintif swasta tidak mengemukakan hujah khusus untuk injunksi menyeluruh. Kos yang ditanggung oleh satu pihak plaintif bukan asas yang wajar untuk pengenaan injunksi menyeluruh.

“Justeru itu, mahkamah menolak untuk menetapkan injunksi menyeluruh,” menurut keputusan tersebut.

Rumah Putih dan pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan mahkamah itu. 

“Amerika pastinya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan ini, sekali gus membuka ruang untuk pertimbangan lanjut oleh Mahkamah Rayuan Amerika bagi Peringkat Persekutuan dan Mahkamah Agung,” kata rakan kongsi Kumpulan Perdagangan Antarabangsa Dorsey & Whitney, Encik Dave Townsend. 

Beliau berkata pengimport lain kemungkinan besar akan meminta mahkamah memberikan penyelesaian lebih luas supaya ia terpakai kepada lebih banyak syarikat.

Mahkamah memutuskan bahawa kebanyakan negeri yang memfailkan saman tersebut, kecuali Washington, bukan pengimport yang telah atau perlu membayar tarif di bawah Seksyen 122.

Manakala, Washington mengemukakan bukti bahawa negeri itu telah membayar tarif tersebut melalui sebuah institusi penyelidikan awam, Universiti Washington. – Reuters.