Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Mahkamah Perlembagaan Indonesia ikrar dapatkan semula kepercayaan awam

2023 saksikan tanggapan terhadapnya cecah paras terendah
Jan 12, 2024 | 07:18 PM



JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia komited untuk memulihkan kredibilitinya selepas beberapa siri skandal menghancurkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi itu pada 2023 dan di tengah-tengah kemungkinan ia dipanggil untuk mengadili pertikaian pilihan raya 2024.


Mendapatkan semula kepercayaan awam menjadi “satu kemestian”, ikrar Ketua Hakim Negara yang dilantik baru-baru ini, Encik Suhartoyo, pada 10 Januari.

Beliau berkata kedaulatan undang-undang bergantung kepada kesediaan orang ramai menerima keputusan mahkamah, walaupun mereka tidak bersetuju dengan keputusan itu.

“Kemerosotan kepercayaan terhadap Mahkamah Perlembagaan adalah satu isu yang dipandang serius oleh semua hakim mahkamah,” kata beliau semasa pembukaan tempoh perbicaraan mahkamah bagi 2024.

Encik Suhartoyo dilantik sebagai Ketua Hakim pada November 2023 dalam mesyuarat tertutup sembilan Hakim Mahkamah.

Beliau menggantikan Encik Anwar Usman, yang didapati oleh majlis etika mahkamah melakukan “usaha untuk memujuk rakan-rakan hakimnya” dan “menentukan pendirian mereka” untuk memberi pengecualian kepada had umur minimum 40 tahun bagi calon presiden dan naib presiden.

Keputusan itu membuka laluan bagi anak saudaranya, Datuk Bandar Surakarta, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, bertanding jawatan bagi naib presiden bersama calon presiden, Encik Prabowo Subianto.

Sejak memegang jawatan tertinggi mahkamah, Encik Suhartoyo telah berusaha meningkatkan prestasi mahkamah, termasuk dengan menghendaki semua hakim meletakkan alasan undang-undang di sebalik keputusan mereka secara bertulis.

Mahkamah juga telah mengurangkan purata masa pemprosesan kes, daripada 78 hari pada 2022 kepada 52 hari. Pada 2023, ia menyelesaikan 136 kes, 12 kes lebih banyak daripada 2022.

Hakim Mahkamah juga telah memulakan lawatan media awam untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.

Baru-baru ini, ia membentuk sebuah majlis etika tetap yang mempunyai tiga ahli untuk menyiasat aduan pelanggaran etika yang dilakukan oleh hakim. Sebelum ini, majlis itu dibentuk secara ad hoc.

Ahli majlis itu ialah Hakim Encik Ridwan Mansyur, yang mewakili mahkamah; mantan hakim, Dr I Dewa Gede Palguna, mewakili kepentingan awam; dan bekas rektor Universiti Andalas, Profesor Dr Yuliandri, mewakili perspektif akademik.

Pelantikan mereka dirasmikan pada 8 Januari bagi tempoh setahun hingga 31 Disember 2024.

Encik Suhartoyo melahirkan harapan bahawa usaha itu dapat membantu hakim “memenuhi jangkaan orang ramai”, meningkatkan prestasi mahkamah dan mula memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi itu.

Tahun 2023 yang penuh skandal menyaksikan persepsi orang ramai terhadap Mahkamah Perlembagaan itu mencecah paras terendah.

Pada Mac 2023, majlis etika sementara mendapati Hakim Guntur Hamzah bersalah melanggar tataetika mahkamah.

Beliau didakwa mengubah, tanpa pengetahuan hakim lain, keputusan mahkamah dan beliau mengeluarkan pendapat bertulisnya mengenai kes hakim dalam jawatan boleh didakwa.

Petisyen itu dikemukakan sebagai respons terhadap kontroversi penyingkiran seorang hakim, Encik Aswanto, oleh Dewan Rakyat.

Encik Aswanto dipecat oleh Dewan pada 2022, tujuh tahun sebelum penggalnya sebagai hakim tamat, walaupun penggubal undang-undang tidak mempunyai kuasa memecat hakim mahkamah.

Pemerhati melihat penyingkiran itu bermotif politik.

Kepercayaan orang ramai terhadap mahkamah semakin merudum pada Oktober 2023, apabila Ketua Hakim Negara ketika itu, Encik Anwar, campur tangan dalam kes yang akhirnya membolehkan Encik Gibran bertanding jawatan naib presiden.

Kumpulan sivil mengecam keputusan mahkamah itu, yang dikatakan didorong politik dan sarat dengan konflik kepentingan.

Timbalan Ketua Hakim Negara, Encik Saldi Isra, yang tidak bersetuju dengan pendapat majoriti, berkata keputusan itu melanggar “batas akal”.

Encik Anwar didapati bersalah dan disingkir daripada jawatan kepimpinannya.

Beliau dilarang membuat keputusan mengenai pertikaian pilihan raya hingga akhir penggalnya pada 2028.

Penganalisis berkata kepercayaan orang ramai terhadap keputusan pilihan raya umum akan datang mungkin bergantung kepada pihak atasan dan keupayaan mahkamah memulihkan kewibawaannya.

Tetapi mereka berpendapat bahawa perubahan lebih menyeluruh diperlukan untuk mencapai itu, walaupun sudah ada usaha daripada Encik Suhartoyo dan hakim lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >