Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Perlembagaan Thai timbang petisyen pecat PM Paetongtarn

Jul 1, 2025 | 12:30 PM
Cik Paetongtarn Shinawatra, perdana menteri, thailand
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, dikerumuni oleh anggota media selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok pada 1 Julai. - Foto AFP

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand dijadual bermesyuarat untuk mempertimbangkan petisyen memohon pemecatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, ketika tekanan semakin meningkat terhadap kerajaannya yang diserang dalam pelbagai bidang.

Petisyen oleh 36 senator itu menuduh Cik Paetongtarn tidak jujur ​​dan melanggar piawaian etika yang melanggar Perlembagaan berhubung perbualan telefon yang bocor dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Encik Hun Sen.

Jika mahkamah menerima petisyen itu, ia boleh memutuskan untuk menggantung tugas perdana menteri dengan serta-merta.

Semasa panggilan pada 15 Jun yang bertujuan meredakan ketegangan sempadan yang semakin memuncak dengan Kemboja, Cik Paetongtarn, 38 tahun, dilihat bersujud di depan Encik Hun Sen dan mengkritik seorang komander tentera Thai.

Perbuatan beliau itu melangkaui garis merah di negara yang menempatkan tentera mempunyai pengaruh yang ketara.

Beliau telah meminta maaf dan berkata kenyataannya adalah taktik rundingan.

Perbualan yang bocor itu mencetuskan kemarahan dan telah menyebabkan gabungan parti pimpinan Cik Paetongtarn mempunyai majoriti tipis, dengan parti utama meninggalkan perikatan itu dan dijangka mengajukan undi tidak percaya di Parlimen ketika beribu-ribu penunjuk perasaan menuntut beliau meletak jawatan.

Kedudukan Cik Paetongtarn selepas hanya 10 bulan berkuasa, menggariskan kemerosotan kekuatan Parti Pheu Thai, yang telah mendominasi pilihan raya Thai sejak 2001.

Thailand telah menyaksikan rampasan kuasa tentera dan keputusan mahkamah yang telah menggulingkan beberapa kerajaan dan perdana menteri sebelum ini.

Krisis yang berlaku sekarang bak api dalam sekam bagi Cik Paetongtarn, yang tiba-tiba memegang jawatan sebagai perdana menteri termuda Thailand dan pengganti Encik Srettha Thavisin, yang dipecat Mahkamah Perlembagaan kerana melanggar etika kerana melantik seorang menteri yang pernah dipenjarakan.

Kerajaan Cik Paetongtarn juga telah bergelut untuk memulihkan ekonomi yang terbantut dan popularitinya telah menurun dengan ketara.

Tinjauan pendapat dari 19 hingga 25 Jun yang dikeluarkan pada hujung minggu menunjukkan popularitinya merosot kepada 9.2 peratus daripada 30.9 peratus pada Mac.

Cik Paetongtarn tidak bersendirian dalam masalahnya, dengan bapanya yang berpengaruh, Encik Thaksin Shinawatra, penggerak di belakang kerajaannya, menghadapi tindakan undang-undang di dua mahkamah berbeza pada Julai.

Beliau telah menghadiri perbicaraan pertamanya di Mahkamah Jenayah Bangkok pada 1 Julai dalam kes tertumpu kepada dakwaan menghina monarki berkuasa Thailand, satu kesalahan serius yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun jika didapati bersalah. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg