BANGKOK: Thailand sedang berdepan satu lagi episod pergolakan politik besar apabila bekas Perdana Menteri yang dilanda kontroversi, Encik Thaksin Shinawatra, akan dibicarakan pada awal Julai atas dakwaan menghina institusi diraja.
Manakala anak perempuannya yang kini memegang jawatan Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra, pula berisiko disingkirkan daripada jawatan dalam krisis yang semakin memburuk.
Encik Thaksin, 75 tahun, dijadual mula dibicarakan pada 1 Julai atas tuduhan menghina pemerintahan beraja itu berdasarkan temu bualnya dengan sebuah akhbar Korea Selatan pada 2015.
Di bawah undang-undang lese majeste (durhaka) Thailand yang sangat ketat, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Perbicaraan itu dijangka berlangsung selama tiga minggu, namun keputusan hanya akan diumumkan sekurang-kurangnya sebulan kemudian.
“Musuh beliau tidak pernah hilang. Malah, kini muncul pula musuh baru, dan ada rakan yang bertukar menjadi lawan,” kata bekas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand,Encik Paradorn Pattanatabut, kepada agensi berita, AFP.
Pada masa yang sama, kedudukan Cik Paetongtarn, sebagai perdana menteri kian terancam selepas satu rakaman perbualan telefon antara beliau dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, bocor kepada umum.
Dalam rakaman itu, beliau didakwa memperlekeh seorang pegawai tentera Thai dan memanggil Encik Hun Sen “bapa saudara”, tindakan yang mencetus kemarahan golongan konservatif dan tentera.
Walaupun Cik Paetongtarn, 38 tahun, telah memohon maaf dan cuba mengukuhkan semula sokongan dalam gabungan pemerintah, tekanan terus memuncak apabila sekumpulan senator konservatif mengemukakan petisyen ke Mahkamah Perlembagaan agar beliau dipecat.
Mahkamah dijangka membuat keputusan awal Julai sama ada menerima kes itu.
Jika diterima, beliau mungkin digantung tugas sementara kes dibicarakan – suatu proses yang boleh memakan masa beberapa bulan.
“Jika mahkamah menerima kes ini, kami akan mengikut proses.
“Keputusan bila perbicaraan bermula akan dibuat oleh sembilan hakim,” ujar Presiden Mahkamah Perlembagaan, Encik Nakharin Mektrairat.
Kedua-dua perkembangan itu berlaku dalam suasana politik yang tegang, dengan Thailand cuba memulihkan ekonominya yang bergantung kepada sektor pelancongan dan pada masa yang sama mengelak ancaman tarif dagangan baharu daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Tambahan pula, pertikaian sempadan dengan Kemboja terus menambah ketegangan serantau.
Krisis terkini ini adalah kesinambungan daripada pergelutan kuasa lebih dua dekad antara dinasti Shinawatra – yang mendapat sokongan kuat daripada pengundi luar bandar – dan elit konservatif yang menyokong kerajaan dan tentera.
Encik Thaksin, yang pernah dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri pada awal 2000-an, masih disayangi ramai kerana dasar-dasar menyokong rakyatnya.
Namun beliau telah digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006, diikuti adiknya, Cik Yingluck Shinawatra, pada 2014.
Encik Thaksin kembali ke Thailand pada Ogos 2023 selepas 15 tahun hidup dalam buangan.
Beliau dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah, tetapi segera dimasukkan ke hospital atas alasan kesihatan dan kemudian diberi pengampunan diraja.
Keistimewaan yang diterimanya itu kini disiasat semula oleh pihak berkuasa, malah kehadirannya secara terbuka sejak kembali turut membangkitkan kemarahan musuh lamanya.
Para pemerhati politik memberi amaran bahawa Thailand berisiko menyaksikan satu lagi rampasan kuasa tentera yang ke-13.
Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa rampasan kuasa secara tradisional mungkin tidak perlu, kerana institusi seperti mahkamah atau suruhanjaya pilihan raya kini mampu melaksanakan apa yang digelar sebagai “rampasan kuasa senyap”.
“Kami sedang melihat bentuk autoritarianisme senyap yang lebih berkesan,” kata penganalisis politik daripada Universiti Rangsit, Encik Wanwichit Boonprong.
Keadaan dijangka semakin panas apabila kumpulan aktivis politik yang pernah menggulingkan kerajaan terdahulu, mengumumkan rancangan mengadakan tunjuk perasaan besar pada 28 dan 29 Jun, bagi menuntut Cik Paetongtarn meletak jawatan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg