NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, dalam satu mesej video pada 7 Oktober bagi memperingati genap setahun sejak konflik bersenjata Israel-Palestin di Gaza menekankan bahawa peperangan tersebut masih mengakibatkan penderitaan kemanusiaan yang dahsyat.
Ini sedang puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di bandar utama seluruh dunia pada 6 Oktober bagi menuntut gencatan senjata di Gaza dan Lebanon sempena setahun perang di Palestin.
Kira-kira 40,000 penunjuk perasaan pro-Palestin berarak melalui pusat bandar London, manakala ribuan yang lain berkumpul di Rabat, Paris, Berlin, Rome, Manila, Cape Town, New York, Washington, Boston, Teheran serta di Tebing Barat.
Sekitar 1,000 orang berhimpun dalam demonstrasi di ibu negara Amerika Syarikat itu, membawa sepanduk bertulis ‘Bebaskan Palestin’, menuntut sekatan bekalan senjata ke atas Israel serta mengibarkan bendera Palestin.
Penyokong Israel melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa slogan yang mereka sifatkan sebagai mempersoal hak Israel untuk wujud sebagai sebuah negara.
Encik Guterres menyeru masyarakat antarabangsa supaya memberi tumpuan terhadap “peristiwa ngeri” yang berlaku dan melahirkan perpaduan dengan mangsa serta keluarga mereka.
Menurut Encik Guterres, konflik itu bukan sahaja menjejas rakyat Palestin di Gaza malah turut mengakibatkan penderitaan terhadap penduduk Lebanon.
Beliau menyeru agar senjata diletakkan, tawanan dibebaskan dan segala bentuk keganasan dihentikan bagi memberi ruang kepada keamanan serta undang-undang antarabangsa.
“Sekarang adalah masa untuk keamanan, undang-undang antarabangsa dan keadilan,” tegas beliau.
Dalam masa yang sama, tentera Israel mendakwa pihaknya telah mengebom lebih 40,000 sasaran Hamas, menemui 4,700 laluan terowong dan memusnahkan 1,000 tapak pelancar peluru berpandu dalam tempoh setahun lalu di Jaluran Gaza.
Berdasarkan kiraan tentera Israel, seramai 726 anggota tenteranya terbunuh sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Daripada jumlah itu, seramai 380 tentera Israel maut dalam serangan pada 7 Oktober, manakala 346 lagi terbunuh dalam pertempuran di Gaza yang bermula pada 27 Oktober 2023.
Jumlah anggota yang cedera sejak tarikh berkenaan adalah seramai 4,576 dan seramai 56 tentera terkorban akibat kemalangan dalam operasi.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak menjelaskan perkara itu secara terperinci.
Berdasarkan data sempena ulang tahun perang Israel-Palestin, tentera Israel mendakwa pihaknya telah mengerahkan seramai 300,000 tentera simpanan sejak perang mula tercetus.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 42,000 rakyat Palestin terkorban akibat kekejaman serangan tentera Israel itu.
Sementara itu Setiausaha Agung, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Encik Jasem Mohamed Albudaiwi, memperbaharui seruannya kepada masyarakat antarabangsa agar memikul tanggungjawab dan mengambil tindakan segera bagi menghentikan pencerobohan Israel yang serius terhadap jaluran Gaza, lapor Agensi Berita Amiriah (WAM).
Beliau menekankan, situasi kemanusiaan, keselamatan dan ekonomi di rantau itu semakin merosot selepas setahun operasi ketenteraan Israel di Gaza.
“Ini memerlukan langkah segera dan tegas daripada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan jenayah kejam Israel terhadap rakyat Palestin, meredakan operasi ketenteraan dan menamatkan sekatan, sambil memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan serta pembukaan laluan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Selain itu, konflik tersebut turut membawa kesan mendalam terhadap kanak-kanak di Gaza.
Ketua Pengarah Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Cik Catherine Russell, dalam wawancara bersama CBS News, menyatakan bahawa Gaza kini ibarat “neraka” bagi kanak-kanak yang terperangkap dalam keganasan.
Kematian anggota keluarga, kehilangan tempat tinggal, serta kekurangan makanan dan air bersih adalah antara cabaran besar yang mereka hadapi.
Malah, trauma yang dialami oleh kanak-kanak itu berkemungkinan akan membawa kesan negatif bukan sahaja sepanjang hidup mereka, malah juga merentasi generasi akan datang, ujar Cik Russell.
PBB menganggarkan lebih 42 juta tan serpihan dan runtuhan bangunan kini memenuhi Gaza, jumlah yang 14 kali ganda lebih banyak berbanding sebelum konflik bermula.
Pengumpulan serpihan itu melebihi lima kali ganda daripada runtuhan yang ditinggalkan oleh Pertempuran Mosul di Iraq pada 2016-2017.
Timbunan serpihan tersebut kini menyamai 11 kali saiz Piramid Besar Giza di Mesir, dan ia terus meningkat setiap hari.
Sehubungan itu, pihak PBB sedang berusaha membantu pihak berkuasa Gaza untuk menguruskan runtuhan tersebut.
Satu projek perintis bersama pihak berkuasa Palestin akan dimulakan di Khan Younis dan Deir El-Balah bagi membersihkan runtuhan di tepi jalan.
Ketua Pejabat Rancangan Pembangunan PBB di Gaza, Encik Alessandro Mrakic, mengakui bahawa cabarannya sangat besar.
Namun, beliau menyatakan penting untuk memulakan usaha pemulihan segera demi kesejahteraan masa depan penduduk di Gaza.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) turut mengeluarkan kenyataan mengenai penderitaan yang terus dialami oleh penduduk Gaza setahun selepas konflik bermula.
Menurut mereka, beban kesakitan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di rantau itu adalah tidak tertanggung.
“Tahun ini (2024) dipenuhi dengan kekecewaan dan persoalan yang tidak terjawab. Puluhan ribu orang telah terkorban dan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal di seluruh rantau ini,” jelas ICRC dalam kenyataannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg