NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (27 Sep) menggesa pemerintah Taleban menarik balik dasar yang menyasarkan wanita dan gadis di Afghanistan, dengan badan dunia itu turut menzahirkan kebimbangan “peningkatan hakisan” terhadap hak asasi manusia di negara itu.
Dalam tamparan terbaru ke atas kaum Hawa di Afghanistan, pemerintah Taleban – yang berjaya merampas semula kuasa negara itu tahun lalu – melarang wanita bekerja dalam pertubuhan bukan pemerintah (NGO).
Tindakan itu mencetuskan bantahan antarabangsa.
Sebelum ini, pihak Taleban telah menggantung pendidikan universiti untuk wanita dan sekolah menengah bagi perempuan.
Dalam satu kenyataannya, seramai 15 anggota Majlis Keselamatan PBB berkata mereka “sangat bimbang” dengan peningkatan sekatan ke atas pendidikan wanita, menyeru “penyertaan penuh, sama rata dan bermakna untuk wanita dan gadis di Afghanistan”.
Ia menggesa penguasa Taleban “membuka semula sekolah dan segera membalikkan dasar dan amalan ini, yang mewakili hakisan yang semakin meningkat untuk menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asasi”.
Dalam kenyataannya, Majlis Keselamatan itu juga mengecam larangan wanita bekerja untuk NGO. – AFP, Reuters.
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
28
0
Majlis Keselamatan PBB kecam larangan Taleban terhadap wanita di Afghanistan
Dec 28, 2022 | 04:25 PM