NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengundi pada 19 April tentang permohonan Palestin untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu, kata diplomat.
Permohonan itu dijangka disekat oleh sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat, kerana ia akan bermakna mengiktiraf sebuah negara Palestin.
Majlis 15 anggota itu dijadual mengundi mengenai draf resolusi yang mengesyorkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB “Negara Palestin diterima sebagai anggota PBB”, kata diplomat.
Resolusi itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh Amerika, Britain, Perancis, Russia atau China bagi diluluskan. Diplomat berkata langkah itu boleh mendapat sokongan hingga 13 anggota Majlis tetapi Amerika akan menggunakan kuasa vetonya.
Anggota Majlis, Algeria, yang mengemukakan draf resolusi itu, meminta undian dijalankan pada 18 April bertepatan dengan sebuah mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai Timur Tengah, yang dijangka dihadiri beberapa menteri. Amerika telah berkata penubuhan negara Palestin harus dilakukan melalui rundingan terus antara pihak-pihak terlibat, bukan di PBB.
“Kami tidak melihat membuat satu resolusi dalam Majlis Keselamatan akan semestinya membawa kita ke kedudukan yang membolehkan kita menemui huraian dua negara untuk bergerak ke depan,” kata Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, pada 17 April.
Palestin sekarang adalah Negara Pemerhati, bukan anggota, PBB.
Permohonan untuk menjadi anggota penuh PBB perlu diluluskan oleh Majlis Keselamatan terlebih dahulu dan kemudian sekurang-kurangnya dua pertiga daripada Perhimpunan Agung.
Majlis Keselamatan telah lama menyokong visi dua negara yang tinggal bersebelahan dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.
Rakyat Palestin mahukan sebuah negara di Tebing Barat, timur Baitulmakdis dan Jaluran Gaza, yang semuanya adalah wilayah yang ditawan Israel pada 1967. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg