JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah menyuarakan bantahan tegas terhadap idea membuka kasino di negara itu, dengan menyatakan kebimbangan kuat terhadap nilai agama, perlembagaan dan moral.
Timbalan Pengerusi MUI, Encik Anwar Abbas, berkata pada 13 Mei bahawa idea membenarkan perjudian di negara majoriti Islam seperti Indonesia bertentangan dengan ajaran agama, perlembagaan negara dan ideologi negara Pancasila.
Cadangan untuk membenarkan kasino muncul semula pada 8 Mei apabila Anggota Parlimen Parti Golkar, Encik Galih Kartasasmita, mencadangkan agar Indonesia mempertimbangkan penyelesaian “luar kotak” untuk meningkatkan hasil negara, merujuk kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE), negara majoriti Islam, yang membenarkan operasi kasino.
Menurut Encik Anwar beliau terkejut apabila mendengar seorang anggota Dewan Rakyat mencadangkan membenarkan perjudian sebagai cara untuk meningkatkan pendapatan negara.
“Ini jelas melanggar prinsip agama dan perlembagaan kita, yang menjunjung tinggi kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa,” katanya.
Tegasnya, isu itu bukan sekadar melibatkan perundangan tetapi berakar dalam nilai moral dan kerohanian.
“Indonesia ialah negara budaya dan mengamalkan kepercayaan. Kita mesti mencari cara yang halal untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan bukannya membuka pintu kepada amalan yang jelas dilarang oleh agama,” tegas beliau.
Menurut Encik Anwar, Indonesia mesti menjunjung prinsip yang terkandung dalam Pancasila dan perlembagaan –bukan sahaja dari segi undang-undang, malah dalam menjaga asas moral dan etika masyarakat.
Beliau menolak tanggapan bahawa perjudian boleh berfungsi sebagai penyelesaian masalah ekonomi, dengan menyatakan bahawa sebarang bentuk pendapatan yang diperoleh daripada amalan yang tidak bersih atau haram adalah tidak wajar.
“Kita tidak boleh kehilangan jati diri sebagai sebuah negara yang berteraskan kepercayaan dan budaya,” tambahnya.
Daripada beralih kepada perjudian, Encik Anwar menggesa pemerintah supaya menumpukan usaha meningkatkan produktiviti negara dan mengurus sumber asli dengan lebih berkesan.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menangani pengangguran dan membangunkan sektor produktif yang sejajar dengan nilai nasional.
“Jika pemerintah membenarkan perjudian, ia akan mewujudkan isu ekonomi dan juga merosakkan struktur sosial dan moral negara,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg