Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makkah, Madinah dilanda banjir besar

Jan 8, 2025 | 10:50 AM
Para pengguna jalan raya meredah laluan yang ditenggelami air selepas hujan lebat melanda Makkah pada 7 Januari.
Para pengguna jalan raya meredah laluan yang ditenggelami air selepas hujan lebat melanda Makkah pada 7 Januari. - Foto AFP

MAKKAH: Kota suci Makkah di Arab Saudi dilanda banjir besar akibat cuaca buruk yang melampau. Banjir teruk turut dicatatkan di Madinah manakala Jeddah menjadi salah sebuah bandar yang paling terjejas pada 7 Januari.

Hujan lebat yang berlarutan menyebabkan jalan raya bertukar menjadi ‘sungai’ deras, mengakibatkan kenderaan hanyut dan penduduk tempatan terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat, lapor Saudi Press Agency.

Rakaman video dan foto yang tular di media sosial memaparkan keadaan cemas di mana kenderaan hampir tenggelam, manakala arus deras menghanyutkan apa sahaja yang ada di laluannya.

Jabatan Meteorologi Arab Saudi telah mengeluarkan amaran bagi Makkah, Madinah dan Jeddah, serta amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan sehingga 10 Januari.

Banjir itu bukan sahaja menjejaskan infrastruktur, malah menimbulkan pelbagai kesukaran kepada penduduk. Di Jeddah, lapangan terbang mengalami kelewatan penerbangan, memaksa penumpang untuk menyemak jadual penerbangan secara berkala.

Di Makkah dan Madinah, laluan utama terputus akibat air banjir, sementara ribut debu dan hujan batu meningkatkan lagi cabaran.

Encik Ahmed Khalid, seorang penduduk tempatan di Makkah, berkongsi pengalamannya: Kenderaan kami hampir tenggelam dan kami terpaksa meninggalkan rumah untuk mencari tempat yang lebih tinggi. Keadaan amat mencemaskan.”

Encik Hussein al-Qahtani, jurucakap Pusat Meteorologi Kebangsaan, menjelaskan melalui satu kenyataan di media sosial: “Musim hujan yang bermula malam ini (6 Januari) telah mula menjejas kawasan utara dan akan secara berperingkat merebak ke Qassim, Riyadh, Wilayah Timur, Al-Baha, Asir serta kawasan sekitar Madinah dan Makkah Al-Mukarramah.”

Pihak berkuasa telah menggerakkan pasukan respons kecemasan ke lokasi yang terjejas, sementara amaran keselamatan dikeluarkan kepada orang ramai untuk kekal di rumah dan mengelakkan perjalanan tidak penting.

Penduduk digesa menyediakan bekalan asas seperti makanan dan air minuman untuk menghadapi kemungkinan gangguan seperti pemotongan bekalan elektrik.

Jurucakap Arab Saudi turut memberi jaminan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengurangkan risiko dan melindungi penduduk. “Kami memastikan bantuan kecemasan tersedia dan maklumat terkini terus disampaikan kepada rakyat,” katanya.

Fenomena banjir besar di Arab Saudi bukanlah perkara baru.

Pada Ogos 2023, Makkah turut dilanda hujan lebat yang menyebabkan sekolah ditutup dan jalan raya tenggelam. Banjir besar di Jeddah pada 2009 mengorbankan lebih 100 nyawa, sementara banjir di Madinah pada 2005 meragut 29 nyawa semasa musim haji. – Agensi berita.

Laporan berkaitan
Makkah 'diserang' ribuan cengkerikJul 24, 2024 | 12:29 PM
Hujan lebat banjiri MakkahMay 19, 2023 | 1:49 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg