NEW YORK: Pilihan raya Datuk Bandar New York pada 4 November menjadi tumpuan apabila Encik Zohran Kwame Mamdani, calon Muslim berusia 34 tahun, muncul sebagai pendahulu dalam persaingan sengit bagi kerusi tertinggi di bandar terbesar Amerika Syarikat itu.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 3 November memberi amaran bahawa beliau akan menyekat peruntukan dana persekutuan kepada bandar New York sekiranya Encik Mamdani, calon Parti Demokrat yang berhaluan kiri, memenangi pilihan raya tersebut.
“Jika Mamdani menang, tidak mungkin saya akan menyalurkan dana persekutuan kecuali jumlah minimum yang diwajibkan,” tulis Encik Trump di platform Truth Social.
Pilihan raya kali ini menyaksikan Encik Mamdani mendahului dengan 41 peratus undi; diikuti bekas Gabenor New York, Encik Andrew Cuomo (34 peratus); dan calon Republikan, Encik Curtis Sliwa (24 peratus), menurut tinjauan AtlasIntel.
Encik Mamdani, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri kelahiran Uganda, berkempen atas platform sosialisme demokratik, menekankan isu kos sara hidup, perumahan mampu milik dan keadilan sosial. “Saya mahu menjadikan New York bandar di mana semua orang boleh hidup bermaruah, bebas daripada penindasan ekonomi dan perkauman,” katanya semasa berucap di Queens pada 1 November.
Beliau turut menegaskan bahawa pentadbirannya kelak akan menumpukan kepada penurunan kos perumahan, pembekuan kadar sewa pangsapuri kawalan harga, serta menaikkan cukai bagi golongan paling kaya.
Di seluruh New York, komuniti Muslim menjadi tulang belakang utama kempen Encik Mamdani. Dari masjid ke jalanan, para sukarelawan giat berkempen pada saat-saat akhir menjelang hari pengundian.
Encik Abdullah Aqul, Pengarah Advokasi di Pusat Belia Persatuan Muslim Amerika di Brooklyn, menyifatkan kemenangan Encik Mamdani sebagai simbol perjuangan melawan Islamofobia yang semakin membara di Amerika. “Kebencian terhadap Muslim semakin parah, dan kini ia datang daripada ahli politik sendiri. Kami bersatu di belakang Mamdani kerana beliau adalah suara kami,” katanya kepada portal 5Pillars.
Seorang sukarelawan muda yang ditemui ketika berkempen berkata: “Zohran adalah satu-satunya calon yang mempertahankan hak rakyat Palestin dan bercakap tentang maruah untuk semua. Dia faham penderitaan orang biasa di kota ini.”
Kebangkitan Encik Mamdani berlaku ketika ketegangan politik di Amerika meningkat susulan perang di Gaza dan perdebatan sengit mengenai sokongan Amerika terhadap Israel.
Dalam konteks ini, kempen Encik Mamdani dilihat sebagai manifestasi penentangan terhadap dasar pro-Israel dan penindasan terhadap suara Muslim serta progresif.
Sebelum ini, sebahagian besar pengundi Muslim menolak calon Demokrat kerana dianggap bersekongkol dengan Israel.
Namun kini, ramai melihat Encik Mamdani sebagai peluang mengembalikan suara Muslim dalam arus politik negara itu.
Profesor Sains Politik di Universiti Syracuse, Encik Grant Reeher, menjangkakan kemenangan Mamdani bakal mencetuskan pertembungan langsung antara New York dan Rumah Putih.
“Jika Mamdani menang, Trump akan bertindak lebih agresif terhadap bandar New York. Kita akan melihat pertembungan politik yang besar,” katanya.
Sepanjang penggal keduanya, Encik Trump sering menggunakan ancaman pemotongan dana persekutuan bagi menekan negeri dan bandar yang menentang dasarnya termasuk dalam isu perubahan iklim, hak transgender, dan tunjuk perasaan pro-Palestin.
Kali ini, Trump menegaskan bahawa undi untuk Encik Curtis Sliwa hanya akan “membantu Mamdani menang” dan menyeru penyokong Republikan untuk mengundi Cuomo.
Encik Mamdani, yang dikenali dengan penampilan ringkas dalam sut gelap dan ucapan penuh semangat, menarik minat pengundi muda serta komuniti imigran. Sepanjang hujung minggu Halloween, beliau mengunjungi kelab malam termasuk acara komuniti Papi Juice, menandakan kesediaannya menjangkau pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi ramai pengundi muda, Encik Mamdani mewakili wajah baru politik Amerika, berprinsip, berakar dari komuniti minoriti, dan berani menentang arus kapitalisme serta diskriminasi agama. “Ini bukan sekadar tentang New York, tetapi tentang masa depan politik Amerika yang lebih inklusif,” kata seorang aktivis belia yang ditemui di Harlem.
Lebih 735,000 pengundi telah mengundi awal, jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya datuk bandar New York. Peti undi dibuka pada pukul 6 pagi dan ditutup pada 9 malam waktu tempatan.
Kempen terakhir Encik Cuomo dan Encik Sliwa menumpukan kepada isu jenayah dan kos sara hidup, manakala Encik Mamdani terus berucap di hadapan ribuan penyokong, menyeru warga New York untuk “membina bandar yang adil untuk semua”.
Sekiranya menang, Encik Mamdani akan mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York, menandakan detik penting dalam landskap politik Amerika yang sedang berubah. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg