Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa gempa bumi Taiwan yang cedera melebihi 1,000

Apr 4, 2024 | 3:32 PM
Anggota pasukan penyelamat dalam operasi mencari mangsa selepas gempa berukuran 7.4 magnitud melanda Hualien, Taiwan pada 3 April.
Anggota pasukan penyelamat dalam operasi mencari mangsa selepas gempa berukuran 7.4 magnitud melanda Hualien, Taiwan pada 3 April. - Foto AFP

HUALIEN (Taiwan): Jumlah mereka yang cedera dalam gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di timur Taiwan, meningkat melebihi 1,000 orang pada 4 April, walaupun angka kematian kekal sembilan orang.

Sementara itu, puluhan pekerja dalam perjalanan ke sebuah hotel di taman negara, kebanyakannya kini ditemui selamat.

Gegaran yang paling kuat dalam 25 tahun melanda pada pagi 3 April, ketika orang ramai bersiap sedia untuk pergi ke tempat kerja dan sekolah.

Kejadian tertumpu pada daerah timur Hualien, yang sebahagian besarnya terletak di luar bandar dan tidak ramai penduduk.

Bangunan turut bergegar dengan kuat di ibu kota Taipei, namun kerosakan dan gangguan di sana adalah minimum.

Jabatan bomba Taiwan berkata jumlah kecederaan telah mencecah 1,050, dan 52 orang hilang.

Sekitar 24 orang daripada hampir 50 pekerja hotel dalam perjalanan ke sebuah resort di Taman Negara Taroko, telah ditemui.

Jabatan bomba berkata kumpulan itu terperangkap di lebuh raya rentas pulau yang melalui gaung. Ia menghubungkan Hualien dengan pantai barat Taiwan, dan merupakan destinasi pelancongan yang popular.

Rakaman dron menunjukkan beberapa pekerja hotel bersama orang lain, melambai dari tepi jalan, dengan bahagian belakang bas mini yang remuk juga jelas kelihatan.

Satu lagi kumpulan seramai 26 pekerja juga telah ditemui, tambahnya.

Pada 4 April, sebuah helikopter menyelamatkan enam orang yang telah terperangkap di kawasan perlombongan, kata jabatan bomba.

Laluan kereta api ke Hualien turut dibuka semula lebih awal dari jadual 4 April, walaupun sebuah stesen luar bandar di utara bandar Hualien, masih ditutup kerana kerosakan, kata pentadbiran kereta api.

Di bandar Hualien, kerja-kerja menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam bangunan kini selesai.

Namun, beberapa orang terpaksa bermalam di luar bangunan semalaman, ketika lebih 300 gegaran susulan menggoncang wilayah itu.

Seorang wanita yang memberikan nama keluarganya sebagai ‘Yu’, 52 tahun, berkata beliau memasuki khemah di padang sukan di pusat perlindungan sementara lewat malam 3 April kerana terlalu takut untuk tidur di apartmennya, yang disifatkannya sebagai “berantakan”.

“Gempa susulan itu amat menggerunkan. Ia tiada henti. Saya tidak berani tidur di dalam rumah,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg