BRASILIA (Brazil): Panel hakim Mahkamah Agung Brazil pada 11 September telah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun dan tiga bulan terhadap mantan presiden, Encik Jair Bolsonaro, selepas didapati bersalah dalam percubaan merampas kuasa.
Beliau didakwa berbuat demikian kerana mahu mengekalkan jawatan walaupun kalah dalam pilihan raya pada 2022.
Encik Bolsonaro, yang sentiasa menafikan sebarang salah laku, boleh cuba merayu terhadap keputusan itu.
Beliau kini berada di bawah tahanan rumah di Brasilia.
Empat daripada lima hakim mendapati ahli politik sayap kanan itu bersalah atas lima pertuduhan, dalam keputusan yang akan memperdalam perpecahan politik dan dijangka menimbulkan tindak balas Amerika Syarikat.
Kes tersebut menjadikan Encik Bolsonaro sebagai mantan presiden Brazil pertama yang disabitkan bersalah kerana cuba merampas kuasa.
Lima pertuduhan itu temasuk, cuba merampas kuasa selepas kalah dalam pilihan raya pada 2022 kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva; mengambil bahagian dalam organisasi jenayah bersenjata termasuk cuba membunuh Encik Lula; cuba memansuhkan undang-undang demokrasi; melakukan kerosakan dan menyebabkan kemerosotan warisan negara.
Semua pegawai yang bersubahat dengan Encik Bolsonaro, turut dihukum kerana peranan mereka dalam cubaan merampas kuasa.
Jeneral Braga Netto, bekas menteri pertahanan dan pasangannya, dihukum penjara 26 tahun; Laksamana Almir Garnier (24 tahun); Jeneral Augusto Heleno (21 tahun); dan Jeneral Paulo Sergio Nogueira (19 tahun).
Ketua Hakim Negara, Encik Luís Roberto Barroso, menyertai panel pada penghujung sesi dan menyifatkan perbicaraan itu sebagai “saat penting dalam sejarah Brazil.”
Amerika segera mengkritik keputusan itu dan memberi amaran ia akan bertindak balas.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata beliau “sangat tidak berpuas hati” dengan sabitan itu.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata Encik Bolsonaro menerajui negara dengan cemerlang.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata pentadbiran Amerika “akan bertindak balas sewajarnya kelak”.
Pentadbiran Trump telah mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan import Brazil, yang dikatakan sebagai reaksi terhadap bantahan menentang Encik Bolsonaro.
Hukuman itu tidak bermakna beliau akan segera dimasukkan ke penjara.
Panel mahkamah kini mempunyai sehingga 60 hari untuk menerbitkan keputusan itu.
Sebaik sahaja ia berlaku, peguam Encik Bolsonaro mempunyai lima hari untuk memfail usul bagi penjelasan.
Peguamnya berkata mereka akan cuba merayu walaupun sesetengah pakar berpendapat ia tidak mungkin diterima. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg