WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada 9 Julai menambah senarai negara yang akan dikenakan tarif tinggi dalam beberapa minggu akan datang jika mereka gagal mencapai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat, sekali gus meningkatkan risiko tercetusnya perang perdagangan yang lebih meluas.
Dalam hantaran di akaun media sosialnya, Encik Trump memuat naik surat berbentuk standard yang memaklumkan negara seperti Filipina, Sri Lanka, Moldova, Brunei, Libya, Iraq dan Algeria bahawa mereka perlu bersiap sedia menghadapi kadar tarif dua digit.
Kecuali nama negara dan kadar tarif, kandungan surat tersebut adalah sama seperti yang beliau siarkan pada 7 Julai, yang menyasarkan 14 negara lain.
Menurut kandungan surat itu, tarif sebanyak 30 peratus akan dikenakan ke atas Libya, Iraq, Algeria dan Sri Lanka; 25 peratus ke atas Brunei dan Moldova; serta 20 peratus ke atas Filipina.
Pada petang 9 Julai, Encik Trump mengeluarkan satu lagi ancaman untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas produk dari Brazil.
Surat itu membayangkan bahawa kadar tarif lebih tinggi itu sebahagiannya sebagai tindak balas terhadap apa yang digambarkan oleh Encik Trump sebagai “pemburuan ahli sihir” terhadap bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang kini sedang dibicarakan atas dakwaan cuba melakukan rampasan kuasa.
Brazil dan negara rakan dagang lain yang disasarkan pada 9 Julai menyertai senarai negara yang semakin panjang dan dijangka akan dikenakan tarif tambahan bermula 1 Ogos, termasuk Jepun dan Korea Selatan.
Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva membidas Encik Trump susulan ancaman pemimpin Amerika itu untuk mengenakan tambahan 10 peratus tarif terhadap negara membangun dalam kumpulan Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) yang disifatkannya sebagai ‘anti-Amerika’.
Ancaman baru terhadap negara besar dan kecil ini mencerminkan strategi tarif global yang diumumkan oleh Encik Trump pada awal April, yang bertujuan menghukum negara atas pelbagai amalan dan dasar perdagangan yang dianggap tidak adil.
Ancaman tarif ini secara asasnya bertujuan menggantikan tarif tinggi yang diumumkan oleh presiden pada April, ketika beliau menyasarkan sekitar 60 negara yang menjual lebih banyak barangan ke Amerika Syarikat berbanding yang dibeli daripadanya.
Banyak negara kini berlumba-lumba untuk menandatangani perjanjian perdagangan, termasuk rakan dagang utama seperti Kesatuan Eropah dan India.
Pada April lalu, penasihat perdagangan tertinggi presiden, Encik Peter Navarro, berjanji untuk menandatangani 90 perjanjian perdagangan dalam tempoh 90 hari.
Namun, adalah tidak praktikal bagi Amerika untuk berunding secara serentak dengan kesemua negara yang telah diancam dengan tarif, sesuatu yang diakui sendiri oleh Encik Trump di Rumah Putih pada 8 Julai.
Dalam satu mesyuarat pada 9 Julai bersama sekumpulan pemimpin Afrika di Rumah Putih, Encik Trump berkata tarif adalah “sesuatu yang hebat untuk negara kami”.
Katanya: “Kami telah mengutip ratusan bilion dolar daripada tarif, ratusan bilion, dan kami belum pun benar-benar bermula.”
Surat-surat yang dihantar oleh Encik Trump berulang kali menyentuh tentang defisit perdagangan dua hala yang dihadapi Amerika dengan negara lain, menyifatkannya sebagai “tidak mampan” dan “ancaman besar” terhadap keselamatan ekonomi negara.
Namun begitu, ramai ahli ekonomi telah mengkritik tumpuan presiden terhadap defisit perdagangan dengan negara secara individu sebagai ukuran yang tidak tepat terhadap hubungan dagangan Amerika. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg