Topik diikuti
Pergi ke BHkuMarcos gantung persekolahan di Mindanao selepas gempa besar
Marcos gantung persekolahan di Mindanao selepas gempa besar
Marcos gantung persekolahan di Mindanao selepas gempa besar
MANILA: Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., mengarahkan penggantungan kelas di semua peringkat di kawasan terjejas di Mindanao selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda luar pantai Sarangani pada pagi 8 Jun.
Arahan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pelajar ketika sesi persekolahan baharu bermula.
“Saya juga mengarahkan penggantungan kelas di semua peringkat di kawasan terjejas di Mindanao sehingga diberitahu kelak,” kata Encik Marcos dalam satu kenyataan pada 8 Jun.
“Keselamatan anak-anak kita adalah keutamaan,” tambah beliau sambil memaklumkan Jabatan Pendidikan Filipina (DepEd) akan menyelaras pelaksanaan arahan itu bersama pemerintah tempatan.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) berkata gempa bumi tektonik itu berlaku pada 7.37 pagi berhampiran pesisir Maasim di wilayah Sarangani.
Gempa tersebut pada awalnya dilaporkan berukuran 7.0 magnitud sebelum dinaik taraf kepada 7.8 magnitud.
Phivolcs berkata pusat gempa terletak kira-kira 32 kilometer di barat Maasim dengan kedalaman 33 kilometer.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran tsunami dan meminta penduduk di kawasan pesisir bersiap sedia menghadapi gegaran susulan serta kemungkinan ombak besar.
Encik Marcos berkata beliau telah mengarahkan semua agensi berkaitan supaya bertindak segera bagi menyelaras operasi bantuan dan pemantauan.
“Saya telah mengarahkan semua agensi pemerintah berkaitan supaya bertindak segera,” katanya.
Menurut beliau, Pejabat Pertahanan Awam (OCD) dan Majlis Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) kini turut menyelaras operasi tindak balas di kawasan terjejas.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan (DSWD) menyediakan bekalan bantuan lebih awal dan memastikan pusat pemindahan berada dalam keadaan siap sepenuhnya.
Selain itu, Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya (DPWH) turut diarahkan bersiap sedia menjalankan penilaian kerosakan serta membersihkan jalan raya, jambatan dan laluan utama bagi memudahkan operasi menyelamat.
Encik Marcos turut menggesa penduduk di kawasan yang menerima amaran tsunami supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi.
“Kepada rakyat kami di wilayah terjejas, sila patuhi amaran tsunami. Pergi ke kawasan lebih tinggi sekarang. Jangan tunggu. Nyawa anda lebih penting daripada apa sahaja yang ditinggalkan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pemerintah pusat sedang berhubung rapat dengan pejabat wilayah dan ketua pemerintah tempatan bagi memantau perkembangan semasa.
Phivolcs mengeluarkan amaran tsunami untuk beberapa wilayah pesisir termasuk Sarangani, Davao Occidental, Tawi-Tawi, Sulu, Basilan, Zamboanga del Sur, Zamboanga Sibugay, Sultan Kudarat dan South Cotabato.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa ombak tsunami melebihi satu meter daripada paras biasa boleh melanda kawasan pantai dan berpotensi menjadi lebih tinggi di kawasan teluk tertutup serta selat sempit.
Gempa kuat itu turut dirasai di General Santos City dan beberapa kawasan lain di Mindanao sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk. – Agensi berita.
