Masjid di Batam rancang bina bangunan tertinggi di Nagoya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid di Batam rancang bina bangunan tertinggi di Nagoya

Mar 23, 2026 | 10:02 AM

Masjid di Batam rancang bina bangunan tertinggi di Nagoya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Gambar ilustrasi menunjukkan cahaya matahari menyinari Masjid Jabal Arafah bersama kemudahan bersepadunya, termasuk bangunan tertinggi (kiri) di kawasan pusat perniagaan Nagoya, Bandar Batam, wilayah Kepulauan Riau, seperti yang dikeluarkan oleh Yayasan Arafah Batam pada 21 Mac 2026.
Gambar ilustrasi menunjukkan cahaya matahari menyinari Masjid Jabal Arafah bersama kemudahan bersepadunya, termasuk bangunan tertinggi (kiri) di kawasan pusat perniagaan Nagoya, Bandar Batam, wilayah Kepulauan Riau, seperti yang dikeluarkan oleh Yayasan Arafah Batam pada 21 Mac 2026. - Foto Ihsan Asman Abnur

BATAM: Kawasan pusat perniagaan Nagoya di Batam, Kepulauan Riau, bakal menyaksikan pembinaan sebuah bangunan baharu yang dijangka menjadi mercu tanda ikonik bandar itu apabila siap kelak.
Bangunan yang dirancang itu akan dibina bersebelahan Masjid Jabal Arafah dan menjadi sebahagian daripada visi pembangunan Kota Madani yang diperkenalkan oleh Yayasan Arafah Batam.

Pengerusi lembaga penasihat yayasan itu, Encik Asman Abnur, berkata pihaknya kini sedang memuktamadkan perolehan tanah untuk projek tersebut. “Doakan kami, kami sedang memuktamadkan sebidang tanah di sebelah kanan masjid,” katanya ketika berucap di hadapan jemaah sebelum solat Aidilfitri pada 21 Mac. Beliau, yang dipetik oleh The Jakarta Post, menambah, “Insya-Allah, kami akan membina bangunan tertinggi di Nagoya.”

Menurut Encik Asman, projek itu bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga bertujuan menghidupkan semula konsep Kota Madani yang pernah diperkenalkan oleh bekas Datuk Bandar Batam, Allahyarham Nyat Kadir, sekitar tahun 2001 hingga 2005. “Bangunan ini membawa semangat pembangunan yang seimbang antara kemodenan dan nilai keagamaan,” jelasnya.

Sebagai simbol identiti Islam yang berperadaban, bangunan tersebut dirancang untuk mempunyai kubah di bahagian atas. “Insya-Allah, Masjid Jabal Arafah akan menjadi lambang dan destinasi istimewa bagi umat Islam,” ujar Encik Asman lagi.

Beliau, yang pernah menjawat jawatan Menteri Reformasi Pentadbiran dan Birokrasi Indonesia dari 2016 hingga 2018 semasa penggal pertama Presiden Joko “Jokowi” Widodo, berkata pendekatan itu selari dengan usaha membangunkan bandar yang seimbang antara kemajuan fizikal dan nilai keagamaan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa yayasan akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan sedia ada di masjid sebagai persediaan kepada pembangunan tersebut. Antaranya termasuk pemasangan lif bagi memudahkan pergerakan jemaah dari tingkat bawah ke tingkat empat. “Kami juga akan mengadakan kelas-kelas agama di tingkat empat,” katanya sambil menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dalam pembangunan projek itu.

Ketika ini, bangunan tertinggi di kawasan pusat perniagaan Nagoya, yang secara rasmi dikenali sebagai Lubuk Baja, ialah Formosa Residence Nagoya dan Citra Plaza Nagoya, masing-masing melebihi 30 tingkat. Kedua-duanya menjadi simbol pembangunan pesat bandar itu.

Bagaimanapun, Encik Asman tidak mendedahkan butiran teknikal projek baharu tersebut, selain memaklumkan ia akan turut menempatkan sebuah hotel patuh syariah.

Masjid Jabal Arafah sendiri telah menjadi tarikan antarabangsa, khususnya sebagai pusat ibadah yang terletak berhampiran kawasan sempadan negara. Menurut Encik Asman, masjid itu menerima sumbangan daripada penderma luar negara termasuk dari Singapura dan Uzbekistan, terutama bagi kelengkapan dalaman seperti permaidani di tingkat dua dan tiga.

Beliau berkata, projek peluasan ini dijangka mengangkat peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat budaya dan pendidikan yang dapat merangsang ekonomi masyarakat setempat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg