Buat julung kalinya, syarikat Pos TKI Travel & Tours Pte Ltd, telah menganjurkan lawatan ke Batam bagi membolehkan warga Singapura menyaksikan ibadah korban secara langsung.
Program ‘Wisata Qurban’ anjuran agensi pelancongan itu menghimpunkan sekitar 300 anggota jemaah dalam perjalanan dua hari satu malam ke Batam sempena Hari Raya Haji, pada 8 dan 9 Jun.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Pengarah Urusan, Pos TKI Logistics Pte Ltd dan Pos TKI Travel & Tours Pte Ltd, Encik Mohamed Anwar Tahar, berkata:
“Pengalaman mereka jauh lebih mendalam – bukan sahaja menempah dan membayar, malah mereka dapat turut serta, menyaksikan penyembelihan.”
Diadakan di Masjid Jami’ Hidayatul Ummah di Baloi, Batam, 400 ekor kambing disembelih dan daging korban diagihkan kepada masyarakat setempat.
“Ini kali pertama ‘Wisata Qurban’ dianjurkan sejak kami mula beroperasi sekitar setahun setengah lalu.
“Pada 2024, syarikat (Pos TKI Travel & Tours Pte Ltd) masih dalam proses penubuhan dan belum bersedia sepenuhnya, namun kini mengambil langkah memperkenalkan konsep ini bagi menggabungkan ibadah korban dengan pengalaman pelancongan yang lebih bermakna,” jelas Encik Anwar.
Program tersebut mendapat sambutan luar jangkaan, dengan jumlah penyertaan yang pada awalnya disasarkan seramai 100 anggota jemaah telah meningkat secara mendadak kepada 300 orang.
“Malah, ramai yang telah mula menempah untuk tahun hadapan (2026),” tambah Encik Anwar, yang mengakui menguruskan logistik menjadi antara cabaran yang dihadapi.
Encik Anwar dan pasukannya, yang terdiri daripada 10 kakitangan, membuat lawatan mingguan ke Batam sebelum program bermula untuk menyemak lokasi, mengatur penginapan, makanan, pengangkutan dan penyelarasan dengan pihak berkuasa di Batam.
“Kami tak sangka sambutan begitu hebat. Tapi lebih penting, kami dapat sampaikan daging kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Ini juga cara kita berkongsi rezeki,” ujarnya.
Setiap keluarga di sana mendapat sekurang-kurangnya dua kilogram daging korban, manakala sesetengah keluarga menerima dua bungkus bergantung pada saiz isi rumah.
Dengan maklum balas yang amat memberangsangkan, Pos TKI Travel & Tours merancang untuk menjadikan ‘Wisata Qurban’ sebagai program tahunan, namun buat masa ini akan mengehadkan penyertaan kepada 300 hingga 350 anggota jemaah.
Pakej penuh ‘Wisata Qurban’ itu berharga $399 termasuk tiket feri pergi balik, laluan kastam ekspres, seekor kambing bernilai sekitar $180, penginapan hotel empat bintang, pengangkutan, serta makan tengah hari di restoran makanan laut pada hari pertama.
Pada 2025, Pos TKI menguruskan penyembelihan antara 500 dengan 600 ekor kambing di Palestin, Australia dan Indonesia (termasuk Batam dan Jawa).
Harga bagi seekor kambing ialah sekitar $340 di Palestin, $360 di Australia, dan $180 di Jawa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg