Masjid Kerisik saksi sejarah Pattani, simbol kebangkitan Islam di Selatan Thailand
Masjid Kerisik saksi sejarah Pattani, simbol kebangkitan Islam di Selatan Thailand
Masjid Kerisik saksi sejarah Pattani, simbol kebangkitan Islam di Selatan Thailand
Masjid Kerisik atau Masjid Pintu Gerbang yang terletak di Mukim Tanjung Luluk, Daerah Mueang, Wilayah Pattani, Thailand, bukan biasa-biasa.
Di sini, imbauan tragedi berdarah yang berlaku 21 tahun lalu masih terasa.
Justeru melangkah ke masjid yang dibina Sultan Muzaffar Shah pada 1514, terhimbau kesedihan lewat laporan ia menjadi saksi 32 umat Islam maut dalam tragedi itu.
Kejadian tersebut adalah sebahagian daripada detik hitam masyarakat Melayu Pattani.
Namun dari sisi lain, ia juga menjadi bukti Islam sudah bertapak di negara itu sejak sekian lama, mempunyai kesultanan dan kerajaan sendiri dari 1506 sebelum Kesultanan Pattani runtuh pada 1786.
Masjid Kerisik adalah masjid pertama di Asia Tenggara dan binaannya banyak dipengaruhi seni binasa Timur Tengah.
Hal ini boleh dilihat menerusi kaedah penyusunan batu-batanya yang disifatkan unik apabila keseluruhannya diikat dengan campuran beras pulut hitam, kulit kerang, telur putih dan manisan cair.
Sebaik selesai pembinaannya, ia dianggap sebagai masjid rasmi Kerajaan Melayu Pattani. Disebabkan itu Masjid Kerisik dianggap tempat yang sangat bernilai berdasarkan sejarahnya sejak dahulu hingga sekarang.
Masjid ini juga turut dikaitkan sebagai tempat persinggahan Hang Tuah dalam perjalanan mengejar Raja Bersiong yang lari ke Siam.
Kunjungan penulis Berita Harian Malaysia ke Masjid Kerisik sebenarnya sebahagian daripada pengisian Program Pertukaran Belia Antarabangsa Malaysia-Thailand anjuran Majlis Belia Felda Wilayah Raja Alias (MBFWRA).
Ia antara lain adalah program yang bertujuan membuka minda anak muda dalam pelbagai isu global, malah selari pula dengan pepatah lama, jauh berjalan luas pandangan.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu membawa sekitar 41 peserta merentasi Songkla, Pattani dan Narathiwat.
Tiga Wilayah Selatan Thailand itu sebenarnya menawarkan pelbagai tarikan, antaranya tentulah saja makanannya selain lokasi seperti Hatyai yang kini menjadi kerumunan pelancong dari Malaysia setiap kali cuti panjang.
Namun kunjungan ke lokasi seperti masjid dan beberapa madrasah dan perkampungan Melayu lain di sana memang cukup memperjelaskan pertautan sejarah, budaya dan agama dengan masyarakat Malaysia.
Penulis berpeluang berkunjung ke beberapa pusat aktiviti ekonomi penduduk Melayu di Selatan Thailand, antaranya pusat jualan herba, butik pakaian Melayu dan beberapa lokasi pelancongan menarik di Hatyai selain sempat juga melaksanakan misi sukarelawan ke Madrasah Simarul Jannah di Pattani.
Usai di situ, kami sempat berkunjung ke Telaga Sheikh Daud Fatani al-Fatoni di Kampung Parit Marhum, Kerisik antara yang terkesan.
Ulama berbangsa Melayu kelahiran Pattani ini hidup sekitar akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-19 sebelum meninggal dunia dunia pada 1847 di Makkah.
Beliau dianggap sebagai penggerak awal sistem pengajian pondok di alam Melayu malah banyak tulisannya digunakan sebagai teks pengajian di pondok-pondok tradisional di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand.
Kami sempat bertemu dan berbual dengan Ketua Yayasan Nusantara, Pattani, Bong Aladee Zakariya, yang banyak berkongsi kisah mengenai sejarah Pattani dan bagaimana Islam bertapak seterusnya berkembang di wilayah berkenaan termasuk cabaran dihadapi penduduknya sebelum ini.
Katanya, Islam pada awalnya berdepan dengan pelbagai cabaran di Pattani, banyak perkara tidak boleh dilakukan malah sebelum ini wanita Islam tidak dibenarkan bertudung.
“Pada akhir 90-an, selepas ada tuntutan daripada pelajar Islam, barulah tudung dibenarkan malah orang lelaki pun dibenarkan berbaju Melayu, bersongkok dan sampin,” katanya.
Dalam perjalanan untuk kembali ke Malaysia melalui Sungai Golok-Rantau Panjang, kami sempat singgah ke sebuah masjid berusia lebih 400 tahun yang terletak di Narathiwat dikenali Masjid Taloh Manoh atau turut dikenali Masjid Wadil Hussein.
Masjid ini dibina menggunakan kayu tanpa paku dan menampilkan gabungan gaya seni bina budaya yang pelbagai antaranya Melayu, Siam dan Cina.
Penulis tertarik dengan ukiran tumbuh-tumbuhan, daun dan bunga antara yang digunakan untuk mencantikkan masjid berkenaan.
Masjid yang dipercayai dibina pada 1624 ini pernah menjadi lokasi penyelidikan pelajar Universiti Teknologi Malaysia pada 1997.
Kajian mereka mendedahkan seni bina masjid ini tidak disiapkan dalam satu fasa tetapi berkembang dalam beberapa fasa berturut-turut.
Tiga hari dua malam di Selatan Thailand membuka minda mengenai pelbagai perkara, dari sudut agama, ekonomi dan pelancongan semuanya berbaur mengiyakan pepatah, jauh perjalanan luas pandangan.

