Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 terkorban, ribuan hilang tempat tinggal akibat banjir di selatan Thai

Nov 30, 2024 | 6:47 PM
Banjir buruk menyebabkan puluhan ribu penduduk di selatan Thailand terpaksa berpindah ke pusat perlindungan.
Banjir buruk menyebabkan puluhan ribu penduduk di selatan Thailand terpaksa berpindah ke pusat perlindungan. - Foto AFP

BANGKOK: Banjir akibat hujan lebat di selatan Thailand telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan menyebabkan lebih 13,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut pegawai tempatan pada 30 November.

Pasukan penyelamat turut dikerah menggunakan bot dan jet ski dalam usaha menyelamatkan penduduk yang terkandas.

Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk meredah air keruh setinggi paras dada dan kereta yang tenggelam di jalan raya yang dilanda banjir.

“Banjir di lapan wilayah di selatan Thailand menjejas 553,921 isi rumah dan meragut sembilan nyawa, menggesa agensi untuk menggerakkan bantuan segera,” kata agensi bencana negara itu menerusi laman Facebook rasminya.

Lebih 13,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, dengan tempat perlindungan sementara didirikan di sekolah dan kuil, tambahnya.

Cik Nampa, seorang penduduk wilayah pesisir pantai Songkhla, memberitahu media tempatan Thai PBS bahawa beliau bimbang dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan.

“Kami baik-baik sahaja sekarang tetapi saya tidak pasti berapa lama kami boleh kekal dalam keadaan ini,” katanya.

Dua hospital di wilayah Pattani pula menggantung operasi untuk mengelakkan air banjir daripada merosakkan kemudahan perubatan.

Jabatan Meteorologi Thailand telah memberi amaran bahawa “hujan sangat lebat” mungkin akan terus menjejas beberapa kawasan di selatan negara itu hingga minggu hadapan.

Kerajaan Thailand telah mengerahkan pasukan penyelamat untuk membantu penduduk yang terjejas dan memperuntuk 50 juta baht ($1.9 juta) bagi bantuan banjir di setiap wilayah.

Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, berkata pada 29 November di laman media sosial X bahawa matlamatnya adalah untuk memulihkan keadaan agar kembali normal secepat mungkin.

Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, saintis mengatakan perubahan iklim kegiatan manusia menyebabkan corak cuaca yang lebih ekstrem, yang meningkatkan kemungkinan dilanda banjir besar.

Pada 2011, banjir besar di serata Thailand telah meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan jutaan rumah. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg