Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Masjid ketiga terbesar dunia di Algeria dirasmi pembukaannya

Feb 26, 2024 | 04:32 PM



ALGIERS: Presiden Algeria, Encik Abdelmadjid Tebboune, pada 25 Februari merasmikan Masjid Agung Algiers – masjid terbesar di Afrika dan ketiga terbesar di dunia.


Masjid dengan keluasan mencecah 27.75 hektar yang boleh menampung hingga 120,000 jemaah itu kali pertama dibuka untuk solat pada Oktober 2020.

Namun, Encik Tebboune mengalami jangkitan Covid-19 dan tidak dapat hadir ketika itu.

Masjid berkenaan, yang turut dikenali sebagai Djamaa El-Djazair, memiliki struktur moden serta merupakan masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Ia juga memiliki menara tertinggi di dunia – 267 meter – yang dilengkapi lif serta platform tinjau saujana mata memandang ibu kota negara itu dan Teluk Algiers.

Bahagian dalam masjid itu pula menampilkan gaya Andalusia bersama hiasan kayu dan marmar.

Projek mega itu menelan kos lebih AS$800 juta ($1.075 bilion), manakala pembinaannya oleh syarikat binaan China mengambil masa hingga tujuh tahun.

Perasmian itu akan membawa umat Islam “ke arah kebaikan dan kesederhanaan”, kata Encik Ali Mohamed Salabi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia.

Menyebarkan jenama Islam yang sederhana telah menjadi keutamaan utama di Algeria sejak tentera pemerintah menundukkan pemberontakan sepanjang 1990-an apabila perang saudara berdarah melanda negara itu.

Perasmian masjid itu membolehkan masjid dibuka kepada orang ramai menjelang Ramadan yang dijangka bermula 10 Mac.

Di luar dimensi gergasinya, masjid itu juga terkenal dengan kelewatan dan kontroversi sepanjang pembinaan selama tujuh tahun termasuk pilihan tapak yang menurut pakar kaji bumi berisiko secara seismik.

Kelewatan dan kos yang terus meningkat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Algeria yang menyatakan mereka lebih suka pemerintah membina empat hospital di serata negara itu.

Masjid itu pada asalnya adalah projek mantan Presiden Abdelaziz Bouteflika, yang mengilhamkannya sebagai masjid terbesar di Afrika.

Beliau mahu ia menjadi warisannya dan digelar ‘Masjid Abdelaziz Bouteflika’ – sama seperti Masjid Hassan II di Casablanca, Maghribi, yang dinamakan sempena mantan Raja Maghribi.

Tetapi bantahan yang melanda Algeria pada 2019 menyebabkan beliau meletakkan jawatan selepas 20 tahun berkuasa, sekali gus menghalang Encik Bouteflika daripada merealisasikan rancangannya untuk menamakan masjid itu sempena namanya sendiri.

Masjid itu, bersama projek lebuh raya utama negara dan sejuta unit perumahan baru, dicemari oleh isu rasuah semasa era pemerintahan Encik Bouteflika. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >