TOKYO: McDonald’s Jepun terpaksa memohon maaf selepas kempen pemberian kad Pokemon edisi terhad bersama set Happy Meal bertukar menjadi kekecohan, mencetuskan barisan panjang di restoran dan kemarahan di media sosial berhubung pembaziran makanan.
Kad bergambar ‘raksasa kecil’ itu amat popular bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga peminat tegar dan pengumpul dewasa, dengan sesetengah kad bernilai ribuan dolar di pasaran. Popularitinya pernah mendorong berlakunya kes rompakan kedai serta pergaduhan fizikal di Jepun yang terkenal dengan kadar jenayah rendah.
Kempen yang dilancarkan pada 9 Ogos lalu itu menyaksikan sesetengah pelanggan membeli set Happy Meal dalam jumlah besar semata-mata untuk menjual semula kad tersebut pada harga lebih tinggi di platform e-dagang.
“Saya tidak dapat membeli Happy Meal untuk anak perempuan saya kerana orang-orang ini,” kata seorang pengguna media sosial di X. Seorang lagi menulis, “Saya pasti ada peminat Pokemon dewasa yang benar-benar mahu kad itu, tetapi golongan penjual semula ini memang memalukan.”
Imej tidak disahkan yang tersebar di media sosial menunjukkan beg plastik penuh burger dan kentang goreng yang tidak dimakan. Ada yang menggelar kempen ini sebagai ‘Unhappy Meals’.
Walaupun syarikat menetapkan had maksimum lima set per pelanggan, ada yang memanipulasi sistem dengan menggunakan akaun berbeza atau berulang kali beratur untuk membeli lebih.
Kad yang menjadi rebutan termasuk ilustrasi eksklusif Pikachu memegang burger serta satu lagi kad rawak, yang bernilai tinggi di pasaran semula. Akibatnya, barisan panjang di banyak cawangan menjadi tidak terkawal dan ada pelanggan yang sanggup memesan sehingga 40 set sekali gus.
Dalam kenyataan pada 11 Ogos, McDonald’s Jepun mengakui wujud pembelian besar-besaran oleh pelanggan untuk tujuan jualan semula yang menyebabkan makanan dibuang.
“McDonald’s tidak menggalakkan pembelian Happy Set untuk tujuan jual semula mahupun pembaziran makanan. Kejadian ini jelas bertentangan dengan falsafah kami untuk menyediakan pengalaman makan yang menyeronokkan kepada kanak-kanak dan keluarga,” kata syarikat itu.
Pihaknya turut berjanji memperkenalkan had pembelian yang lebih ketat pada masa depan serta menamatkan pesanan dalam talian bagi kempen seumpama ini. “Percubaan membeli melebihi had, berulang kali beratur, dan bersikap mengugut terhadap kakitangan akan ditolak,” tambah kenyataan itu.
McDonald’s juga berkata ia akan meminta platform e-dagang mengambil tindakan lebih berkesan terhadap penjual tidak bertanggungjawab.
Insiden ini bukan pertama kali berlaku. Pada Mei lalu, kempen kolaborasi Happy Meal dengan siri popular Chiikawa juga berakhir dengan pembelian berlebihan dan pembaziran makanan. Mainan edisi terhad itu kemudiannya dijual semula pada harga enam hingga tujuh kali ganda di internet, dan stok habis dalam masa dua hari.
“Kami berikrar untuk kembali kepada tujuan asal Happy Set, iaitu membawa senyuman kepada keluarga dan menyumbang kepada perkembangan sihat minda dan tubuh kanak-kanak, yang merupakan masa depan kita,” kata kenyataan McDonald’s.
McDonald’s telah menjual Happy Meal lebih 40 tahun. Di Jepun, set ini biasanya berharga sekitar 510 yen (S$4.43). Namun, edisi khas Pokemon kali ini hanya bertahan sehari walaupun dirancang untuk tiga hari.
Bagi ramai pelanggan, terutamanya ibu bapa, pengalaman ini menimbulkan kekecewaan besar. “Ia sepatutnya untuk kanak-kanak, tetapi orang tamak telah merosakkannya,” kata seorang lagi pengguna media sosial. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg