TEHERAN: Media pemerintah Iran melaporkan pada 30 Mei bahawa memorandum persefahaman (MOU) yang dicadangkan dengan Amerika Syarikat termasuk perjanjian untuk melepaskan aset bernilai AS$12 bilion (S$15.3 bilion).

Laporan itu memetik draf memorandum yang “tidak rasmi”, dan perkara serupa yang disiarkan oleh stesen televisyen pemerintah pada awal minggu ini ditolak oleh Rumah Putih sebagai “rekaan”.

Ia timbul sehari selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengeluarkan perincian mengenai potensi perjanjian yang bertujuan untuk menghentikan perang Iran, elemen utama yang turut dipertikaikan oleh sumber di Teheran.

Laporan televisten pemerintah Iran pada 30 Mei menyatakan, “Amerika telah berjanji untuk memberi Iran akses penuh kepada asetnya yang dibekukan bernilai AS$12 bilion dalam tempoh 60 hari, supaya sumber-sumber ini boleh dipindahkan dan dibelanjakan di bank-bank destinasi yang diingini Iran tanpa sekatan.”

Dalam penerangannya sendiri tentang perjanjian itu pada 29 Mei, Encik Trump menegaskan bahawa “tiada wang akan ditukar, sehingga diberitahu kelak”.

Awal minggu ini, satu sumber memberitahu AFP bahawa ketua bank pusat Iran adalah sebahagian daripada delegasi yang melawat Qatar “untuk membincangkan isu dana yang telah dibekukan itu.

Menurut sumber itu ialagi, isu itu dibincangkan dalam MOU sebagai sebahagian daripada perjanjian muktamad Amerika dengan Iran.

Laporan televisyen itu pada 30 Mei juga menyatakan bahawa Teheran akan terus menguruskan Selat Hormuz, yang telah disekatnya sejak permulaan perang, yang menggegarkan pasaran global.

Selat tersebut merupakan aliran yang membekalkan 20 peratus minyak dan gas cecair global.

Pada 29 Mei, Encik Trump berkata bahawa Iran akan membuka semula selat itu “untuk trafik perkapalan tanpa sekatan”, dan Amerika telah berulang kali menyatakan bahawa tidak boleh diterima bagi Iran untuk mengekalkan kawalan ke atas saluran penting penghantaran tenaga.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, dipetik pada 28 Mei sebagai berkata bahawa Washington masih belum mencapai persetujuan dengan Iran mengenai gencatan senjata selama 60 hari dan menarik balik sekatan perkapalan di Selat Hormuz, tetapi kedua-dua pihak semakin hampir mencapainya.

“Sukar untuk dipastikan bila atau sama ada Presiden akan menandatangani MOU itu kerana masih terdapat beberapa isu berkaitan bahasa yang sedang dibincangkan,” katanya.

Walaupun tidak dapat menjamin kejayaan, Encik Vance melahirkan keyakinan bahawa perjanjian akhirnya boleh dicapai. - Agensi berita