Topik diikuti
Pergi ke BHkuDilema Trump dalam usaha tamatkan perang Iran
Dilema Trump dalam usaha tamatkan perang Iran
Didesak buka semula Selat Hormuz, turunkan harga petrol; Republikan mahu tekanan tentera terhadap Teheran dilanjut
Dilema Trump dalam usaha tamatkan perang Iran
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berdepan dilema dalam menamatkan perang dengan Iran.
Beliau didesak supaya membuka semula Selat Hormuz dan menurunkan harga petrol.
Namun, pada masa sama menghadapi tentangan keras Republikan yang mahu tekanan ketenteraan terhadap Teheran diteruskan.
Dilema itu terserlah apabila muncul laporan mengenai rangka perjanjian yang akan melanjutkan gencatan senjata, membolehkan laluan perkapalan minyak dibuka semula, dan menangguhkan perbincangan mengenai program nuklear Iran.
Jika dipersetujui, ini akan menjadi langkah keamanan terbesar sejak Encik Trump bersama Israel menyerang Iran pada 28 Februari, selain berpotensi mengurangkan kenaikan harga tenaga sejagat.
Namun, perjanjian itu berisoko mencetuskan kemarahan penyokong Encik Trump yang mahu beliau “menyelesaikan tugas” dengan menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Beberapa sekutu anti-Iran membidas cadangan tersebut dan mendakwa ia mungkin tidak lebih baik daripada perjanjian nuklear 2015 yang dirundingkan oleh mantan Presiden Encik Barack Obama.
Senator Republikan Encik Lindsey Graham, Encik Roger Wicker dan Encik Ted Cruz turut menggesa beliau agar tidak bertolak ansur.
Encik Trump pula menegaskan beliau tidak tergesa-gesa dan hanya akan menerima perjanjian yang “hebat”.
Terperangkap antara keperluan menurunkan harga petrol dengan mengekang cita-cita nuklear Iran, Trump mempunyai ruang yang terhad untuk bertindak.
“Perubahan retorik dan pendirian Trump sepanjang minggu lalu menunjukkan beliau sedang cuba menamatkan perang yang besar dalam keadaan yang sukar,” kata pakar Timur Tengah di Johns Hopkins University, Cik Laura Blumenfeld.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata rundingan berjalan lancar dan Encik Trump telah menjelaskan pendiriannya dengan jelas.
“Presiden Trump hanya akan menerima perjanjian yang baik untuk rakyat Amerika, yang memastikan Iran tidak akan memiliki senjata nuklear,” kata pegawai itu, yang enggan dikenali kerana perkara itu bersifat sensitif.
Maklumat yang dibocorkan kepada media pada Khamis mengenai syarat Memorandum Persefahaman (MOU) itu menunjukkan beberapa isu utama masih belum diselesaikan.
Ia termasuk status jangka panjang Selat Hormuz, nasib simpanan uranium diperkaya Iran yang hampir mencapai gred senjata, dan kemungkinan pelonggaran sekatan ekonomi.
Butiran yang bocor kepada media menunjukkan banyak isu utama masih belum diselesaikan, termasuk status jangka panjang Selat Hormuz, simpanan uranium diperkaya Iran dan bentuk pelonggaran sekatan ekonomi.
Walaupun dapat mengelakkan peningkatan konflik, rangka perjanjian itu masih jauh daripada tuntutan awal Encik Trump untuk “penyerahan tanpa syarat” serta ikrarnya untuk membongkar program nuklear Iran.
Iran pula menegaskan programnya bertujuan aman.
Pengarah Dasar daripada organisasi, Bersatu Menentang Iran Bersenjata Nuklear (Uani), Encik Jason Brodsky, berkata dalam platform X, Iran nampaknya memperoleh lebih banyak manfaat daripada MOU tersebut.
“Janji untuk lebih banyak rundingan nuklear? Berwaspadalah.”
Sementara itu, agensi berita, Tasnim, melaporkan teks perjanjian masih belum dimuktamadkan.
Encik Trump beberapa kali mendakwa perjanjian hampir dicapai, namun tiada jaminan usaha terbaru itu akan berjaya selepas beberapa percubaan terdahulu gagal.
Gelombang usaha diplomatik ini berlaku ketika gencatan senjata rapuh terus diuji oleh pertukaran serangan terhad.
Penganalisis percaya Encik Trump cuba mengimbangi keperluan mendapatkan keringanan daripada Iran sambil mengekalkan imej kemenangan politik.
Pembukaan semula Selat Hormuz akan disambut baik di peringkat antarabangsa, namun, Encik Trump hanya mengembalikan kelancaran perkapalan yang wujud sebelum perang bermula.
Pada masa sama, beliau berdepan tekanan politik dan ekonomi apabila sokongan awam terhadapnya jatuh ke paras terendah baru.
Dengan pilihan raya pertengahan penggal semakin hampir pada November dan Republikan bergelut mengekalkan kawalan Kongres, penilaian baru turut memberi amaran konflik berpanjangan boleh menjejas ekonomi sedunia dengan teruk.
Iran dipercayai mahukan pelonggaran sekatan lebih awal bagi membantu ekonominya. Pengkritik Encik Trump bimbang beliau mungkin bersetuju demi menamatkan perang.
Namun Encik Trump menegaskan beliau tidak mengambil berat tentang pilihan raya pertengahan penggal, walaupun pembantunya dikatakan bimbang harga petrol yang tinggi boleh menjejas peluang Parti Republikan.
Penganalisis turut berpendapat Iran berasa berada dalam kedudukan yang kuat selepas menunjukkan kemampuannya menahan serangan dan mengganggu bekalan minyak dunia.
Menurut Encik Jon Alterman dari Center for Strategic and International Studies (CSIS), keinginan Encik Trump untuk menamatkan konflik dengan segera hanya menguatkan pendirian Iran.
Perubahan pendirian Encik Trump sepanjang minggu lalu bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi seorang presiden yang berjanji mengelakkan peperangan yang tidak perlu, tetapi kemudian membawa Amerika ke dalam konflik luar negara tanpa menjelaskan alasannya.
Cara Encik Trump menamatkan konflik ini dijangka menjadi penentu penting dalam menentukan kesan dasar luar penggal keduanya. – Agensi berita.
