Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Media sosial jadi taruhan kempen pilihan raya Indonesia

Jan 08, 2024 | 05:31 AM



JAKARTA: Calon Presiden dan pasangan mereka iaitu calon Naib Presiden Indonesia telah beralih ke wadah perkongsian video dan penyiaran penstriman langsung yang sangat popular, TikTok, untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat muda Indonesia, yang merupakan majoriti pengundi dalam pilihan raya Februari.


Calon Presiden, Encik Anies Baswedan, membuat kemunculan pertama di TikTok pada 28 Disember – beberapa hari sebelum Indonesia menyambut malam Tahun Baru.

Beliau mengadakan siaran langsung dari Jawa Timur dengan tajuk Temani Saya di Jalan yang menarik 300,000 tontonan.


Encik Anies sekali lagi mengadakan siaran langsung pada 30 Disember dan berjaya menarik lebih ramai penonton dengan jumlah 420,000 tontonan, lapor The Jakarta Post.


Menyusuli kemunculan Encik Anies di TikTok, sebuah akaun daripada penyokongnya pula muncul di X, yang sebelumnya dikenali sebagai Twitter, dengan laman yang dikhususkan untuk idola K-Pop.

Akaun itu telah berkongsi klip-klip daripada dua siaran langsung Encik Anies bersama dengan sari kata skrip Korea. Beliau telah mendapat hampir 100,000 pengikut setakat 2 Januari.

Mengulas tentang pendekatannya di media sosial, Encik Anies berkata beliau akan meneruskan kegiatannya di TikTok dan terbuka untuk membincangkan apa jua topik semasa siaran langsungnya, seperti yang dilapor oleh Kompas.com.


Menyusuli jejak Encik Anies, pesaingnya, Encik Ganjar Pranowo, dan pasangannya, Encik Mahfud MD, juga telah membuat penampilan di TikTok pada 31 Disember walaupun dengan jumlah tontonan yang lebih sederhana.

Semasa penstriman langsungnya, Encik Mahfud menggalak penonton agar berusaha memperbaiki diri pada 2024.

Seperti Encik Anies, Encik Mahfud juga tampaknya akan terus memanfaatkan media sosial.

Seorang timbalan pengurus kempen untuk pasangan Ganjar-Mahfud menyatakan bahawa TikTok akan menjadi cara yang berkesan untuk mereka menjangkau lebih ramai pengundi.

“Dengan strategi ini, kami berharap dapat menjangkau seramai mungkin (orang),” kata Encik Andika Perkasa, mantan komander Tentera Nasional Indonesia (TNI), seperti yang dipetik oleh Kompas.com.


Menurut laporan pada Mei oleh pengumpul data bebas, DataReportal, TikTok, dengan hampir 110 juta pengguna merupakan wadah perkongsian kandungan yang ketiga paling popular di Indonesia.


Audiens nasionalnya adalah yang kedua terbesar di dunia.

‘Meme’, ‘Tweet’ dan ‘Gemoy’

Sedang Encik Anies dan Encik Mahfud memasuki arena TikTok, calon Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang merupakan pasangan calon Presiden, Encik Prabowo Subianto, telah mencipta gelombang di akaun X-nya.

Encik Gibran, yang berusia 36 tahun dan termuda dalam senarai calon Naib Presiden, secara teratur berkongsi ‘meme’ Internet dengan 1.2 juta pengikutnya.

Terdapat juga beberapa komen yang mempersenda Encik Gibran seperti ‘meme’ yang menyebutnya dengan nama julukan ‘Samsul’ (Samsul dikaitkan apabila Encik Gibran menyebut ‘asam folat’ sebagai ‘asam sulfat’).

Kesilapan itu terjadi dalam salah satu sesi ucapannya yang dengan segera menarik perhatian netizen dan menjadi topik perbualan.

Malah ada juga ‘meme’ yang membandingkan gaya komunikasinya dengan anak Encik Ganjar, Encik Muhammad Zinedine Alam Ganjar.

Penampilan Encik Gibran dalam debat calon naib presiden pertama pada 22 Disember turut mengilhamkan pelbagai ‘meme’ yang menggunakan frasa “biarkan dia memasak”, setelah beliau ‘tweet’ kata-kata itu tidak lama selepas debat berakhir.

Frasa itu digunakan bagi mendorong seseorang memberikan ruang atau waktu yang cukup kepada orang lain untuk melakukan tugas yang mungkin mereka pandai lakukan.

Ditanya tentang bilakah beliau akan membuat penampilannya di TikTok, Encik Gibran berkata beliau akan terlebih dahulu berunding dengan pasangan calonnya, Encik Prabowo.

Encik Prabowo, calon terhadapan dalam perlumbaan Presiden, juga telah menjadi subjek beberapa ‘meme’ Internet, kebanyakannya menggambarkan beliau sebagai ‘gemoy’ (menawan).

Sepanjang musim kempen, Encik Prabowo dan pasukannya berusaha mengubah imejnya daripada seorang tentera yang penuh semangat ke karakter yang ‘gemoy’ dengan kecenderungan untuk menari secara spontan.

Pengaruh Milenial dan Gen Z

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), strategi kempen menunjukkan bahawa kira-kira 52 peratus daripada 204 juta pengundi berdaftar di negara itu berusia di bawah 40 tahun.

Satu perlima daripada semua pengundi berdaftar adalah generasi milenial, sementara 22 peratus termasuk dalam Generasi Z.

Dengan majoriti pengundi terdiri daripada golongan muda, ketiga-tiga pasangan calon telah mengalihkan usaha kempen mereka ke arah pengundi muda.

Dalam lawatannya ke Jawa Tengah, Encik Ganjar memperkenalkan kempen bersiri yang bertujuan untuk meningkatkan pendidikan nasional dan menghapuskan kemiskinan.

Ini termasuk dasar ‘satu lulusan universiti untuk setiap keluarga miskin’ serta dasar untuk menjadikan sekolah vokasional dan akses Internet percuma.

Secara serupa, manifesto kempen Prabowo-Gibran juga sebahagian besarnya berorientasikan anak muda dan kanak-kanak, termasuk rancangan untuk menyediakan makan tengah hari dan susu percuma di sekolah, memperbaiki prasarana sekolah di seluruh negara dan menambah lebih banyak program kebajikan sosial.

Sementara itu, Encik Anies dan pasangannya, Encik Muhaimin Iskandar, telah mengadakan perbincangan umum yang dinamakan sebagai ‘Desak Anies’ (cabar Anies) dan ‘Slepet Imin’ (pukul Muhaimin) di beberapa bahagian pelusuk negara untuk menarik orang muda sertai perbincangan.

Acara tersebut mengundang anggota masyarakat untuk bertanya apa saja kepada mereka atau juga untuk memberikan saranan atau kritikan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >