Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

INDONESIA

Pusingan pertama debat calon presiden belum boleh pengaruh pengundi ‘atas pagar’

Dec 25, 2023 | 05:32 AM



JAKARTA: Pusingan pertama perbahasan pilihan raya 2024 anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), telah berlangsung pada 12 Disember.


Susulan hasil tinjauan terkini menunjukkan hampir 29 peratus responden masih belum membuat keputusan mengenai siapakah yang menjadi pilihan mereka pada 14 Februari.

Hasil tinjauan oleh harian Kompas, salah satu media yang paling dipercayai dan terkenal dengan kebebasannya, menunjukkan bahawa perdebatan itu boleh mempengaruhi pengundi yang belum membuat sebarang keputusan.


Bagaimanapun, perbahasan pilihan raya 2024 itu mungkin kurang mendalam, kerana peserta diberi masa terhad untuk menjawab soalan.

Namun mereka memberi gambaran kepada pengundi tentang keperibadian dan perwatakan setiap calon, kemahiran mereka dalam berkomunikasi dan cara mereka menangani tekanan.

Pada perbahasan dua jam pada 12 Disember itu, Encik Prabowo Subianto, dilapor kelihatan gelisah dan berpeluh ketika beliau “bergelut” untuk mengungkapkan ayat-ayat hafalannya.

Encik Ganjar Pranowo dan Encik Anies Baswedan pula dilihat sebagai penceramah yang lebih fasih, kerana mereka lebih bijak menjawab soalan sama ada daripada pesaing mereka atau panel perbahasan.

Sementara itu, Encik Prabowo, sama ada terlajak dari masa yang diperuntukkan dan terpaksa dihentikan secara mendadak oleh moderator, atau memberikan jawapan singkat, hinggakan moderator mengingatkan bahawa beliau masih ada banyak masa lagi.

Ia berbeza dengan Encik Anies, yang menggunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan, hampir ke detik terakhir.

Encik Ganjar pula memberikan tindak balas tajam dan ringkas, tetapi ada kalanya tertinggal jauh dari masa yang diperuntukkan.

Menteri Pertahanan, Encik Prabowo, mendahului dalam semua tinjauan pendapat, termasuk yang terkini daripada Kompas, dengan mantan Gabenor Jakarta, Encik Anies, dan mantan Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar, masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.


Kebanyakan tinjauan mencadangkan bahawa bilangan pengundi yang belum membuat keputusan adalah terlalu kecil untuk memberi kesan kepada pilihan raya.

Justeru itu, tinjauan Kompas mencetuskan perdebatan hangat mengenai keputusannya yang berbeza.


Ia juga telah menimbulkan harapan dalam kalangan penyokong Encik Anies dan Encik Ganjar – sama ada masih boleh meraih kemenangan mengejutkan pada Februari 2024.

KPU telah menjadualkan lima pusingan perbahasan, terdiri daripada tiga pusingan yang menampilkan calon presiden dan dua pusingan menampilkan pasangan mereka, dengan setiap pusingan merangkumi topik berbeza.

Pada pusingan sulung pada 12 Disember, calon presiden bercakap tentang pendirian mereka terhadap undang-undang, hak asasi manusia, pemerintahan, pembasmian rasuah dan pengukuhan demokrasi.

Encik Prabowo, mantan Jeneral Tentera Darat, terpaksa mengambil sikap bertahan apabila ditanya mengenai rancangannya untuk menyelesaikan kes-kes pencabulan hak asasi manusia yang belum selesai.

Ia termasuk 13 aktivis yang hilang pada 1998, tahun terakhir rejim Presiden Soeharto.

Mereka adalah antara berpuluh-puluh aktivis yang diculik oleh Komando Pasukan Khusus (Kopassus), yang berada di bawah perintah Encik Prabowo ketika itu.

Kebanyakannya dibebaskan, tetapi 13 aktivis itu dianggap sudah mati.

Beberapa pegawai Kopassus telah didakwa atas kejadian tersebut.

Sementara Encik Prabowo dibebaskan daripada sebarang salah laku, beliau telah diberhentikan secara terhormat daripada tentera pada 1999, kerana membangkang.

Semasa perbahasan 12 Disember, Encik Prabowo mengulangi bahawa beliau telah menjawab soalan yang sama setiap kali beliau bertanding jawatan presiden (pada 2014 dan 2019).

Malah beliau menegaskan bahawa beberapa bekas aktivis pergerakan mahasiswa 1998 telah menyertai Parti Gerindranya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab soalan Encik Ganjar mengenai lokasi kubur aktivis yang hilang.

Encik Anies ditanya mengenai rekodnya dalam menghormati hak minoriti agama untuk membina tempat ibadat.

Pertanyaan itu merujuk kepada kaitannya dengan Barisan Pembela Islam (FPI) radikal, yang kini diharamkan.

Encik Anies telah mendapat stigma berhubung pergaulannya dengan kumpulan Islamis, yang membantunya memenangi Pilihan Raya Gabenor Jakarta pada 2017.

Dalam responsnya, mantan Gabenor Jakarta itu memetik angka mengenai tempat ibadat yang telah dibuka sepanjang tempoh perkhidmatannya pada 2017-2019.

Beliau berkata angka itu mengatasi rekod mana-mana gabenor Jakarta lain, sama ada sebelum atau selepasnya.

Beliau turut menambah banyak permohonan tertunggak untuk membina gereja, juga telah diselesaikan sepanjang tempohnya.

Encik Ganjar bertanya tentang penentangan Encik Anies terhadap rancangan memindahkan ibu kota negara, dari Jakarta ke Nusantara, yang kini dalam pembangunan di kawasan hutan di Kalimantan Timur.

Dalam jawapannya, Encik Anies menegaskan bahawa Undang-undang Ibu Kota Nusantara (IKN) disahkan oleh Dewan Rakyat, tanpa penyertaan awam yang meluas.

Encik Anies muncul sebagai penceramah paling agresif dalam debat 12 Disember.

Sementara itu, Encik Prabowo sebagai pembela teguh pentadbiran kepada Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Encik Ganjar menahan dirinya daripada menyerang rekod Encik Jokowi, memandangkan beliau adalah ahli Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang memerintah, dalam pemerintah campuran Encik Jokowi.

Walaupun tidak jelas sejauh mana perbahasan pilihan raya 2024 mungkin mempengaruhi pilihan pengundi, pusingan pertama tidak memberikan banyak perkara dari segi bahan.

Perbahasan sulung pada 12 Disember lebih seperti rancangan televisyen, dengan peserta bergelut untuk menjawab soalan yang sering rumit dalam had masa yang dikuat kuasakan dengan ketat.

Tetapi memandangkan empat pusingan masih kekal dan walaupun ia hanya mempengaruhi sebilangan kecil pengundi, perbahasan boleh menjadi penentu dalam pilihan raya yang dijangka sengit.

Pada 2014, Encik Jokowi menang dengan margin kecil, menentang Encik Prabowo, walaupun tinjauan yang tidak diterbitkan seminggu sebelum pengundian menunjukkan bahawa Encik Prabowo mempunyai kelebihan.

Ramai penganalisis percaya bahawa kemenangan Encik Jokowi dalam debat terakhir presiden pada tahun itu, serta konsert rok besar di Jakarta pada hari terakhir musim kempen, membantu beliau menyandang jawatan presiden.

Sebelum ini, KPU terlibat dalam kontroversi peraturan perbahasan 2024, khususnya mengenai perbahasan naib presiden.

Dipersetujui bahawa calon presiden boleh mengiringi pasangan mereka dalam dua pusingan perbahasan naib presiden, tetapi hanya pasangannya sahaja yang boleh bercakap.

Baki empat pusingan perbahasan KPU, dijadualkan pada 22 Disember 2023 (debat naib presiden); 7 Januari 2024 (debat presiden), 21 Januari (naib presiden) dan 4 Februari (debat presiden akhir). – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >