JAKARTA: Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri, secara terbuka menolak spekulasi mengenai hubungan tegangnya dengan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Bercakap semasa satu majlis di Jakarta Utara pada 5 Ogos, Cik Megawati menegaskan bahawa hubungannya dengan presiden itu kekal positif dan tiada sebarang isu, lapor Jakarta Globe.
“Sebelum datang ke sini, saya mendengar khabar angin mengenai hubungan saya dengan presiden bermasalah.
“Saya ingin menjelaskan bahawa hubungan saya dengan presiden baik-baik saja. Kenapa sebaliknya?” ujar Cik Megawati berkata majlis penyerahan pendua bendera negeri kepada 38 gabenor di Jakarta Utara.
Khabar angin itu berpunca daripada pendirian Cik Megawati dalam isu had penggal presiden.
Dilaporkan bahawa beliau menentang melanjutkan penggal presiden kepada tiga penggal, satu cadangan yang dibincangkan menjelang akhir penggal kedua Presiden Jokowi.
“Saya didakwa menentang idea penggal ketiga atau lanjutan. Bagaimanapun, perkara ini terletak di bawah kuasa perlembagaan.
“Saya tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara ini, terpulang pada Dewan Perundingan Rakyat,” ujarnya.
Cik Megawati berunding dengan pakar perlembagaan, yang mengesahkan had dua penggal presiden kekal berkuat kuasa.
Di sebalik sokongan PDI-P kepada Encik Jokowi pada pilihan raya 2014 dan 2019, hubungan dua pihak itu menjadi renggang pada pilihan raya 2024.
Ketegangan itu timbul selepas pengerusi Parti Gerindra, Encik Prabowo Subianto, mencalonkan Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi, sebagai calon pasangan sebagai naib presidennya.
Encik Prabowo memenangi pilihan raya dengan sokongan daripada penyokong Encik Jokowi, manakala calon PDI-P, Encik Ganjar Pranowo, menduduki tempat terakhir walaupun mendahului dalam pemilihan sebelum pilihan raya.
Sedang keluarga Encik Jokowi menjauhkan diri daripada PDI-P, ramai menjangka parti itu akan beralih kepada peranan pembangkang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg